"Kak?"
Suara itu terus menegur aku. Aku perlahan-lahan memandang ke kiri. Seorang perempuan bertudung bawal berwarna merah jambu hanya memerhati aku dengan wajah pelik. Wajahnya putih melepak seperti kulit Eina Azman. Cucuk vitamin C agaknya perempuan ni. Aku dapat melihat wajahnya dengan jelas memandangkan dia telah pun membuka topeng mukanya.
"Akak okay ke?" soal perempuan itu lagi.
Aku mengangguk lalu menghela nafas lega. Mujur bukan hantu. Jarang aku dengar hantu bertudung gitu. Melainkan kalau hantu ni dari Bandar Baru Bangi. Entah kenapa bila cakap pasal tudung kepala otak aku terus teringatkan Bangi. Mungkin kerana terlalu banyak butik tudung di sana. "Akak okay. Haah kereta akak rosak ni dik. Tiba-tiba dia jadi camni. Akak drive macam biasa je tadi." balas aku. Ya aku menipu. Takkan aku nak cakap yang aku baru lenjan Myvi aku ni pergi racing dengan Honda Civic Type R dan Ferrari 488 GTB. Mesti dia akan fikir aku ni pemandu gila ataupun pemandu dibawah pengaruh alkohol.
"Oh macam tu ke. Akak dah cuba call sesiapa ke? Suami ke? Boyfriend ke?"
Aku menggeleng. "Bateri phone akak habis. Powerbank ni ada ha, tapi cable charger pulak tak bawak. Adik ada cable charger tak? Akak nak pinjam."
"Ada rasanya. Dekat dalam kereta.” katanya. Matanya kemudian tertancap pada telefon Samsung aku. “Tapi cable IPhone lah. Boleh ke? Kalau nak saya pergi ambil."
"Eh dik! Akak pakai android je dik. Hmm takpelah dik." balas aku penuh hampa. Takkan aku nak jolok lubang phone Samsung aku ni pakai kabel Iphone.
Aku kemudian keluar dari perut kereta. Di belakang ada cahaya yang sedang menyuluh ke arah kereta aku. Cahaya itu datang dari lampu sebuah kereta Ford Ranger biru yang sedang berhenti dibelakang kereta aku yang enjinnya masih hidup. Seorang lelaki berkaca keluar dari ruangan tempat duduk pemandu. Dia kemudian berdiri seketika di tepi keretanya untuk mengelap cermin matanya yang berwap menggunakan T-Shirt kelabunya. Barangkali cermin matanya berwap disebabkan suhu aircond keretanya terlalu tinggi sehingga menghasilkan wap pada cermin matanya. Setelah dilap dengan bersih lelaki tersebut berjalan menuju ke arah aku dan perempuan bertudung merah jambu tadi.
“Sayang, apa cerita?” soal lelaki itu kepada perempuan bertudung merah jambu. Mungkin mereka ni pasangan suami isteri. Aku mencuri-curi tengok jari mereka. Ya memang tidak salah lagi tanggapan aku kerana jari mereka tersarung cincin.
“Betul lah, kereta akak ni rosak bang. Akak ni nak call suami dia tak boleh sebab bateri phone mati.” terang perempuan itu kepada suaminya.
“Oh, macam tu ke kak. Saya ni nak bagi pinjam phone sim card saya pulak rosak.” balas lelaki itu.
“Pulak… Hmm, adik pulak? Boleh akak pinjam phone tak?” aku menyoal isterinya pula. Takkan phone isterinya pun rosak jugak kan.
Perempuan itu tersenyum kelat. “Hmm saya pulak phone saya hilang. Dua hari lepas. Dah cuba Find My IPhone pun tak dapat kesan.”
Adoi. Macam-macam hal pulak si laki bini ni. Yang sorang simcard rosak, yang sorang phone hilang. “Pulak dah. Dalam keadaan macam ni bahaya tau dik kalau suami awak kat luar awak kat rumah sorang-sorang. Kalau ada apa-apa jadi susah nak contact.” kata aku yang mahu menasihati mereka pula.
“Yelah tu kak. Sebab tu saya ni ikut je ke mana suami saya pergi.”
“Boleh pulak adik ni bebas keluar berdua? Bukan semasa PKP ni seorang wakil keluarga je ke boleh keluar? Adik ni anak menteri ke?” soal aku kehairanan. Orang lain bukan main takut-takut nak keluar ramai-ramai sebab tak pasal kena bayar RM1000 tak pun masuk lokap. Tapi laki bini ni relax je berjalan berdua macam tak ada apa-apa. Jangan-jangan dia ni anak Zahid Hamidi jugak tak?
“Ish akak ni. Mana ada saya anak menteri. Saya dengan suami ni cuma cuba nasib je. Ada masa lepas, ada masa tak lepas. Selalunya polis akan suruh u-turn balik. Bila polis bagi arahan tu kitorang ikut jelah. Tak kiralah kena pusing balik ke apa. Asalkan tak kena tangkap sudah. Lagipun bukan selalu sangat kami keluar. Bila barang dapur habis je kami keluar.” balasnya. Dia kemudian memalingkan wajahnya ke arah suaminya. “Abang tak nak tengok-tengokkan kereta akak ni tengok apa yang boleh dibetulkan ke? Kesian akak ni tersadai dengan highway ni dari tadi.”
Wajah suaminya mula memaparkan reaksi terpinga-pinga. Reaksi ini saling tidak tumpah seperti reaksi kawan India aku Jai yang beragama Hindu apabila ditanya mengenai apa hukum nun mati bertemu ghain semasa di bangku sekolah dahulu. Macam tulah mukanya. Blur habis. Dengan kata lain, aku dapat rasakan yang suami perempuan ini tidak ada ilmu untuk membaiki kereta yang rosak kerana bukan dalam bidangnya. Tak semestinya dia lelaki, dia tau semua benda-benda macam ni. Aku faham kerana suami aku sendiri tidak berapa mahir dalam membaiki kereta. Itu yang keretanya kini tersadai di bengkel.
“Saya bukan tak nak tolong kak...Tapi saya tak mahir pomen kereta ni. Kalau akak suruh saya betulkan komputer ke atau apa-apa yang berkaitan dengan IT saya reti lah. Hehe… Saya ni programmer je...Maaf ye kak.” balas lelaki itu dengan nada yang serba salah kerana tidak dapat membantu.
“Tak apa dik..Akak faham.” Aku melemparkan senyuman untuk mengurangkan rasa bersalahnya. Tepat sekali sangkaan aku. Bagi aku tindakan mereka memberhentikan kereta semata-mata ingin memeriksa keadaan aku sudah cukup baik nak dibandingkan dengan pemandu-pemandu lain yang buat-buat tak nampak akan kewujudan aku.
“Tak apalah kak. Macam ni. Apa kata akak ikut kitorang, kitorang hantar akak ke rumah akak. Kereta ni biar je sini inshallah tak ada apa-apa. Yang penting akak ni takkan nak tidur sini pulak kan.” kata perempuan itu. Dia kemudian memandang suami dia. “Boleh kan bang?”
“Eh boleh! Bahaya kak duduk sorang-sorang kat sini. Lagi-lagi time PKP ni orang tak ramai lalu lalang sini. Kalau ada apa-apa jadi susah. Kami hantar akak ya?” kata si suami pula.
Mungkin orang lain akan pura-pura menolak pelawaan ini dengan ayat ‘eh takpelah dik susah susah je’, ya kalau aku pun aku akan gunakan ayat seperti itu sekiranya ada orang yang tidak dikenali menghulurkan bantuan kepada aku. Cuma bukan pada kali ini. Aku sudah penat, letih dan panas berpeluh dengan cacing dalam perut aku ni dah buat persembahan choral speaking. Aku dah tak tahan lagi. Aku terus mengangguk tanda setuju.
YOU ARE READING
TUMPANG - Sebuah cerita seram PKP
HorrorPerjalanan Aina yang keluar memandu hanya untuk membeli barang dapur dan singgah sebentar ke tempat kerjanya kini bertukar menjadi satu masalah besar baginya setelah kereta Myvi miliknya tiba-tiba rosak semasa memandu di lebuh raya LEKAS. Dengan bat...