Bab 3

464 15 1
                                    


PUAN AMNI membebel apabila melihat barang-barang yang dibeli Adlila. Serupa tak mahu pergi ke Padang Besar lagi. Padahal 4 bulan sekali dia ke sana. Jawapan kepada bebelannya itu, Adlila beritahu dia terbeli saja. Geram dengan perangai anaknya itu.

Telefon yang berada di atas meja soleknya dicapai. Sejak sampai tadi, dia tidak sempat melihat telefonnya. Mana tahu mesejnya sudah dibalas oleh Falik. Adlila senyum apabila mesej Falik ada. Cepat saja ditekan di situ.

Nanti Lik nak balik Malaysia.

Sekali lagi dia membacanya. Macam tak percaya Falik nak balik ke sini.

Nak buat apa? Adlila tekan mesej itu, dihantar.

Lama menanti. Tiada balasan. Adlila ketap giginya. Satu-satu saja mesej Falik. Sabarlah Lila, tak lama lagi kalau Falik balik maknanya kau dengan dia akan kahwin. Kan itu perjanjiannya sebelum dia ke sana. Adlila senyum. Sudah terbayang di matanya apa yang akan dipakainya nanti. Adlila rebahkan badan ke tilam. Memejamkan matanya. Mengimpikan dia dan Falik berada di atas pelamin.

Tak ada juga mesej daripada Falik. Adlila mendengus. Dia memang berfikiran negatif, tapi dia menyabarkan dirinya. Selagi tidak keluar dari mulut Falik sendiri dia akan sentiasa positifkan fikirannya.

"Falik nak balik ke?" tanya Puan Amni. Dia tidak memandang anaknya itu kerana dia sedang menyapu daun-daun kering di depan rumah.

"Eh, pandainya ibu teka," Adlila ketawa kecil.

"Ibu tak teka, ada orang beritahu ibu kat kedai pagi tadi," beritahu Puan Amni. Adlila terus hampiri ibunya.

"Eh, dah heboh dia nak balik. Kenapa Lila baru tahu tadi." Adlila tertanya-tanya.

"Ibu tanya siapa yang beritahu mereka Falik nak balik. Dia orang cakap mak dia beritahu."

Adlila kerutkan keningnya. Pelik betul tu. Kenapa pula bakal mak mentuanya itu tak beritahu kepadanya dahulu. Dicanangkan dulu kepada orang kampung. Sudahlah, seberang kampung pula tu. Adlila menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Lila, ibu rasa ada sesuatu yang tak kenalah." Puan Amni meluahkan rasa hatinya. Sejak Adlila beritahu kepadanya pasal itu, dia sudah tak sedap hati.

"Maksud ibu?" Adlila bertanya kepada ibunya.

"Kenapa masa Lila pergi rumah dia, dia tak cakap Falik nak balik."

Adlila diam. Dia tak tahu nak cakap apa.

"Mungkin dia nak kejutkan Lila."

Adlila memang masih begitu. Puan Amni saja yang merasakan ada sesuatu yang tak kena.

"Ibu rasa lebih baik Lila pergi tanya dia sekali lagi. Mana tahu kan. Kampung kita walaupun jauhnya 10 minit kebanyakannya orang kenal. Tambah pula, masa tu mak dia tengah beli ikan kat kedai ikan paling terkenal kat sini. Semua orang bercakap. Bukannya semua orang pergi belajar kat London tu. Anak dia saja rasanya."

Puan Amni tetap menyuarakan rasa hatinya. Dia tak mahu nanti Adlila lebih terluka kalau dia tahu hal sebenarnya. Sejak mula bertunang lagi, Puan Amni tak berapa nak baik dengan bakal besannya itu. Agak meninggi diri. Itu yang Puan Amni tak suka. Mungkin di depan Adlila perangainya macam lain. Tapi, di depan orang sebayanya lain pula perangainya. Senang cerita dia berlagak sebab Falik belajar kat luar negara.

Tapi, dia tak tahu Adlilalah yang banyak habiskan duit untuk anaknya itu. Hinggakan wang gaji untuk makan, kadang-kadang Puan Amni terpaksa bagi. Gajinya hanya cukup untuk menampung Falik dan membayar ansuran keretanya. Mujurlah wang pencen tentera arwah suaminya itu ada. Dapatlah menampung kehidupan mereka dua beranak.

CINTA HARUS MEMILIKIWhere stories live. Discover now