BAB 15 : KEKASIH KHAYALAN

1K 56 12
                                    


Bab 15

Rengusan demi rengusan semakin kuat pula menerobos ke telinga. Langsung Arissa buat tak endah saja. Kekal diam dan menunjuk muka selamba. Filem Inggeris yang ditayangkan di kaca TV jauh lebih menarik perhatiannya ketika ini. Tak ingin dia nak memenuhi permintaan yang bukan-bukan. Demand yang dibuat pada bukan tempatnya. Koser nak melayan!

"Eh, apa masalah kau ni hah? Kan aku dah cakap, aku nak pakai duit tu buat pergi KL. Lagipun kau bukannya suka tengok muka aku lama-lama dekat sini kan? Bagi ajelah duit tu!"

Sekali lagi suara nyaring Sabrina melengking kuat membelah malam. Arissa masih menahan sabar yang kian menipis. Ini nasib baik rumah mereka jauh dari rumah penduduk lain. Kalau sebelah menyebelah, silap-silap orang kampung dah datang ketuk pintu. Ingatkan Sabrina dah kena sampuk hantu jembalang.

"Hoi, Arissa! Kau pekak ke atau sengaja buat-buat pekak? Aku nak mulakan hidup baru dekat KL ni, kau faham ke tak? I need that damn money!"

Jenuh menahan kemarahan, akhirnya Arissa tak dapat bertahan lagi. Tak sedar remote TV di tangannya dihempas kuat ke sofa. Melantun sekali dan terus terpelanting di bawah meja kopi. Ketika mukanya didongak, pandangan geram terus bersabung dengan mata Sabrina yang tajam menjeling. Bukan main over perempuan ini bercekak pinggang di tepi sofa tempat dia duduk bersandar.

Dasar tak tahu malu! Nak mulakan hidup baru dekat Kuala Lumpur konon. Kalau betullah, dipersilakan dengan segala hormatnya pergi. Sungguh, Arissa takkan sesekali menghalang ke mana hala tuju langkah Sabrina atau Syazwin. Mereka sentiasa bebas. Cuma yang menjadi isu sekarang, kenapa dia pula perlu membayar harga 'kehidupan' baru Sabrina? Apa kena mengena?

Kalau setakat mengecek duit tambang bas, duit belanja dua tiga ratus, dengan seikhlas hati Arissa sanggup berikan. Ini tak mainlah beratus ringgit, membentak-bentak nakkan sepuluh ribu ringgit. Kononnya nak bayar deposit kondominium dan membeli barang-barang kelengkapan rumah. Berdikari jenis apa kalau semua dia kena sponsor?

"Apa pandang-pandang? Sekarang ni kau nak bagi aku duit tu ke tak, hah?"

"Tak."

"Excuse me??"

"Aku takkan bagi kau sesen pun!" Selamba Arissa membidas. Sekeras mana suara Sabrina meminta, sekeras itu jugalah dia menolak.

"Kau ni memang sengaja nak cari pasal dengan aku kan? Mentang-mentang kau yang manage duit dalam rumah ni, bukan main eksyen lagi perangai kau!" Seperti nak terkeluar biji mata Sabrina yang membuntang garang. Ibaratnya mahu ditelan Arissa hidup-hidup!

"Cari pasal apanya? Hello, berapa tinggi tembok kau dah pasang dekat muka kau tu? Tak tahu malu ke? Suka-suka hati kau aje mintak 10K dengan aku. Kau ingat aku kerja cop duit? Cop-cop atas kertas dah boleh jadi kaya raya?" Sindir Arissa sambil menunjuk gaya mengecop dengan tangan kanannya.

Sabrina menjerit geram. Diraup berkali-kali wajah yang terasa kebas dan hangat. Tertekan bagai nak gila menghadap Arissa yang sentiasa sombong dan angkuh. Kalau diikutkan marah, sekarang juga dia mahu menerkam. Mahu diganyang-ganyang perempuan kedekut nak mampus ini sampai lunyai.

Kalau dia tak dapat duit sebanyak itu daripada Arissa, dekat celah mana lagi dia nak korek? Hadi sudah pun berjaya mendapatkan satu unit kondominium untuk dia tinggal di Kuala Lumpur nanti. Betul-betul sebelah KLCC, tak ke hebat tu? Tapi itulah, meminta duit dengan Arissa tak ubah seperti pergi berjuang di medan perang. Tak terpekik terlolong memang tak sah!

Sabrina sudah memasang tekad sehabis daya. Dia takkan sesekali mengalah selagi tak dapat apa yang dihajati. Ini bukan hal kecil kerana ia melibatkan hala tuju masa depannya. Jadi dia akan mendesak dan memaksa Arissa habis-habisan. Apa nak jadi, jadilah!

KEKASIH KHAYALANWhere stories live. Discover now