BAB 14 : KEKASIH KHAYALAN

1.3K 41 14
                                    


Bab 14

"Sedap betul kek keju kamu buat semalam, Arissa. Sampai ke malam Fauzan dan Ani asyik berulang alik ke peti sejuk. Anak-anak Mak Tijah sebenarnya jarang berselera makan benda-benda manis ni. Tapi sebiji kek kamu tu boleh habis dalam satu malam. Huiih, berhantu betul resepi kamu Arissa. Sedap!"

Arissa yang sedang berdiri di depan singki untuk membasuh pinggan, tertawa kecil. Kembang kuncup hatinya mendengar pujian Mak Tijah. Semalam memang dia memberi sebiji kek kepada Mak Tijah untuk dibawa pulang. Kebetulan dia memang buat bancuhan yang lebih. Baru dua kali mencuba resepi burnt cheesecake itu, tak sangka pula menjadi dengan elok.

Petang semalam Arissa ada juga mempelawa Syazwin dan Sabrina untuk menjamah keknya. Tapi masing-masing menolak. Sabrina lagilah eksyen, asyik buat muka eww-eww sampai ke sudah. Eleh, ingat dia tak reti baking ke? Sorry ya, bertahun-tahun dia belajar kulinari untuk apa kalau tak hebat memasak? Bukan setakat memasak hidangan biasa, dia turut dilatih untuk membuat pelbagai jenis pastri dan kek.

Kononlah tak nak makan, tapi pagi tadi Arissa tengok dah tinggal suku kek di dalam peti sejuk. Bila ditanya siapa yang makan, masing-masing menuduh Danish. Mentang-mentanglah budak itu innocent, tak pandai nak membela diri. Memanglah dia tahu Danish ada makan juga, tapi takkanlah lebih dari separuh kek itu ditelan budak sepuluh tahun? Mengarut betul.

Kalau sedap, puji sajalah. Sibuk nak mendengki dan jaga ego sendiri pasal apa? Haila, manusia!

"Arissa."

"Ya, Mak Tijah?" Arissa menoleh kepada Mak Tijah yang sedang terjengket-jengket menyimpan pinggan mangkuk yang telah dilap ke dalam kabinet.

"Kalau kamu susah sangat dapat kerja, apa kata kamu ambil tempahan kek dekat rumah? Lepas tu kamu hantar ke kedai Fauzan. Mak Tijah yakin mesti laku keras punyalah kek keju kamu tu. Orang sini tak ramai lagi pernah rasa kek keju jenis hangus macam tu. Kalau yang biasa-biasa tu, dah selalulah. Merata-rata ada jual."

"Boleh ke hantar dekat kedai Fauzan, Mak Tijah?" Tanya Arissa ingin tahu. Kedua belah tangan yang basah dilap dengan tuala kecil yang tersangkut di tingkap. Kemudian tubuhnya dipusingkan menghadap wanita itu.

"InshaAllah, boleh rasanya. Sebab Kak Ton yang duduk belakang rumah Mak Tijah tupun ada hantar karipap dan donat. Memang laku sebab ramai orang luar datang makan-makan dekat situ."

Arissa terdiam sejenak. Ditimbang-timbang cadangan Mak Tijah yang agak bernas itu. Elok juga kalau dia tak perlu bersusah payah keluar bekerja. Ambil tempahan kek dari rumah pun boleh dapat income. Sehari kalau berjaya jual tiga atau empat biji kek pun sudah berbaloi. Nanti bila di kedai, mereka boleh memotong dan menjualnya secara slice dengan harga yang lebih tinggi.

"Mahal tak kos kamu nak buat sebiji kek tu, Arissa?"

"Boleh tahan jugalah, Mak Tijah. Cream cheese dan whipped cream tu yang besar sikit modalnya. Tapi kalau jual harga mahal-mahal, ada ke orang nak beli nanti?"

"Ada, mesti ada. Kamu jangan risaulah sebab yang ramai-ramai datang ke kedai Fauzan itu pun pelancong dari luar. Orang bercuti ni jarang nak berkira soal duit, lagi-lagi bab makan. Lagipun kalau mahal sikit tak apa kalau berbaloi dengan pemandangan depan mata diaorang, kan?"

Arissa mengangguk lagi tanda bersetuju dengan pendapat Mak Tijah. Bagaikan ternampak di ruang mata betapa indah kehijauan di ladang teh tempat Fauzan bekerja itu. Bila difikir semula, teh dan kek keju memang satu padanan yang sangat sempurna. Apatah lagi kalau dinikmati dengan teh berperisa pudina. Hilang muak di tekak kesan dari rasa kek yang berlemak dan berkrim. So yummy!

KEKASIH KHAYALANWhere stories live. Discover now