fatimah az zahra

57 2 0
                                    

Indahnya Perjalanan Hidup Fatimah Az-Zahra Ummu Abiha

Bab 1 - *KELAHIRAN AZ-ZAHRA*

Telah datang tahun ke-10 dari pernikahan yang diberkati antara Muhammad  ﷺ dan Khadijah r.a. Pernikahan yang mulia serta berkat bagi kedua mempelai yang suci. Putera Quraisy dengan seorang wanita suci yang merupakan ikutan wanita-wanita Quraisy. Tahun ini datang dengan kesiapan mereka berdua menerima si buah hati yang keempat dari perkahwinan yang penuh dengan keberkatan. Dalam tahun ini telah terjadi kejadian yang besar dalam sejarah Mekah dan Bait Al-‘Atiq (Ka’bah). Sejarah yang begitu penting bagi seorang yang bernama Muhammad yang mulia.

Para penduduk Mekah telah berkumpul dan bersepakat untuk membina semula Ka’bah. Pada awalnya mereka membinanya semula disebabkan penghormatan mereka serta diikuti rasa takut dan bersalah. Pada waktu itu Ka’bah telah terbakar disebabkan percikan api yang bermula dari tempat pembakaran milik seorang wanita Mekah. Ini mengakibatkan tabir Ka’bah terbakar serta menjalar ke seluruh bangunan Ka’bah.

Beberapa saat kemudian dengan izin Allah s.w.t. datanglah air bah dari atas bukit dan memadamkan api tersebut dan mengakibatkan dinding  Ka’bah roboh. Orang-orang Quraisy yang datang hanya terpaku dengan pemandangan yang berlaku di hadapan mereka, dan tangan mereka pun berdakap. Mereka tidak tahu apa yang harus mereka lakukan untuk memperbaiki Baitullah tersebut. Sebuah bangunan yang didirikan di Mekah sebagai tempat berhaji bagi kabilah-kabilah yang datang, yang tentu sahaja akan memberikan faedah yang besar bagi penduduk Mekah

️ Kedatangan orang-orang Quraisy disebabkan kerana kedekatan jiwa mereka dengan Ka’bah, yang merupakan satu-satunya tempat di mana semua kabilah boleh bersatu. Penduduk Mekah pun sudah bersiap sedia untuk memperbaiki Ka’bah.  Kebiasaannya mereka tidak menghancurkan bangunan yang tersisa itu untuk membina sebuah bangunan yang baru. Kemudian datanglah Walid al-Mughirah al Makhzumi sambil mengambil peralatannya (untuk membuat tapak yang baru) dan berkata “Ya Allah ya Tuhan kami yang dapat menghilangkan keburukan, sesungguhnya kami tidak menginginkan kecuali kebaikan.”  

️Dia pun menghayunkan peralatannya, sedangkan kaum Quraisy yang lain hanya berdiam diri memandang ke arah Walid dengan tidak melakukan sesuatu apa pun. Mereka takut akan hal tersebut iaitu dengan menghancurkan sisa Baitullah. Mereka takut terhadap diri mereka masing-masing dan takut akan murka Allah yang akan menimpa mereka. Mereka pun menunggu waktu yang tepat untuk sama-sama bertindak. Sesudah Walid memulakan pekerjaannya dan tiada hal buruk yang terjadi, maka barulah pada keesokan hari mereka membantunya.

️Mereka pun datang bersama-sama untuk membangunkan semula  Ka’bah yang telah rosak. Kabilah-kabilah Gujarat yang lain  pun turut datang membantu untuk membina  Ka’bah. Muhammad pun turut membantu dalam pekerjaan yang mulia tersebut dan baginda juga turut memindahkan batu bersama-sama dengan yang lainnya. Setelah pembangunan  Ka’bah selesai, para kabilah pun berselisih faham tentang siapa yang berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad pada kedudukannya semula.

Semua kabilah menginginkan untuk mendapatkan kemuliaan dengan memindahkan batu suci tersebut ke tempatnya. Perselisihan antara mereka pun semakin hebat sehingga mereka saling mengancam antara satu sama lain untuk berperang demi mempertahankan hak mereka untuk memindahkan batu suci tersebut. Kemelut tersebut berlanjutan sampai 4 atau 5 malam. Kecemasan antara mereka pun meningkat, sehingga datanglah Abu Umayyah bin Mughirah, menambah serentetan pahlawan dari keluarga Makhzumi. Dia adalah seorang yang tertua di antara orang-orang Quraisy dan merupakan ayah daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a. Dia berkata kepada kaum Quraisy yang bertikai,  “Wahai kaum Quraisy, berselisihlah kalian terhadap apa yang kalian perdebatkan. Orang yang pertama kali yang menginjakkan kaki di masjid ini adalah orang yang akan memutuskan persengketaan di antara kalian. ”

Mereka menerima penyelesaian yang diberikan oleh Abu Umayyah Bin Mughirah. Mata mereka pun tertuju ke arah pintu masjid lalu menunggu siapakah gerangan yang akan menjadi penengah bagi mereka. Mereka akan menerima dengan setulus hati jika pemuda yang datang itu adalah seorang dengan bijaksana, tidak pernah melakukan kesalahan dan seorang yang memiliki ketenangan. Dengan segala jenis pemikiran tentang ciri-ciri seseorang yang akan menjadi penengah di antara mereka disertai dengan pengharapan akannya, tampillah di hadapan mereka seorang Al-Amin, seorang yang memiliki kehormatan tertinggi.

Mereka pun menyambutnya dengan penuh rasa penerimaan, “Ini adalah Muhammad bin Abdullah al-Hasyimi, kita akan redha dengan segala ketetapan yang akan dia buat terhadap kita.” Dengan serta merta mereka pun menceritakan kepada Muhammad tentang perselisihan yang terjadi di antara mereka. Muhammad lalu meminta sehelai kain, lalu baginda meletakkan batu Hajarul Aswad di atasnya dan berkata,  “Ambillah bahagian masing-masing dari setiap kabilah (yang bertikai) dari kain ini dan marilah kita angkat bersama-sama.” Mereka pun mengangkat batu Hajarul Aswad bersama-sama dan membawanya ke tempatnya semula. Muhammad lalu menopang batu tersebut dengan kedua-dua tangannya supaya ia terletak dengan sempurna di tempatnya semula. Umur Muhammad pada waktu itu sekitar 35 tahun sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq.

Muhammad pun kembali ke rumah kerana baginda meninggalkan isterinya dalam keadaan hendak melahirkan anak. Baginda bergegas kerana takut sesuatu hal terjadi terhadap kepada isterinya yang tercinta iaitu Khadijah Binti Khuwailid. Berita gembira pun datang menghampiri Al-Amin bahawa Khadijah telah melahirkan anak yang keempat iaitu anak perempuan pada hari Jumaat, pada tarikh 20 Jamadil Akhir, bertepatan juga dengan orang Quraisy selesai membina Ka’bah.

Umur Khadijah pada waktu itu belum mencapai 50 tahun. Kegembiraan tersebut bertambah ketika Muhammad dengan kecerdasannya menyelamatkan orang Quraisy dari pertempuran antara mereka. Al-Amin telah mencairkan darah orang-orang Quraisy serta pemimpin-pemimpin  mereka. Disebabkan hal tersebut lahirnya sebuah puisi Al-Qarsyi yang menceritakan tentang kecerdikan Muhammad.

Walaupun syair tersebut dibuat bertepatan dengan lahirnya Fatimah pada hari yang mulia, tetap juga mendapat cabaran dari kaum Quraisy atas penamaan tersebut. Hubairah mengisahkan dalam puisi itu tentang khabar gembira yang terjadi di negeri yang penuh berkat. Muhammad mengendong anaknya dengan penuh kelembutan, sedangkan Khadijah berasa sangat terharu semasa melihat wajah suaminya penuh dengan keceriaan.

Muhammad mendapat anak yang keempat iaitu anak perempuan dan baginda tidak menampakkan ketidak relaan akan itu kerana belum dikurniakan anak lelaki. Kegembiraan Khadijah bertambah tatkala melihat raut wajah anaknya yang mirip sekali dengan wajah suaminya Muhammad. Khadijah berharap dengan itu Allah s.w.t. akan selalu menjaga anaknya dengan perlindunganNya dan pertolonganNya dan agar anaknya kelak menjadi seperti ayahnya secara fizikal dan tingkah laku.

Suatu hari Abbas berkunjung kepada Ali dan Fatimah r.a dan salah seorang dari mereka bertanya, “Manakah yang lebih tua di antara kami ?.”  Abbas menjawab, “Wahai Ali, kamu lahir 2 tahun sebelum orang-orang Quraisy memperbaiki   Ka’bah, sedangkan Fatimah lahir bertepatan dengan selesainya orang-orang Quraisy membina Ka’bah.

Rasul ﷺ berasa senang dengan kelahiran Fatimah dan berkata kepada Khadijah, “Wahai Khadijah sesungguhnya dia (Fatimah) adalah manusia yang diberkati dan sesungguhnya Allah s.w.t. memberi keturunanku darinya.”  Ini adalah faktor yang penting bagi seorang ayah, disertai kemiripan yang dimiliki oleh Fatimah dengan ayahnya sebagaimana diberitakan. Al-Hakim meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata, “Sesungguhnya Fatimah adalah seorang yang sangat mirip dengan Rasul ﷺ. Kulitnya putih, bibirnya merah dan rambutnya hitam.

Daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a  berkata, “Fatimah adalah anak Rasulullah ﷺ. Dia adalah seorang memiliki perawakan mirip dengan Rasulullah ﷺ. Daripada Aisyah Ummul Mukminin r.a  berkata, “Saya tidak pernah melihat seorang pun dari ciptaan Allah s.w.t. (manusia) yang serupa ucapan dan perkataannya dengan Rasulullah ﷺ selain Fatimah r.a.”  Sesungguhnya dia adalah wanita yang suci serta memiliki cahaya kemuliaan. Dia seorang wanita yang suci serta memiliki cahaya kemuliaan. Dia seorang yang agung serta memiliki kemiripan dengan kekasih Allah s.w.t.  Dia juga mewarisi kemuliaan dan yang memiliki kehormatan.

Rujukan :  Buku Indahnya Perjalanan Hidup Fatimah Az-Zahra Ummu Abiha

Penerbit : JASMIN PUBLICATIONS

Penulis buku : Dr Muhammad Abduh Yamani

 MUTIARA HIJRAHTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang