KETUKAN di pintu membuatkan Adlila terjaga. Terpisat-pisat dia turun dari katil. Salahnya juga kerana mengunci pintu bilik. Kalau tak kunci bahaya pula sebab ada lelaki asing di dalam rumah mereka. Dengan rambut macam Hantu Kak Limah dia membuka pintu. Daun pintu ditarik ke dalam dan dia menutupnya kembali dengan cepat. Orang putih bodoh ni lagi!
Menutup kepalanya dengan tuala, dia membukanya semula.
"They'are gone," beritahu Darrin.
Adlila terduduk. Falik dan Lucia dah lari sekali lagi. Adlila meraung di situ. Tahu duitnya tak akan dibayar Falik. Apabila kedengaran kecoh di pintu bilik Adlila, Puan Amni menghampiri mereka berdua. Bimbang juga Darrin buat sesuatu kepada Adlila. Meskipun, dia percaya kepada Darrin. Darrin sangat sopan jika diperhati.
"Ibu, Falik lari lagi!"
"Astagfirullah al-Azim."
Kasihan melihat Adlila begitu. Darrin tahu Lucia lari selepas dia memberi amaran ketika mereka bersembang tadi. Ah, Lucia ingat dia tak boleh cari Lucia dan Falik. Tunggu dia kembali ke London saja. Mujurlah Lucia tinggalkan passport dan juga kad kreditnya. Meskipun, telefonnya itu tidak dikembalikan. Lucia tahu jika dia kembalikan telefon, belum sempat dia tinggalkan Malaysia, mereka akan ditahan.
Salahnya juga kerana tidak menghafal nombor telefon orang-orang yang penting kepadanya. Dia perlu pulang segera. Mesti mereka semua bimbang dengan kehilangannya. Dan yang paling penting, rancangan mungkin akan tergendala. Rancangan untuk kembali ke tempat kelahiran neneknya.
"I'll back to London as soon as possible." Darrin pandang Adlila. Dia yakin Adlila faham maksudnya. Terkebil-kebil Adlila memandangnya dengan air mata membasahi pipinya.
"Baguslah tu. Balik cepat-cepat!" Adlila bingkas. Dia menyapu air mata dengan tuala di atas kepalanya.
"I'll company you to the airport."
Bamm! Pintu dihempas. Darrin gelengkan kepalanya. Tak pernah dia jumpa perempuan yang baran seperti Adlila. Tak pernah berlembut langsung. Setelah selesai mandi dan bersiap ala kadar, Adlila keluar dari biliknya. Dia hanya mengenakan jeans dan juga t-shirt lengan panjang berwarna jingga lembut. Adlila pandang Darrin yang menghampirinya.
Bau minyak wangi itu unik sebab itulah Adlila tahu itu Darrin. Kalaupun, Darrin berada dalam lautan manusia, dia boleh tahu Darrin ada di mana. Bau wangian itu sudah sebati dengan hidungnya setelah lebih seminggu Darrin ada di rumah mereka.
Adlila tenang memandu kereta menuju ke lapangan terbang. Dia tak perlu bimbang kerana lelaki ini tahu bagaimana nak naik kapal terbang. Kalau dia, mungkin boleh pengsan kat situ sebab tak pernah naik kapal terbang. Nak beli tiket pun dia tak tahu. Adlila letakkan kereta tidak jauh dari pintu masuk ke dalam lobi.
"Honey, you're not sad while I'm gone?" tanya Darrin.
Pergi mampuslah! Adlila menjuih. Dia tidak menjawab kepada Darrin. Kau siapa? Aku siapa? Adlila hanya berdiri di tepi pintunya. Tidak memandang Darrin yang sedang menggalas begnya. Darrin berdiri di depan Adlila.
Darrin hulurkan tangan kepada Adlila. Adlila tetap tidak menghulurkan tangannya. Dia memeluk dirinya. Darrin tarik tangan Adlila dan meletakkan secebis kertas ke tapak tangannya. Tak ingin Adlila lihat apa yang ada, dia terus lemparkan cebisan kertas ke dalam keretanya.
Dia sedang jauh melamun, bagaimana mahu mencari Falik. Dia tetap nak tuntut hutangnya semula. Darrin melangkah ke lobi lapangan terbang. Adlila masuk ke dalam keretanya dan terus memecut. Dia tidak lagi memandang ke arah Darrin. Dia serabut sekarang. Dan dia lega kerana tiada lagi orang putih dalam rumahnya.
"LILA lupakanlah Falik tu. Kau ni dah lebih 6 bulan kut Falik tu lari. Tak mungkin kau akan jumpa dialah." Lorena menyenggol bahu Adlila. Muka monyok Adlila sudah jemu dia pandang. Dia mahukan Adlila dulu. Yang ceria saja.
"Duit kau tu entah ke mana." Lorena berkata lagi. Biarpun sakit apa yang dikatanya itu, sekurang-kurangnya Adlila tak perlu berharap lagi. Tambahan pula tiada perjanjian hitam dan putih. Betapa mudahnya Falik buat tak tahu.
"Kau ni tak jaga hati aku langsung." Adlila tolak tubuh Lorena.
"Lantaklah Falik tu. Apa kata kau cari orang lain pula jadi peneman." Lorena angkat keningnya berkali-kali.
"Huh, peneman apanya. Buat pula serupa Falik yang muncul, aku kecewa buat kali kedua." Adlila menjuih. Lorena ketawa terkekek-kekek. Sekali terluka sampai bila-bila dia berfikir sepuluh kali untuk mencari peneman.
"Jom kita pergi bercuti. Merawat hati lara," ajak Lorena. Dia kelipkan mata di depan Adlila. Mana tahu Adlila mahu pergi. Dulu, dia selalu menolak kerana tidak cukup wang. Selalu kena bagi kepada Falik. Sekarang jantan tu dah tak ada dalam hidup Adlila.
"Nak pergi mana?" tanya Adlila.
"Hmm, aku tak terfikir lagi. Kalau kau nak pergi mana?" tanya Lorena.
"Ajak aku, tapi aku kena fikir. Apalah kau ni." Adlila mendengus.
Lorena ketawa.
"Kita ke Terengganu?" Lorena kelipkan mata kepada Adlila lagi. Tak pasal-pasal pula muncul negeri pantai timur itu di benaknya.
"Hmm, kat sana pantai cantik-cantik. Tambah-tambah Pulau Kapas dan Pulau Perhentian tu. Cantik benar." Adlila anggukkan kepalanya.
"Jadilah ya. Jangan lupa isi borang cuti. Kita aje yang jarang bercuti. Mesti bos lepas walaupun nak bercuti sekali." Lorena sudah membayangkan dia sedang berenang dalam lautan biru.
Adlila anggukkan kepalanya. Apa salahnya dia merawat lara hati. Bak kata Lorena. Hutang itu, kalau jumpa Falik memang dia akan paksa Falik bayar. Biarpun seribu tahun. Kalau tak jumpa nak buat macam mana. Tapi, nak halalkan memang tak akan halalkan. Biar Falik merangkak mencarinya di pandang Mahsyar."LILA dah fikir puas-puas ke?" tanya Puan Amni.
"Ibu pula dah fikir habis tak nak ikut kami?" Adlila berbalik kepada ibunya. Kalau ibunya mahu mengikut mereka pun tak apa.
"Habis dah."
"Lila pun." Adlila sengih.
Baju-baju dimasukkan ke dalam beg. Pertama kali dalam hidupnya dia akan pergi bercuti.
"Nak ibu tambah duit ke?" tanya Puan Amni.
Adlila ketawa. Pelik pula dengan ibunya. Dia bekerja. Tak perlu ibunya itu menambah duit yang sememangnya cukup.
"Ibu guna duit tu untuk ibu ajelah. 5 hari Lila pergi ni. Ibu tak rindu Lila nanti?" tanya Adlila.
Puan Amni ketawa kecil. Dia usap lengan Adlila. Adlila senyum kepada ibunya.
"Ibu nak apa dari Terengganu?" tanya Adlila.
"Sutera." Sepatah dia menjawab. Kalau makanan terkenal Terengganu kat sini pun boleh dapat.
"Okey." Adlila naikkan ibu jarinya.
Setelah pasti semuanya sudah dikemas, Adlila bawa begnya lalu dimasukkan ke dalam bonet keretanya. Dia dan Lorena sepakat hanya mahu memandu saja. Kalau mahu menaiki kapal terbang mereka terpaksa ke Pulau Pinang. Lebih baik memandu. Letih sedikit, tapi dapat pengalaman.
YOU ARE READING
CINTA HARUS MEMILIKI
RomanceKisah darrin yang sopan dan adlila yang kerek. Cinta bukan sekadar cinta. Cinta adalah pilihan.