BAB 8 : KEKASIH KHAYALAN

989 38 24
                                    

Salam gais!

Siapa nak Bab 9 hari ni jugak? Kita tengok majoriti ok.

Selamat bersantai di rumah. Stay at home, stay safe and take care love!


*******   


Bab 8

Encik Zakir tatap wajah Noah dalam-dalam. Jelas sekali tak terlihat walau segaris riak ceria di raut anak bongsunya itu. Muram, sugul, kerap mengelamun dan lebih pendiam berbanding hari yang lalu. Malah nasi goreng di dalam pinggan pun dikuis-kuis saja tanpa minat. Entah berapa sudu saja yang telah masuk ke dalam mulut Noah sebentar tadi.

Perubahan Noah pagi ini mungkin bersangkut paut dengan kejadian pelik malam semalam. Dia sendiri masih teringat-ingat peristiwa yang membuatkan dirinya menggelisah sampai ke siang. Tak boleh tidur langsung. Mengimbas kembali kejadian aneh itu, dia sedang membaca buku di dalam bilik ketika ia berlaku. Tiba-tiba saja terdengar bunyi air mengalir dari dapur. Tak henti-henti.

Awalnya Encik Zakir hanya menganggap paip di singki yang bocor. Maklumlah kerap benar ia tersumbat beberapa bulan kebelakangan ini. Namun bila dia pergi ke dapur untuk memeriksa, Noah yang berada di situ. Tegak saja anaknya berdiri di depan mesin penapis air yang terletak berdekatan singki. Tak bergerak-gerak tubuh tinggi Noah ketika dia menghampiri.

Ketika itu Encik Zakir lihat Noah sedang menadah air kosong dari mesin penapis tersebut. Hatinya tak menaruh sebarang perasaan curiga jika Noah berkelakuan seperti biasa. Yang membuatkan dia terkejut besar, botol dua liter di tangan anaknya itu sudah pun penuh. Terlebih penuh sampai membuak-buak air keluar. Hairan sungguh kenapa Noah masih terus menadahnya. Sedangkan air yang tumpah itu sudah melimpah hingga membasahi lantai dan kaki.

Bila dijenguk ke muka Noah, Encik Zakir lihat elok saja kelopak mata anaknya terbuka. Cuma mata hitam Noah yang memandang lurus ke depan seperti kaku. Sekaku tubuh yang berdiri tegak itu. Tak ubah seperti rakaman video yang ditekan ke mode pause. Satu anggota badan pun tak nampak bergerak. Bila dipanggil-panggil, Noah tetap juga mengeras begitu tanpa menunjuk sebarang tindakbalas.

Sehinggalah tangannya naik menepuk bahu Noah, barulah segenap sendi anaknya bagaikan terlepas bebas. Tercungap-cungap Noah mencari udara umpama baru selesai berlari marathon. Apabila dia bertanya tentang apa yang berlaku, Noah sekadar menjawab tak ada apa-apa. Tak sempatlah dia nak bertanya lebih lanjut kerana Noah sudah kelam kabut mencari mop untuk mengelap lantai.

Sejak dari kejadian aneh malam semalam, hati Encik Zakir mula berdetak tak enak. Terfikir-fikir hingga dia sukar untuk melelapkan mata sampai ke pagi. Perlakuan Noah telah mengganggu seluruh ketenangannya. Sungguh, tak pernah dia berdepan dengan situasi pelik begitu. Apatah lagi ia berlaku kepada anaknya sendiri.

Dan kerana terlalu banyak persoalan tanpa jawapan berlegar-legar di kepala, Encik Zakir mahu mendengar sendiri penjelasan daripada mulut Noah. Kebetulan pula Nazila masih sibuk di bilik cuci, inilah masa yang sesuai untuk dia mengorek masalah anaknya ini.

"Noah."

"Ya, ayah?" Noah sedikit tersentak. Pantas bibir mengukir senyuman kelat buat si bapa yang duduk bertentangan dengannya. "Err, ayah nak tambah kopi lagi ke?"

"Eh, ada lagi kopi ni." Encik Zakir memuncung kepada cawan sendiri di atas meja. "Boleh ayah tanya something pada kamu, Noah?"

"Tanya something? Pasal apa ayah?"

"Kamu ni sebenarnya okay ke tak? Ayah nampak kamu lain macam aje pagi ni. Kamu tak sihat ke?"

Noah tertawa kecil. Digelengkan kepala beberapa kali.

KEKASIH KHAYALANWhere stories live. Discover now