BAB 18 : KEKASIH KHAYALAN

732 29 1
                                    

P/s : Bab ni pendek je. Sorry! :p





**************

Bab 18

Dua minggu berlalu, Noah meneruskan hidup dengan rutin yang sama. Siang dia ligat bekerja di pejabat, malam pula dia sibuk bercanda di Cameron Highlands. Berulang-ulang rutin tersebut dilakukan setiap malam sampai dia mula rasa keletihan. Penat mental dan fizikal. Mana tidaknya, setiap malam dia akan 'bertemu' dengan Arissa di dunia khayalan. Kalau dah mula berbual, bukan reti sekejap. Lama berlarut sampai ke jauh malam.

Namun ada hikmahnya kepelikan yang sedang berlaku ini. Tanpa disangka-sangka, Noah telah mendengar pengakuan Luth lebih seminggu yang lalu. Ketika mereka berbaring di atas karpet di kamar Arissa, Luth ada bercerita tentang dirinya. Bercerita kepada Arissa. Tak mampu diluahkan dengan kata-kata, hati ini cukup tersentuh dan terharu.

Bagi Noah, dia tak pernah sedar yang Luth cukup menghargai pengorbanan lampaunya. Lagipun mereka tak berkesempatan berbual panjang atau berkongsi rasa sebelum Luth meninggal dunia. Kalau tak disebut tempohari, sampai bila-bila dia takkan tahu sikap mengalahnya dianggap sebagai satu pengorbanan. Kerana dia hanya melakukan apa yang perlu. Menolak kepentingan sendiri demi keselesaan dan kebaikan Luth.

Emosi Luth pada malam itu terasa benar-benar sarat dan berat. Laksana terbeban dengan kekesalan yang begitu jauh tertanam di dada. Noah mengerti kerana dia turut merasai setiap perasaan yang terbit di celah hati Luth. Cuma fikiran masih tertanya-tanya tentang maksud Luth pada malam tersebut. Luth bersungguh-sungguh ingin membantu dirinya mendapatkan yang terbaik.

Tapi dapatkan apa?

Apa yang Luth nampak kurang baik pada dirinya sekarang?

Itu yang dia masih belum dapat jawapannya.

Di dunia serba nyata ini, Noah tak pernah berhenti berharap agar dapat bertembung dengan 'Arissa' sekali lagi. Dia yakin boleh mendapat sedikit klu tentang gejala yang dihidapinya jika mereka bertemu. Dan kalau benar 'Arissa' memang menetap di Putrajaya, itu bermakna otaknya sudah rosak teruk. Dia tak boleh berlengah lagi, kena dapatkan rawatan mental dengan segera.

Tapi agak sukar untuk mencipta pertemuan memandangkan terdapat berbelas syarikat berbeza di bangunan tempat kerjanya. Tak tahulah syarikat yang mana satu menjadi tempat 'Arissa' membina kerjaya. Itupun kalau betul nama perempuan itu Arissa. Jika ya, dia masih boleh berusaha mencari sampai bertemu dengan orangnya. Tapi kalau nama lain? Hah, menggagaulah sampai ke tua tak jumpa-jumpa.

            Semasa Noah bernafas di dalam tubuh Luth, dapat dirasakan hubungan abang kembarnya bersama Arissa berkembang dengan sangat pantas. Sesuatu yang agak mengejutkan untuk dijangka. Mereka berdua semakin rapat dari satu pertemuan ke satu pertemuan. Cara berbual, bergurau, berkongsi cerita, bertukar-tukar renungan, tak ubah seperti pasangan bercinta. Malah sikap Arissa dari sekecil-kecil perbuatan sering saja menyentuh hati Luth. Sudah tentu hati dia ikut tersentuh sama. 

            Gila memang gila. Namun kegilaan ini mula menormalkan Noah. Apabila sudah terlalu kerap berjumpa, berkongsi cerita, dia menjadi sangat selesa di sisi Arissa. Tak terasa kekok langsung. Bahkan dia sentiasa ternanti-nanti waktu malam menjelma kerana mahu segera mengembara ke Cameron Highlands bertemu gadis itu. Tak boleh tidak, dia perlu juga pergi. Wajib!

Dan kerana sudah menjadi rutin, Noah mula mengambil langkah berjaga-jaga. Demi mengelak dari terkaku di tempat merbahaya atau dikhalayak ramai, dia akan berkurung saja di dalam kamarnya. Tak keluar bilik dan takkan sesekali keluar dari rumah. Berkali-kali Mat John menelefon untuk mengajak dia bermain futsal, tapi ada saja alasan yang dia berikan untuk mengelak. Lepak mamak pun dia tak nak.

KEKASIH KHAYALANWhere stories live. Discover now