SEBAIK sahaja memarkir kereta, Delila buru-buru keluar mendapatkan Uzayr yang berada di luar rumah.
"Maaf. I lambat ke?" soalnya. Sempat dikerling paparan bacaan waktu di pergelangan tangan.
"Taklah. I saja tunggu you di sini. Terima kasih banyak-banyak sebab tolong I, Del. I betul-betul hargai apa yang you buat untuk Thea," tutur Uzayr. Tidak urung tidak, dia diuliti rasa bersalah kerana Delila sanggup mengambil cuti kecemasan semata-mata kerana mahu menemankan Thea.
Semenjak masalah gangguan tidur Thea semakin serius, dia dan Tsara yang bergilir-gilir menjaga Thea. Tetapi, hari ini dia terpaksa menghadiri mesyuarat penting manakala Tsara terikat dengan peperiksaan kuliah. Masakan si bongsu hendak diganggu.
"Don't mention it. Ini waktu kalian susah, waktu I esok lusa tak siapa tahu. Apa I boleh tolong, I tolong. Eh, Thea mana? Tidur?"
"Ada di ruang tamu. Tengok TV ... atau lebih kepada menung. Tak tahulah bila kali terakhir Thea betul-betul tidur. Dengan mimpi-mimpi ngeri dia ... kemudian kes-kes pembunuhan yang betul-betul sama macam dalam Tersingkap Hijab Mimpi. She is restless," luah Uzayr bimbang.
"Kasihannya, Thea. Okey, I tak nak ambil masa you lagi. Nanti you lambat pula masuk mesyuarat. Jangan khuatir. Hal Thea serah pada I. You teruskan dengan kerja you."
"Terima kasih sekali lagi, Del. I dah siapkan makanan. Semua yang I beli tadi, makanan kegemaran kalian berdua. Jadi, you tak perlu susah-susah nak masak, nak fikir pasal makan."
"Alahai, patutnya tak payah risau tentang itu semua. Pandailah I nanti. Grabfood kan ada."
"You dah tolong I ni dah seribu rahmat, Del. That's the least that I can do. Jangan segan-segan pula. Buatlah macam rumah sendiri," ucap Uzayr sebelum bergegas pergi.
Melangkah masuk ke ruang tamu, kelibat Thea dicari. "Hey, girlfriend!" sapa Delila ceria.
Thea memalingkan wajah dari skrin televisyen. Terkejut melihat sahabat baiknya tiba-tiba muncul di hadapan mata.
"Del?" Alat kawalan jauh televisyen dicapai. Bunyi suara diperlahankan.
Delila mengukir senyum lebar. "Rindu aku tak?" Kedua-dua belah tangannya didepangkan.
"Kau buat apa kat sini? Tak kerja ke?"
"Hari ini aku ambil cuti. Penatlah. Jadi, datang sini jenguk kau," jelas Delila. Segera tubuh sang sahabat dirangkul lalu dipeluk erat. Dalam hati, dia berasa amat sayu melihat keadaan Thea yang cengkung tidak terurus. Simpati teruntuk sepenuhnya buat wanita itu.
Punggung dihenyakkan ke atas katil sofa, betul-betul rapat di sebelah Thea.
"Kau tengok cerita apa?" Intonasi suara sengaja dilunak dan diriangkan. Tidak sedikit pun rasa sedih atau simpati dibiarkan terzahir. Dia tidak mahu Thea bertanggapan dirinya subjek yang perlu diperhati; yang perlu ditemani; ditengokkan dan dipantau. Cukuplah apa yang ditanggung. Thea sudah cukup tertekan.
"Ke TV yang tengok kau? Thea, ingat tak dulu masa kat kampus, kita beria-ia susun movie dalam playlist laptop. Konon nak marathon sampai ke pagi. Alih-alih, kita ke mana, cerita ke mana. Sudahnya, aku dengan kau lawan dengkur je."

ANDA SEDANG MEMBACA
Somnambulis (Tamat)
Mystery / ThrillerKelopak baldu bara rindu mangsi merah nian nyawa gugur kelopak, mengalir mangsi kesumat lerai di hujung atma. Thea kerap dibayangi mimpi ngeri. Mimpi-mimpi yang suram, menggerunkan, kerap berulang dan sentiasa mendominasi lenanya. Enggan ditakluki m...