Bab 6 - Igau

230 37 13
                                    

SUASANA di ruang tamu kediaman Thaqif dan Sazreena petang itu sangat meriah. Faridah berasa gembira melihat kesemua anak, menantu dan cucunya berkumpul. Bukan senang untuk menikmati saat-saat sedemikian kerana kebiasaannya anak menantu sibuk terikat dengan komitmen masing-masing.

"Ibu tengok Thea ni makin hari makin kurus. Thea tak ada selera makan ke? Atau anak ibu ni sibuk sangat kerja sampai lupa makan minum?" Wajah Thea, anak keduanya ditatap lama. Sekejapan, dia membuka mulut apabila Thea menyuapkan potongan kecil kek lapis.

"Kerja tu kerja juga. Tapi janganlah sampai diri kita terabai. Thea masih giat mempromosikan novel?"

"Sekarang dah tak sibuk sangat, bu. Ibu jangan bimbang. Thea makan, cuma badan susut sikit mungkin sebab kena travel ke sana ke mari," jelas Thea menenangkan Faridah yang risau akan keadaannya.

Sambil melayan Faridah berbual, mata tidak lepas memerhatikan reaksi Adam dan Addin, anak-anak buahnya. Adam yang sulung, berusia empat tahun manakala Addin baru menginjak dua. Kedua-duanya seronok dan ralit bermain set permainan kereta api yang dihadiahkan oleh Thea.

"Kak Thea penulis terkenallah, bu. Mestilah sibuk. Mana ada masa nak rehat-rehat ni," sampuk Tsara. Sempat dia menyembunyikan salah satu gerabak kereta api kecil di sebalik kusyen sofa. Sengaja mahu menyakat si cilik. Adam terpinga-pinga melihat kereta api yang berjalan di atas rel tiba-tiba menjadi kontot, kurang satu gerabak.

"Ish, janganlah cakap macam tu!" kata Thea. Tangan kanan menepuk paha si adik, memintanya memulangkan mainan yang diambil. Tsara ketawa mengekek.

"Betul apa. Eleh, malu-malu pulak! Tahu tak bu, Kak Saz ... baru-baru ini mereka buat pertandingan Tersingkap Hijab Mimpi di Instagram, dapat sambutan luar biasa!" Tsara membuka cerita di hadapan ibu dan kakak ipar.

Serentak itu, telefon bimbit miliknya dinyahkunci. Lincah jemari menari di atas skrin. Setelah apa yang dicari ditemui, dia menunjukkan paparan skrin telefon kepada Faridah.

"Tengok ni, bu. Ini semua peminat akak tau yang sertai pertandingan ni. Kawan-kawan adik pun ramai yang joined. Tapi, tak menang," ulas Tsara. Selang beberapa ketika, telefon diunjukkan kepada Sazreena pula.

"Sekarang ni nak buat pertandingan ke giveaway ke senang. Semua pakai media sosial je, kan?" ujar Sazreena. "Eh, gambar yang ini comelnya!" Sazreena dan Tsara sama-sama mengamati salah satu gambar peserta yang mengambil bahagian.

"Kuasa media sosial, kak. Kuasa tular. Kalau kena gaya kita iklan atau mempromosikan produk, memang berkesanlah. Ada kawan adik buat bisnes online. Dia iklan dekat Facebook dan Instagram je. Kencang! Tak menang tangan adik tengok dia pergi pos barang."

"Thea sekarang ni ada tengah tulis novel baru ke?" Sazreena bertanyakan perkembangan Thea. Dia melabuhkan semula punggung di sofa. Addin, anak keduanya dipangku.

Thea menggeleng. "Buat masa ni tak ada, kak. Thea rehat dulu."

"Lepas ni Thea nak buat novel apa pulak? Balik ke cerita cinta atau buat novel thriller lagi?" soal ibu pula.

"Belum ada apa-apa perancangan, bu. Idea nak tulis tentang apa pun tak ada."

"Buatlah sekuel Tersingkap Hijab Mimpi. Mesti dapat sambutan. Hari tu, di pejabat, ada rakan sejawat yang baca novel Thea. Bukan main lagi dia puji. Akak tumpang banggalah sekaki," bual Sazreena teruja.

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now