"MANALAH aku nak cari Falik ni?" Adlila merungut perlahan. Tapi, tetap didengari oleh Lorena. Adlila mengaru kepala yang dilapisi tudung.
"Kau ni rumah kakak dia pun kau tak tahu. Kau ni baru kenal dengan Falik ke apa ni?" Hampir menjerit Lorena bila Adlila cakap dia tak tahu di mana rumah kakak Falik di Perlis. Kalau tidak bolehlah mereka menuju ke sana. Halang Falik kahwin.
"Kau nilah, kalau tidak bolehlah kita halang Falik kahwin," sambung Lorena lagi.
"Siapa cakap aku nak halang Falik kahwin?" ternaik kening Adlila kepada Lorena.
"Eh, bukan ke?" Lorena bertanya pelik.
Hairan ni. Kenapa pula Adlila tak mahu halang Falik kahwin. Semalam telefon beritahu Falik nak kahwin menangis tak ingat dunia. Pagi ini, tak mahu halang pula. Sudah gila agaknya kawannya ini.
"Aku nak kutip hutang aje. Dah dia tak mahu kat aku nak buat macam mana." Adlila juih mulutnya.
Lorena pandang sahabat baiknya ini dengan rasa tak percaya. Mudahnya melupakan cinta kepada Falik. Cinta sejak sekolah kut. Takkanlah setakat menangis saja sedihnya.
"Biar betul kau ni!" Lorena menjerit.
Kalau dia sekuat Adlila sah-sah dia juga mahu bercinta. Ini tidak, sekali kena tinggal dia dah macam anak kucing mati mak.
"Betullah. Aku nak dia bayar balik susah payah aku. Dah nak sangat kahwin dengan minah rambut merah tu, kahwinlah. Janji duit aku dia bayar balik." Adlila nekad.
Siapa cakap hati tak sakit, Falik berubah hati. Sakitnya hanya tuhan saja yang tahu. Tapi, daripada dia meratapi, lebih baik dia fikir nak dapatkan duit tu semula.Boleh juga hantar ibunya pergi umrah.
"Macam mana kau nak cari dia?" tanya Lorena.
"Aku tak tahu yang pastinya aku akan dapatkan duit tu semula. Tak kira!" Adlila menumbuk tapak tangannya.
Nekad betul Adlila. Lorena pun tak boleh nak fikir. Entah-entah kalau dia di tempat Adlila, dia dah gantung diri. Biar tak ada masalah.
Adlila memang nekad kali ini. Ah, dia tak akan jatuh dengan mudah. Sebaliknya Falik yang akan jatuh.
"Aku nak minta dia bayar dalam mata wang pound."
Terkebil-kebil Lorena memandang Adlila.
SELEPAS seharian bekerja Adlila pulang. Dia meletakkan keretanya di bawah bangsal kereta. Dia terpandangkan ampaian yang penuh dengan baju-baju yang tak pernah dia lihat. Adlila mengecilkan anak matanya. Baju siapa pula ni? Ibunya ambil upah basuh baju orang ke?
"Ibu... Ibu..."Adlila menjerit di luar. Puan Amni keluar dengan cermin mata di batang hidungnya. Sedang memegang seluar. Mungkin sedang menjahit.
"Ibu, baju tu... ibu ambil upah basuh baju orang ke?" tuding Adlila ke ampaian. Puan Amni juga memandang ke situ. Takkanlah rajin betul ibunya itu.
"Ibu jangan buat pasal. Ingat Lila tak cukup nak bagi ibu makan ke?" Adlila sembur ibunya.
Puan Amni menggamit Adlila. Dengan langkah malas Adlila merapati ibunya.
"Ibu nak cerita ni. Ibu balik dari kedai beli ikan. Masa ibu balik tu, ibu nampak orang tersungkur kat depan jalan rumah kita ni. Kasihankan dia yang pucat lesi, ibu bawa dia baliklah. Lila, tahu tak. Ya ampun, ibu tak pernah bau orang macam tu. Tengik. Macam bau kambing pun ada dia tu. Rasanya kambing pun kurang busuk daripada dia." Puan Amni bercerita. Bersungguh-sungguh.
"Bau tengik? Lila pun pernah juga bau yang macam tu. Lila muntah berkali-kali dengan bau tu," ujar Adlila. Teringat mat saleh yang mukanya tersembam ke dada lelaki itu.
"Tulah terpaksalah ibu bawa dia balik juga walaupun busuk." Dua kali Puan Amni memberitahu Adlila dia membawa lelaki itu ke rumah mereka.
"Ibu bawa dia balik! Entah-entah penyamun." Adlila menjerit. Sudahlah mereka hanya dua orang perempuan. Kalau jadi apa-apa macam mana. Buat pulak dua-dua beranak kena rogol.
"Argh!" Adlila menjerit lagi.
"Taklah. Lepas makan lauk tadi, dia tidur. Ibu suruh dia berehat," beritahu Puan Amni.
"Makan lauk!" menjerit Adlila. Gila ke apa. Makan lauk saja. Nasinya kenapa tak makan. Pelik benar cara ibunya beritahu.
"Yalah, ikan tu dekat sepuluh ekor dia makan." Puan Amni bercerita. Tak sangka pelahap sampai macam tu sekali. Nasib baiklah ada lauk lain untuk dimasak. Pelahap tahap 10.
Adlila mendengus. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Orang apa pula yang meratah lauk. Ingat dia dengan ibunya cap duit nak beli ikan.
"Lila..." panggil Puan Amni. Adlila berhenti melangkah dan memandang ibunya.
"Ibu suruh dia berehat kat dalam bilik Lila." Puan Amni telan liur. Sedang menanti Adlila mengamuk.
"Ibu!" Adlila menjerit.
"Bilik solat ada kan, kenapa tak suruh dia rehat kat situ." Muka Adlila sudah tak manis. Pandai-pandai saja ibunya suruh berehat dalam biliknya.
"Tu bilik solat kita, ibu tak naklah dia masuk. Ibu rasa dia bukan orang Islam. Kristian rasanya." Lagi sekali Puan Amni beritahu perkara pelik.
Terjatuh rahang Adlila. Siapalah ibunya bawa balik. Adlila melangkah laju ke dalam biliknya. Ah, dia tak kira siapa pun orang itu, dia mesti keluar dari biliknya. Lebih baik lagi, keluar dari rumah ini. Panggilan Puan Amni tidak diendahkan. Pintu biliknya dibuka kasar.
"Hoi!" jerkah Adlila, sambil tangannya menarik gebar yang menutupi tubuh. Mata Adlila bulat memandang tubuh lelaki itu yang berbaju t-shirt hadiah arwah ayahnya. Memang agak besar, dia pakai ketika dia panas sahaja. Dan lelaki itu memakai kain batik! Kain batik itu milik dia!
"Ibu!" jerit Adlila.
Puan Amni menelan liur di depan muka pintu. Dia sengih. Sedar dia salah.
"Hoi, bangun!" Adlila tolak bahu lelaki itu.
Terpisat-pisat lelaki itu bangun. Lagilah rahang Adlila nak terjatuh, melihat wajah lelaki itu. Mat saleh tu! Mat saleh yang buat dia muntah. Mat saleh bau tengik tu!
Darrin senyum melihat perempuan yang dia kenal di rumah Falik. Satu-satunya perempuan dan makhluk yang dia kenal di Malaysia. Ini kali ketiga mereka bertemu.
"Ibu tahu tak, dia ni Lila jumpa kat rumah Falik. Lila tak tahu kenapa dia ada di rumah Falik." Tuding Adlila kepada Darrin.
"Ya ke? Apasal pula dia ada kat rumah Falik. Tanyalah dia," suruh Puan Amni.
"Ibu tahu tak kalau tanya banyak nanti, Lila pun tak faham apa yang dia cakap. Aksen dia tu lain. British gitu. Lain daripada Amerika. Rata-rata orang Malaysia ni aksennya ikut Amerika. Senang nak hadam." Terang Adlila. Dia tudingkan jarinya kepada Darrin menyuruh Darrin turun dari katil.
"Biarlah dia berehat Lila. Kesian dia. Letih lagi tu. Dah serupa orang tak makan setahun." Puan Amni menegah.
"Ibu nak Lila tukar baju depan dia. Lila melekitlah." Adlila jegilkan matanya kepada ibunya. Hailah, ibu ni. Kenapa baik sangat dengan orang asing.
Puan Amni gamit Darrin, mengajak Darrin keluar dari bilik tersebut. Darrin segera faham dan dia turun dari katil. Mata Adlila menyorot pandang tubuh Darrin yang tersarung bajunya. Sedang-sedang elok saja t-shirt itu dengan tubuhnya. Tak tahulah six pax ataupun tidak. Adlila tak mahu fikir.
YOU ARE READING
CINTA HARUS MEMILIKI
RomanceKisah darrin yang sopan dan adlila yang kerek. Cinta bukan sekadar cinta. Cinta adalah pilihan.