BAB 9 : KEKASIH KHAYALAN

1K 47 20
                                    

Seperti dijanjikan, Acik belanja satu bab lagi.  :)

Enjoy gaisss! 

*************


Bab 9

Pagi pagi lagi Arissa sudah keluar berjoging. Dapat berlari dua kilometer pergi dan balik pun sudah memadai baginya. Maklumlah kebelakangan ini berselera benar dia menjamah makanan. Siap ikut jadual makan pula tu. Sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam semua dia hadap. Kadang-kadang tak berakhir di situ saja. Pukul sebelas malam dia boleh lagi turun ke dapur mencari biskut untuk dikudap.

Haila, macam mana berat badan tak naik tiga kilo?

Puncanya kerana di sini tak ada apa yang boleh Arissa sibukkan. Sehari suntuk masanya lebih banyak dihabiskan di rumah. Nak mengemas pun dah tak tahu nak kemas apa. Semuanya sudah elok terletak. Bila asyik melepak saja dekat dapur bersama Mak Tijah, mulalah seribu idea timbul di kepala. Nak masak itulah, nak bake inilah, buat kuihlah, masak pengatlah. Aduhai!

Setibanya di depan pagar Rumah Putih, Arissa menghentikan larian yang sedia perlahan. Termengah-mengah hidung dan mulut mencari udara untuk mengatur nafas. Badan dibongkokkan seketika sambil tangan mencengkam ke dada. Semput sungguh!

Dalam keadaan masih membongkok, kepalanya terdongak sedikit. Memandang lurus ke depan. Rumah banglo putih yang tersergam indah di dalam sana ditatap tepat. Jarak dari pintu pagar ke pintu rumah taklah sejauh mana. Kira-kira lima puluh meter saja. Dan disepanjang laluan menuju ke situ, pelbagai jenis pokok menghijau dan bunga-bungaan menjadi peneman di kiri dan kanan. Cantik sangat-sangat. Tak ubah seperti berjalan di dalam taman.

Dengan nafas masih tercungap-cungap, Arissa tegakkan tubuh. Sebelah tangan mula sibuk mengesat keringat yang luruh dari dahi. Apabila terasa oksigen sudah mengalir lancar ke seluruh dada, barulah kaki menyambung langkah dengan perlahan. Mangga di pintu pagar dibuka dan kembali dikunci sebaik saja dia masuk ke kawasan kediamannya.

Langkah kaki tak dibawa terus ke pintu rumah, sebaliknya Arissa melencong ke bahagian tepi. Terasa pula nak menyejukkan badan di laman terlebih dulu. Sambil berjalan ke situ, mata ralit memerhati disekeliling. Tanah berkeluasan lebih satu ekar ini sentiasa redup dipayungi pohon-pohon pokok yang merimbun. Tumbuh segar dengan kebanyakan daunnya berwarna hijau pekat.

Mak Tijah ada menyebut nama-nama pokok tersebut kepadanya tempohari. Ada pokok buah rambutan, mempelam, jambu batu dan juga langsat. Dekat tepi tembok sana pula merimbun daun-daun pokok mata kucing. Seronoknya bila ada kebun buah-buahan di tanah sendiri. Sampai cukup masa nanti, petik dan makan fresh-fresh. Sedapnya! Tapi setakat ini yang sudah berbuah cuma pokok mangga susu dan mempelam epal saja. Yang lain, belum nampak bayang lagi.

Meletak punggung di atas pangkin kayu, kepala Arissa terus mendongak. Merekah bibirnya dengan senyuman manis. Mempelam epal bersaiz satu penumbuk kelihatan lebat berbuah di atas sana. Ada yang bergayut di dahan lebih rendah dan boleh dipetik dengan tangan saja. Kalau buah-buah yang tinggi itu, memang kena kait pakai galahlah.

Semalam Arissa dan Mak Tijah sudah mengupas dua biji mempelam muda dari pokok ini. Lekalah mereka berdua duduk di dapur sambil makan colek-colek. Rasa mempelam epal itu taklah terlalu masam. Enak kerana rangup dan berlemak. Dicicah pula dengan sos kicap pedas berapi yang disediakan oleh Mak Tijah, memang terangkat. Fuh, kecur air liurnya setiap kali teringat!

Arissa benar-benar bersyukur kerana menjadi pemilik tanah ini. Rumah yang cantik dia dapat, pokok buah-buahan pun dapat sekali. Jackpot kata orang. Dan dia tak bercadang untuk menebang mana-mana pokok yang tumbuh di sini. Tempohari dia ada terdengar cadangan gila Sabrina yang disebut kepada Syazwin. Bukan main lagi perempuan itu berangan nak buat swimming pool di tanah ini.

KEKASIH KHAYALANWhere stories live. Discover now