BAB 12 : KEKASIH KHAYALAN

1.2K 49 13
                                    

Bab 12

Malam itu Arissa duduk berehat di luar rumah. Walaupun cuaca sejuk dan berangin, aman saja dia bersantai di kerusi taman berdekatan porch. Awal-awal lagi dia sudah menyarung knitted sweater tebal berwarna hitam sebelum keluar tadi. Terasa hangat jugalah tubuhnya walaupun tangan dan kaki sudah kebas-kebas dibalut kesejukan.

Bayangkan coklat panas yang dibawa tadi sudah menjadi suam suhunya di dalam mug. Padahal tak sampai sepuluh minit dia duduk di sini. Sambil menghirup minuman, jauh Arissa memandang ke pagar utama yang diterangi lampu. Sekadar pandangan kosong tak berisi. Kerana saat ini fikirannya lebih tertumpu kepada reaksi Syazwin senja tadi. Ketika dia menyerahkan wang dua ribu ringgit yang diambil di pejabat uncle Amin.

Airmuka Syazwin ketara berubah walaupun dia tahu wanita itu cuba berlagak normal. Dalam hati sudah pasti berbakul-bakul dia kena maki. Tak padan dengan sakit perut, Syazwin masih berani menyoal berapa wang yang dia dapat. Nampak sangat nak demand lebih-lebih dan mendengki.

Hello, dah cukup baik dia bagi dua ribu ringgit tau. Kalau diikutkan hati yang panas, sesen pun tak sanggup dihulur. Geram sungguh setiap kali teringat plan jahat Syazwin dan Sabrina pagi tadi. Tergamak dua beranak itu cuba mensabotajnya. Sejenis manusia tamak dan tak tahu mengenang budi!

Dan bermula kejadian pagi tadi, Arissa mula tersedar sesuatu. Tersedar yang dia perlu lebih berhati-hati untuk hidup di dalam rumah ini. Syazwin dan Sabrina memang tak boleh dipercayai, busuk hati dan penuh dengan muslihat. Hari ini mereka berani meletak ubat julap dalam minumannya, esok lusa siapa tahu mereka bubuh racun pula. Sumpah! Arissa bertekad yang dia sama sekali takkan meneguk minuman yang dibancuh oleh Syazwin mahupun Sabrina.

Dalam diam hati Arissa mula bergosip sendiri. Jelas sekali layanan arwah papa terhadap Syazwin ketara berbeza diakhir-akhir usia. Takkanlah papa sanggup menyerahkan segala harta kepadanya tanpa sebarang sebab? Confirm Syazwin ada buat hal ni. Dan mungkin kerana terlalu marah, geram dan sakit hati, arwah papa bertindak menghukum Syazwin dengan membiarkan perempuan itu hidup sehelai sepinggang.

Hmm, Syazwin ada skandal ke? Pernah menduakan papa? Manalah tahu sebab ibu tirinya memang tak pernah kalah kalau bergaya. Body pun masih cantik macam anak dara. Dan rasanya kalau Syazwin nak cari anak ikan untuk berseronok, senang-senang boleh dapat. Hesy, tapi tak naklah dia menuduh tanpa usul periksa. Berdosa!

Rimas memikirkan tentang Syazwin, perlahan-lahan Arissa mendongakkan muka. Memandang tingkap kamarnya yang kelihatan terang benderang. Dan setiap kali terlintas tentang bilik loteng, fikirannya sentiasa mengaitkan bilik itu dengan Luth. Mungkin kerana di sanalah mereka kerap bertemu dengan penuh kejutan.

Jujurnya sepanjang hari ini Arissa mula dibebani perasaan serba salah. Setiap kali teringatkan Luth, setiap kali itulah dia mengeluh kesal. Walau siapa pun lelaki itu, jelas sekali Luth tetap berjaya menyelamatkannya hari ini. Amaran Luth malam tadi telah membuka matanya untuk terus berjaga-jaga dengan kelicikan Syazwin dan Sabrina.

Tapi itulah, dia pula menunjuk perangai buruk terhadap niat baik Luth. Bersikap acuh tak acuh tatkala orang itu beria-ia ingin membantu. Malah sempat pula dia memarahi Luth kerana asyik muncul di depannya tanpa isyarat. Dan sekarang perasaan terkilan semakin lama semakin kuat menekan ke dada. Selagi tak berterima kasih kepada Luth, sampai bila-bila pun perasaan ini akan sentiasa mengganggu.

Cuma untuk Arissa berdepan dengan Luth, hati sebenarnya tak begitu kuat. Seram dan takut. Kerana baginya kemunculan Luth langsung tak sama seperti manusia normal yang lain. Fitrahnya sangat berbeza. Paling membingungkan, lelaki itu boleh datang dan menghilang sekelip mata. Begitu saja. Mutant ke? Atau manusia yang punya superpower? Atau... hantu? Aduhai, janganlah hantu please!

KEKASIH KHAYALANWhere stories live. Discover now