BAB 4

1.6K 19 0
                                    

Kereta trak pikap Ford Ranger biru dipandu pada kelajuan sederhana. Jam menunjukkan 8.50 malam. Aku agak sedikit gusar takut-takut kalau polis tidak memberikan kebenaran kepada kami untuk melepaskan kami dalam sekatan jalan raya yang akan kami tempuhi sekejap lagi. Perjalanan kami ditemani dengan lagu Janji Manismu nyanyian Aishah yang diputarkan dari siaran radio Sinar FM. Si suami menghayati lagu tersebut dengan penuh perasaan sambil menyanyi dengan penuh emosi. “Hati membeku mengingatkan kata janji manismu~” 

“Ku dilambung angan-angan… Belaian kasih sayang suci darimu.. Oh kejamnya~” Isterinya pula menyambung. Botol deodoran ketiak Nivea suaminya dijadikan sebagai mikrofon. Kini mereka berduet. “Lidah tidak bertulang, ucapan cinta mengiris kalbu~”

Mereka berhenti berduet. Si suami sambung menyanyi. “Ku kan pergi~...”

“Membawa diri~...” Kemudian disambung oleh isterinya. Dan mereka bergandingan kembali. “Cinta di hati terkubur lagi~” Mereka berdua menyanyi penuh perasaan sambil menutup mata. Aku risau pula kalau si suaminya terbabas langgar divider jalan nanti dengan aku-aku sekali yang mati.

“Wah boleh tahan kaki karaoke ye korang ni  Boleh tahan suara.” Aku memuji sambil cuba untuk menghentikan mereka daripada terus menyanyi walaupun suara pasangan suami isteri ini bukan sedap mana pun. Lagipun, lagu Aishah siapa boleh tahan daripada ikut menyanyi sekali. Di tambah pulak dengan kaki karaoke macam aku ni. Selagi diorang tak berhenti menyanyi selagi itulah rasa nak karaoke ni membuak-buak bagaikan lava gunung berapi yang menunggu masa untuk meletus. Jangan main-main dengan aku. Aku ni juara Pertandingan Karaoke anjuran Kelab Rukun Tetangga Bandar Teknologi Kajang selama lima tahun berturut-turut dan pernah beberapa kali menyandang gelaran juara pertandingan-pertandingan menyanyi di sekolah dan Zon Hulu Langat. Suara ni aku bukan suara sebarangan. Bukan suara penyanyi picisan. Ayda Jebat? Nabila Razali? Not my level! Sekali aku menyanyi jangan kata Mariah Carey menangis, Whitney Houston siap gali kubur sendiri nak keluar dari kubur sebab terlalu kagum dengan suara aku yang lunak merdu. Tapi tulah, takkan aku tiba-tiba nak berkaraoke di dalam kereta orang yang tak dikenali ni. Aku ni kalau dah menyanyi memang akan feeling habis. Silap-silap haribulan diorang berhentikan aku kat tepi highway ni pula.

“Kami ni memang kaki karaoke. Masa dekat hospital dulu pun memang semua orang tau kitorang ni kuat menyanyi.” balas si isteri.

Aku tersentak. Hospital? Diorang ni pesakit covid-19 ke? Ah sudah! Kang tak pasal aku terjebak dengan virus ni. Yelah tengok sempurna tubuh badan takda bengkak-bengkak takkan sakit gaut pulak kan. “Hospital?” soal aku.

Pasangan suami isteri itu tersentak. Si suami terus membuka mulut. “Sebenarnya..isteri saya ni nurse. Saya ni dulu pesakit dia lah...Masa dulu saya terkena denggi, dia lah yang bertugas di wad saya masa tu. Dari situ kami kenal.”

Oh, gitu ke. Aku menghela nafas lega. “Oh, bertemu jodoh dekat hospital lah ni. Untunglah dik bertemu jodoh kat hospital. Ada orang bertemu ajal dekat hospital. Eh kejap, adik ni nurse ke?” Pertanyaan aku ditujukan kepada si isteri untuk mendapatkan pengesahan dari tuan badan. Tak silap aku dia tak ada sebut pasal kerjayanya tadi semasa kami berbual. Yang aku dimaklumkan hanyalah suaminya seorang programmer. Si isteri kemudian mengangguk. “Lah frontliner rupanya.” kata aku. Si isteri hanya melemparkan senyuman. Hmm patutlah mereka ni bebas keluar berdua. Mesti diorang pakai pas petugas kesihatan. Aku curi-curi tengok di ruangan dashboard. Tiada sebarang pas petugas kesihatan. Nak tanya nanti nampak macam busy body sangat. Tak apalah. Mungkin mereka selalu lepas sekatan jalan raya sebab si isteri selalu berpakaian uniform jururawat agaknya. Hmm lebih baik aku tanya nama diorang. Baru aku sedar dari tadi kami takda sesi orientasi berkenaan dengan nama kami. “Nama akak Aina. Nama adik pulak siapa?”

“Saya Bushra, suami saya Nuh.” kata si isteri. Matanya besar, berwajah bujur sireh dan berkulit putih. Molek orangnya. Itu yang dapat aku ungkapkan apabila melihat wajahnya tanpa topeng muka semasa dia memeriksa keadaan aku di tepi lebuh raya. Kini dia dan suaminya memakai semula topeng penutup muka. Aku ni pula terlupa hendak memakai topeng muka yang tertinggal di dalam kereta aku. Suaminya yang berkaca mata pula berkulit sawo matang dan mata yang sedikit sepet, tidaklah terlalu kacak tapi tarikannya tu ada. Adalah aura Beto Kushairy sikit. Sesuailah dipadankan mereka berdua. Bagai pinang dibelah dua. Aku memandang ke luar tingkap. Melihat bulan yang terang seperti seolah-olah sedang mengikuti kami. Aku tergelak kecil apabila bercakap soal bulan. Kepala aku terus memainkan memori di mana anak aku Boboi menangis ketakutan kerana rasa seperti diekori oleh bulan semasa menaiki kereta. Haih, Boboi anak ibu. Ibu rindu anak ibu. Kejap lagi ibu sampai ya sayang. 

TUMPANG - Sebuah cerita seram PKPWhere stories live. Discover now