BAB 7 : KEKASIH KHAYALAN

1.1K 37 12
                                    

Bab 7

            Sambil melunjur kaki di atas sofa, tangan asyik menyeluk balang kerepek popiah bersalut serbuk keju. Dari sekeping ke sekeping, tak berhenti mulut mengudap. Kruk-krak-kruk-krak dari tadi. Semakin rancak aksi tumbuk menumbuk di kaca TV, semakin laju rahangnya bekerja. Sama naik, tak nak kalah. Sampaikan dia tak sedar dah hampir setengah balang masuk ke perut.

            "Hah, jangan bersepah-sepah atas karpet putih mommy pulak. Cheese tu dahlah colour orange, payah nak cuci kalau dah melekat kotornya."

            Mata Sabrina teralih kepada ibunya yang baru keluar dari kamar utama. Bukan keluar biasa-biasa ya, siap dengan pakej membebel sekali. Wanita itu kemudian terus duduk di sofa sebelah. Masih asyik menikmati kerepek dan menonton TV, dia buat tak tahu saja pesanan yang singgah ke telinga sebentar tadi.

            "Hah, tengok tu. Kamu tak perasan ke ada kerepek jatuh dekat atas karpet, Rina? Sekejap lagi kamu turun bawah ambil vakum dan bersihkan semua habuk tu. Jangan biar macam tu aje, nanti bersemut pulak karpet aku."

            Sabrina mendengus bosan. Hesy, kacau betullah orang nak tengok TV!

            "Apa ni mommy asyik nak membebel tak habis-habis? Orang nak tengok movie pun tak senanglah." Gerutunya sambil memuncung. Dari ekor mata dia nampak mommy terus tegakkan badan. Bersiap sedia untuk menghambur kemarahan kepadanya.

            "Kamu kata mommy membebel? Eh, macam mana mommy tak membebel kalau perangai kamu tu pemalas sangat? Kamu tu anak dara, tak boleh ke makan elok-elok sikit? Bunyi mengunyah kamu tu dahlah tak senonoh, sampai ke bilik mommy boleh dengar! Cup-cap-cup-cap macam apa aje!" Seperti peluru machine gun mulut Syazwin menembak Sabrina dengan ayat pedasnya. Budak seorang ini memang perangai tak semengah sikit. Dah besar panjang pun masih lagi tak beradab. Geram betul!

            "Iyalah, iyalah. Sekejap lagi Rina turun bawah ambik vakum. Puas hati?" Sabrina membentak dengan muka cemberut. Matanya masih tertumpu kepada filem aksi yang rancak ditayangkan di kaca TV.

            Syazwin mendengus keras dengan balasan selamba si anak. Belakang badannya disandar rapat ke sofa. Terjeling-jeling mata memandang Sabrina. Kalau diikutkan hati, sekarang juga dia mahu mendesak anak sulungnya itu turun ke bawah mengambil penyedut hampagas. Bukan sekali dua dia kena tipu dengan Sabrina, dah banyak kali. Berjanji saja nak tolong itu dan ini, tapi hujung-hujung tak buat juga.

            Suasana di ruang tamu tingkat dua itu kembali sepi tanpa perbualan. Sabrina ralit menonton TV, manakala ibunya pula leka mengasah kuku. Hampir lima belas minit kemudian, tiba-tiba saja Arissa muncul dari tingkat bawah. Bertambah merundum mood Sabrina setiap kali terpandangkan perempuan sombong itu. Meluat nak mampus!

Mata mengerling kepada ibunya. Dan-danlah mommy buat muka manis bergula tahap mesra alam flora. Tersengih-sengih macam kerang busuk kepada Arissa. Dah beria sangat kenapa? Padahal perempuan sombong itu langsung tak menoleh kepada mereka yang tercongok dekat sini. Nak menegur dan berbual-bual? Haram! Berlagak macam mem besar dua puluh empat jam. Eii, menyampah betul!

Sebaik saja kelibat Arissa hilang di tangga kecil menuju ke bilik loteng, mulut Sabrina segera meluah apa yang terbuku di dada. Tak tertahan-tahan rasanya mahu menunjuk protes kepada si ibu yang berat sebelah.

"Mommy ni tak tengok ke jam dah pukul berapa sekarang? Pukul sepuluh malam perempuan tu baru reti balik, kenapa tak sound dia tadi? Kalau Rina yang pakai kereta lama-lama, siaplah mommy membebel sampai esok pagi. Kalau budak tu, semua boleh kan?"

            Rungutan dan sindiran Sabrina membuatkan Syazwin terjegil mata. Terkejut bercampur geram. Memang terus menggelegak panaslah segala rasa di dada ini. Berani betul Sabrina mempersoalkannya sampai begitu sekali?

KEKASIH KHAYALANWhere stories live. Discover now