PB | 14

2.2K 146 28
                                    

DIA melangkah ke ruang tamu rumah kampung itu bersama dengan si anak yang berada dalam dukungan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

DIA melangkah ke ruang tamu rumah kampung itu bersama dengan si anak yang berada dalam dukungan. Seperti lazimnya ibu berpantang yang lain, dia menyanggul tinggi rambutnya. T-shirt dan kain batik juga terletak elok di tubuhnya berserta stoking panjang yang tersarung penuh di kedua belah kaki. Katanya untuk mengelakkan 'masuk angin'.

Sudah dua minggu berlalu sejak dia melahirkan anak perempuannya dan kini, dia tinggal bersama dengan orang tuanya di rumah kampung itu sepanjang tempoh berpantang. Ini adalah di atas permintaan orang tuanya sendiri yang mahukan anak dan cucunya terjaga dalam keadaan sebegini. Dia hanya akur tanpa ada niat mahu membantah.

Si comel yang baru sahaja diberikan susu badan sebentar tadi diletakkan di atas gebar kecil yang terbentang di atas sofa sebelum dia juga melabuhkan duduk dengan penuh berhemah di sisi anak itu. Tidak mahu membuat gerakan yang lasak sehingga jahitan di tempat sulitnya kembali terbuka. Televisyen yang tertutup dibuka dengan menekan alat kawalan jauh yang terletak di atas meja kopi. Belakang tubuh disandarkan tenang sambil sebelah lagi tangan tidak henti-henti menepuk sisi paha anak perempuannya yang pulas dalam lena.

Sebuah drama bertajuk Maaf Tak Indah yang diadaptasi daripada novel karya Emy Roberto sedang bertayang pada waktu itu di slot Samarinda. Leka dia melayan drama yang memaparkan tentang seorang isteri yang tidak mahu mengandungkan anak suaminya dan apabila didapati bahawa dia hamil, wanita itu berhasrat mahu menggugurkan kandungannya. Tetapi, pengguguran tersebut tidak dapat dilakukan apabila doktor mengesahkan bahawa janinnya sudah sempurna sifat. Sang suami yang mendapat tahu tentang niat si isteri, terus melempiaskan marah dan tidak dibenarkan isterinya itu untuk mendekati anak mereka setelah anak itu lahir walau si isteri sudah berasa insaf. Malah, diberi pula seorang wanita luar yang berniat jahat untuk menjaga anak mereka dan tidak lama selepas itu, si isteri diceraikan suaminya dalam keadaan dia sedang hamil anak kedua.

Sungguh, drama ini menyentuh hatinya sebagai seorang wanita yang sudah pernah bernikah dan pernah melahirkan. Setiap malam, di rumah kampung ini, drama inilah yang sering dilayannya setelah menidurkan si anak. Nasiblah dia memikirkan bahawa dia sedang berpantang, emosi cuba dikawal sebaik mungkin. Takut gila meroyan pula dia kalau asyik menangis kerana drama ini.

Tidak lama kemudian, tumpuannya terganggu apabila sang abah mengambil tempat duduk di sofa berhadapan dengannya. Sempat juga si abah menyapa dengan menyebut nama manjanya dalam keluarga itu. Aira. Dia membalas sapaan itu seadanya bersama sebuah senyuman tipis yang diukirkan buat lelaki tua itu.

"Abah ada benda nak cakap sikit dengan kamu." Encik Khalid memulakan perbualan sambil anak mata mengerling anak perempuan dan juga cucu perempuannya silih berganti.

"Apa dia?" soal Humaira lembut. Dalam pada itu, anak matanya mengerling ke arah anak perempuan di sisi. Sempat juga dia membetulkan 'bedung' yang membaluti tubuh si anak. Tidak mahu terlalu ketat dan tidak mahu terlalu longgar.

Encik Khalid membisu seketika sambil anak mata tidak lepas melihat tingkah si anak dan cucu. Dia sedang berfikir-fikir bagaimana mahu menyampaikan perkara yang bersarang di minda pada ketika ini kepada anak perempuannya. Agak-agak bagaimana penerimaan anaknya nanti?

Penghulu Bidadariku : Aisyah Humaira [RE-PRINT]Where stories live. Discover now