Tidak lama lagi aku akan selesai menjalani latihan mengajar di SMK Sungai Acheh manakala dia pula sudah hampir setahun berada di Jerman. Dalam masa terdekat ini, dia mungkin akan pulang ke tanah air. Semoga perjalanannya selamat sampai ke pangkuan keluarga. Setelah tamat latihan mengajar ini pula, aku pula rancang nak pulang ke Sabah. Keluarga di sana juga sudah tidak sabar menanti kepulangan diriku.
Perjalanan pulang ke Sabah selalunya tidak berteman. Aku akan pulang seorang diri. Sudah menjadi sikap aku yang suka bersendirian dalam melakukan banyak hal. Aku bukanlah tidak mahu bergaul dengan orang lain cuma aku berasa berjalan seorang diri itu lebih seronok dan bebas. Walaupun sedikit malu dengan keadaan sekeliling kerana melihat orang lain duduk berkumpulan tetapi aku pula duduk berseorangan.
Sebelum kami selesai menjalani latihan mengajar, guru-guru SMK Sungai Acheh telah merancang sedikit kejutan untuk kami bertiga. Idea ini sebenarnya datang daripada cikgu Farhana bersama cikgu-cikgu yang lain. Pada hari terakhir, kami datang dengan berbaju melayu. Anwar dan Iman terlihat begitu tampan sekali ketika itu. Aku seperti biasa akan menggunakan baju melayu berwarna hitam. Bagi ku, warna hitam itu terlihat lebih menawan dan lebih sesuai dipakai oleh orang seperti aku. Lebih-lebih lagi sebenarnya, warna hitam juga merupakan warna kesukaan dia. Pada hari itu, sebaik sahaja tiba di bilik guru, tiba-tiba kami disambut dengan satu sorakan 'TAHNIAH!'. Kami bertiga tidak dapat berkata apa-apa kerana bagi kami ini adalah satu penghargaan atas usaha yang telah kami lakukan untuk SMK Sungai Acheh.
Setelah habis menjamu selera, Tuan Pengetua telah dijemput oleh cikgu Farhana untuk menyampaikan sedikit ucapan sempena hari terakhir kami berkhidmat di SMK Sungai Acheh. Ucapan beliau begitu ringkas tetapi banyak maklumat dan nasihat yang disampaikan kepada kami. Selepas ucapan beliau, kami bertiga pula diminta untuk memberikan ucapan. Anwar dan Iman dipersilakan terlebih dahulu untuk memberikan ucapan mereka. Selepas mereka, aku pun tampil kehadapan untuk memberikan ucapan. Aku yang dari tadi menahan perasaan sedih dan sebak di dada mula menunjukkan ekspresi seperti ingin mengalirkan air mata di hadapan mereka semua. Terlalu banyak suka duka yang aku alami sepanjang berada di SMK Sungai Acheh. Aku tidak dapat tahan lagi dan mengalirlah air mata kesedihan ingin berpisah dengan guru-guru SMK Sungai Acheh yang begitu banyak memberi tunjuk ajar kepadaku.
Pada hari itu juga, Farhana memberitahu kepadaku yang dia ingin berjumpa di suatu tempat sebelum aku pulang ke Sabah. Aku pun mengangguk tanda setuju. Pada hari aku dan Anwar ingin pulang ke USM Induk, aku menerima mesej daripada Farhana. Dia ingin aku menemui dia di KFC Nibong Tebal. Aku pun tanpa ditemani Anwar pergi ke tempat yang dikatakan itu. Aku sebenarnya berasa amat malu nak berdepan dengan dia seperti ini tetapi aku gagahi juga seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Aku belum memberitahu perkara sebenar kepadanya dan aku rasa inilah saatnya aku mengatakan kepada dia supaya dia tidak berharap nanti. Aku melihatnya tengah duduk berseorangan diri di sudut ruang tingkat atas, aku terus pergi ke tempat dia menungguku. Sebaik sahaja aku duduk betul-betul tepat di hadapannya, aku pun membuka perbualan.
"Assalamualaikum Farhana, awak dah lama tunggu?"
"Waalaikumsalam, eh tak adalah. Saya pun sebenarnya baru je sampai." jawabnya dengan lembut sekali.
"Maaflah, kalau saya menyusahkan awak pula, minta awak datang jumpa saya di sini." tanyanya semula kepada aku yang cuba memalingkan pandangan kerana terlalu malu duduk berduaan seperti ini.
"Tak apa, lagi pun saya nak tahu sebab awak nak jumpa saya sebenarnya" jawabku ringkas.
"Sebenarnya, saya segan nak tanya awak, tapi saya rasa tak salah jika saya nak awak jujur kepada saya soal hati dan perasaan, mungkin jika berhadapan seperti ini awak akan terus memberikan jawaban kepada saya, saya percaya awak juga dah lama fikirkan perkara ini" jelasnya terus terang kepada aku tujuan dia ingin berjumpa sebelum aku pulang ke USM.
Aku terdiam seketika, aku rasa inilah juga saatnya untuk aku berterus terang kepada dia perkara yang sebenarnya. Aku tahu ini pasti akan menyakitkan perasaannya. Iyalah, selama ini dia pendam perasaan kepada aku tapi aku pula hanya mendiamkan diri.
"Sebenarnya awak sudah sangat sempurna. Awak begitu baik dengan saya, awak juga lemah lembut, cantik, senyuman awak pun manis. Saya suka semua yang ada pada awak. Jujur saya katakan. Tapi, saya minta maaf kalau saya mengecewakan awak. Saya ambil peluang sebelum hari ini untuk saya fikirkan perkara ini. Sebenarnya, hati dan perasaan saya sudah pada orang lain. Awak, saya faham perasaan awak, saya juga menanti seseorang yang tidak pasti. Saya sendiri tidak pernah memberitahu perasaan saya kepadanya tetapi saya masih berharap jika suatu hari nanti dia sedar akan hadirnya saya selama ini. Saya tahu saya tidak sempurna sebab itu saya tetap pilih untuk menanti dia sehingga aku melihat dia sudah menjadi milik orang lain."
Farhana terdiam seketika, seolah-olah dia sedang menahan perasaan sedihnya. Aku melihat riak wajahnya mula bertukar seolah-olah ingin mengalirkan air mata.
"Mesti dia lebih baik daripada saya, bukan?" sambungnya semula.
"Awak, awak janganlah sedih macam ini. Saya tak nak awak sedih-sedih macam ini. Saya nak awak seperti yang saya kenal sebelum ini, ceria, semangat dan aktif. Saya suka awak yang macam itu." pujukku supaya dia boleh ceria lagi.
"Tidak apalah awak, saya faham. Awak, saya nak awak tahu, saya harap pintu hati awak akan terbuka untuk saya di sini. Saya tutup hati saya untuk orang lain. Sama seperti awak, saya akan tunggu awak. Jika nanti awak kecewa kerana dia sudah menjadi milik orang lain, awak ingatlah awak sebenarnya ada saya. Saya tetap menantikan awak di sini."
Aku yang mendengar jawaban dia itu betul-betul membuat aku tidak dapat berkata apa-apa. Aku hanya boleh mendiamkan diri sahaja ketika itu. Farhana pun berdiri dan memberitahu yang dia ingin segera pulang.
"Awak hati-hati ye semasa pulang ke Sabah nanti. Awak jangan lupakan saya, ya." Farhana pun berjalan keluar dari KFC Nibong Tebal ini.
Setelah beberapa minit, aku pun pulang semula ke bilik. Aku berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku tadi di hadapan Anwar.
YOU ARE READING
Pemuja Rahsia (TAMAT)
RomanceKisah seorang lelaki yang bertemu dengan seorang gadis berkaca mata yang telah menambat hatinya. Ciri-ciri gadis yang menjadi idamannya. Pertemuan mereka tidak disengajakan dan dia pun tanpa sedar telah membina sebuah perasaan yang sangat kuat dalam...