Epilog (Bahagian 1)

281 31 16
                                    

THEA tercatuk di tepi jendela. Sudah lama dia menghabiskan masa di situ. Pandangan ditebar kosong tanpa arah. Minda dibiar menerawang bebas. Bunyi pintu yang dibuka dari luar langsung tidak dibenakan. Seseorang melangkah masuk. Teragak-agak untuk berbicara, susuk itu bergerak ke tengah ruang. Mendekatinya.

"Mereka masih hendak proceed dengan defence tu." Thea bersuara hambar tanpa memalingkan tubuh menghadap tetamu yang datang. Kali ini lensa mata dipaku pada sekawan burung yang bertenggek di atas wayar kabel elektrik. Ralit dia memerhatikan gerak-geri makhluk kecil bersayap itu.

"Abang tahu," balas Thaqif. Dia telahpun dimaklumkan tentang hal itu oleh peguambela kes berkenaan. "It's a long shot but worth trying. Kita tak boleh putus asa, Thea."

"Tak boleh putus asa...." Thea mengulang kembali apa yang dituturkan si abang seolah-olah baris ayat itu tidak membawa sebarang pengertian buatnya. Kepala digeleng-gelengkan perlahan. Dia sendiri tidak pasti sama ada asanya masih hidup ataupun telah mati.

Apa yang berlaku benar-benar di luar jangkaan. Dia tidak menyangka begini penamat tragedi mimpi buruk yang dialami. Setiap detik masa terluang telah digunakan sebaiknya. Akal dan kudrat yang ada dikerah demi merungkai siapa pembunuh bersiri Tersingkap Hijab Mimpi. Dia tidak betah memeluk tubuh sedangkan dia tahu ada pembunuhan demi pembunuhan yang bakal menyusul. Setiap fakta yang diperoleh diteliti. Satu demi satu kemungkinan dibahas oleh logik akal.

Namun, sedalam mana dia menyiasat, menggali kebenaran, sedaya upaya cuba memangkas tindakan si pelaku daripada terus mencabut nyawa insan yang tidak berdosa, dia sebenarnya terlepas pandang banyak perkara.

Apa yang memancing perhatiannya, si pembunuh begitu mahir dengan setiap perincian novel. Terlalu arif dengan setiap satu babak yang ditulis. Hingga ke satu tahap, Thea pernah meletakkan dirinya sendiri sebagai suspek.

Terlintas jua di akalnya, bagaimana jika dia sendiri yang melakukan semua ini di luar sedar? Kebarangkalian itu tetap ada. Maklum sahajalah, dengan keaadaan diri yang acapkali dihantui mimpi-mimpi ngeri, ada kalanya Thea gagal membezakan yang mana ilusi yang mana realiti.

Tidak pun,  mungkin dia ada multiple personality. Personaliti berbilang atau personaliti berbelah bahagi. Mana tahu dalam pada dia sibuk mengimbangi antara dunia mimpi dan dunia hakiki, dia sebenarnya mengidap kecelaruan personaliti. Dissociative identity disorder (DID). Simptom-simptom yang ada pada diri agak ketara. Pelupa, cepat keliru, ada bahagian-bahagian memori yang hilang atau tidak lengkap.

Hampa. Seringkali penemuan baharu dinoktahkan dengan kebuntuan. Keadaan makin tegang dan meruncing bilamana tinggal satu lagi pembunuhan berbaki. Thea sedar masa kian suntuk. Dalam kekalutan mencari penyelesaian, mujur Delila menyarankan sesuatu yang membolehkan dia setapak lebih hampir dengan pembunuh yang diburu. Cari klu dalam Tersingkap Hijab Mimpi.

"Jawapan ada pada kau."

"Pada aku?"

"Maksud aku... novel kau."

"You lost me."

"Kau nak hentikan perbuatan pembunuh tu, kan?
Jawapan yang kita perlukan sekarang ialah who's next? Kenal pasti siapa mangsa seterusnya. Kita tahu mangsa-mangsa dibunuh mengikut turutan cerita yang kau tulis. Jadi, kalau dia betul-betul jadikan 'Tersingkap Hijab Mimpi' sebagai kitab bunuh dia, aku yakin dia akan target someone yang dibunuh selepas Detektif Chua."

Thea masih ingat, dek kerana terlalu cemas, ibarat tidak cukup tanah dia bergegas pulang petang itu. Bagaimana kalau sasaran seterusnya Uzayr? Uzayr, belahan jiwanya harus dilindungi walau dengan apa cara sekalipun. Dia mesti pastikan, baik dalam tidur mahupun jaga, Uzayr sentiasa berada di sampingnya.

Namun, tekad tidak selari dengan rentak sukma. Ragu mula mendominasi layar fikir. Bukan Uzayr. Jauh di sudut hati, intuisi berat mengatakan bahawa bukan Uzayr yang akan disasar pembunuh.

Uzayr bukan mangsa seterusnya.

'I know there's something off. There's something off about all these.' Baris ayat itu yang ditutur berulang kali pada diri sendiri.

"Thea...." Suara Thaqif memancung khayalan.

Thea berpaling. Dengan lembut, Thaqif menghantar isyarat mata supaya Thea duduk di hadapannya. Tanpa kata, Thea menurut. Perlahan dia menapak menjauhi jendela lalu melabuhkan punggung di atas kerusi.

"Thea okey?"

Angguk. Pandangan dijatuhkan ke bawah. Pura-pura sibuk membelek jemari sendiri. Dia tidak sanggup menentang bola mata Thaqif yang sarat mengandungi kerisauan. Tidak larat menerima satu lagi renungan simpati sesiapa biarpun daripada darah dagingnya sendiri. Sekarang ini simpati satu dunia pun tidak akan dapat membebaskan dia dari cengkaman permasalahan ini. Dia perlukan keajaiban. Satu keajaiban besar.

"Thea... betul Thea okey ni?"

Ada keluhan kecil yang terhambur melalui seulas bibir. "Thea tak pasti."

"Maksud Thea?"

"Thea tak tahu nak rasa apa sekarang ini." Kebas. Kosong. Ibarat tiada tunas rasa.

"Thea kena kuat. Kena sentiasa ingat Allah. Allah tidak akan membebani seseorang itu, melainkan sesuai dengan kemampuannya. Allah tidak akan duga kita kalau kita tak mampu." Sengaja dilontarkan petikan ayat 286, Surah al-Baqarah, menyuntik semangat dan tunas kekuatan ke dalam jiwa adiknya.

Diam. Memang Allah tidak akan menduga dengan sesuatu yang di luar batas kemampuan hamba-Nya.
Namun, beban yang digalas sekarang ini umpama tidak tertanggung. Bagaimanakah dia harus bertahan?

"Thea dah makan?"

Geleng.

"Dah solat?"

Angguk.

Thaqif terus bertanya soalan demi soalan. Sengaja memanjangkan perbualan. Biar wujud interaksi antara mereka. Dia runsing Thea terus-terusan bungkam begitu. Si adik perlu diajak berkongsi rasa. Kesedihan, kebimbangan dan ketakutannya. Thea tidak perlu pendamkan semua itu seorang diri.

"I've been meaning to ask you this. How do you know?" Setelah sekian lama berbual kosong, Thaqif mengutarakan soalan yang lebih serius.

Kali ini Thea mengangkat muka. Pandangan mereka bersabung.

"Abang dah lama nak tanya sebenarnya. Tapi tak jumpa masa yang sesuai. How do know it was Del? Bukan ibu, Uzayr, abang atau adik?" tanya Thaqif. Bagaimanakah Thea berjaya menyimpulkan dengan tepat bahawa Delila mangsa seterusnya?

Thea meraup wajah. Dia tidak mahu membicarakan tentang perkara itu.

"Thea betul-betul yakin yang Del mangsa terakhir. Kenapa awal-awal lagi Thea eliminate Uzayr sebagai possible victim?"

Mendengarkan nama Uzayr, Thea kerancuan. Rindunya dia pada lelaki itu. Apa agaknya yang sedang dilakukan oleh Uzayr sekarang ini?

"Thea? Abang tanya ni...."

"Kan Thea yang tulis buku tu...." balas Thea dalam samar. "Memang sedari awal bukan abang Uzayr," sambungnya.

"Maksud Thea?"

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now