Novel Asal Tulisan Chai Jidan. Diterjemah Daripada Bahasa Cina Kepada Bahasa Inggeris Oleh JustBLThings.
"Bangun. Cukuplah tidur tu, pergi ambil ubat nenek."
Bai Luo Yin menggosok matanya dan perasan yang matahari masih belum terbit.
"Macamlah kena daftar dulu kalau nak ambil ubat, kalau dah ada preskripsi daripada doktor hanya tunggu giliran saja dan terus dapat ubatnya."
Bai Luo Yin membebel pada dirinya sendiri. Dia membalikkan tubuhnya dan ingin sambung tidur.
"Lagi cepat kamu pergi, lagi cepat kamu balik. Bangunlah, nenek nampak cemas tu."
Bai Luo Yin membalikkan tubuhnya beberapa kali dan akhirnya dengan malas dia bangun dari katilnya.
•••
Selama sepuluh tahun lalu, sarapan paginya tidak pernah berubah; setiap pagi dia makan tauhu dan juga tepung goreng yang dicucuk pada lidi.
Bai Han Qi selalu menjadi orang pertama yang sampai ke gerai itu untuk membeli sarapan.
Kadang kala dia pergi ke sana ketika wanita yang memiliki gerai itu masih belum membuka gerainya.
Malah, dia sanggup duduk dan tunggu sehinggalah gerai itu dibuka; dia sememangnya bertekad mahu membeli sarapan di gerai tersebut.
Memandangkan kerap kali membeli di sana, dia dipanggil pelanggan tetap oleh pemilik gerai sehinggakan wanita itu tidak perlu bertanya apa mahunya kerana sarapannya sudah pun siap dibungkus.
"Saya dah kenyang." Bai Luo Yin meletakkan sudunya.
Mata Bai Han Qi tidak lepas dari memandang anak lelakinya yang satu itu.
"Kamu ni selalu saja tinggalkan sisa setiap kali makan."
Bai Luo Yin mempunyai satu tabiat buruk; tidak kiralah makanan apa yang dimakannya, dia tetap akan meninggalkan sedikit sisa di dalam pinggan setiap kali makan.
Walaupun dia belum lagi kenyang, dia tetap tidak menghabiskan suapan yang terakhirnya; yang mana tabiat itu sudah pun menjadi biasa dalam dirinya sehingga ke hari ini.
Ketika dia masih kanak-kanak, keluarganya tidak mempunyai banyak wang untuk menyara hidup; namun begitu, ayahnya sentiasa menyimpan sedikit makanan buatnya.
Disebabkan Bai Luo Yin sangat sayangkan ayahnya, dia juga berbuat perkara yang sama kepada ayahnya itu. Sekarang, keadaan mereka sekeluarga sudah bertambah baik, tetapi Bai Luo Yin masih lagi tetap dengan tabiat lamanya.
•••
Hari ini hari Jumaat dan kebiasaannya pada hujung minggu doktor tidak ada.
Oleh itu, ramai orang berbaris panjang menunggu untuk mendaftar. Terutamanya bagi hospital yang besar seperti ini, seolah-olah hari ini adalah hari rawatan percuma, pasti ramai yang memenuhi segenap ruang; persis situasi di stesen kereta api bawah tanah di Beijing pada waktu puncak.
"Hey kau! Kau pijak kaki aku!"
"Hah! Mustahil, padahal kaki aku tak menyentuh tanah pun!"
"....."
Bai Luo Yin berdiri di belakang seorang gadis yang sangat cantik. Apabila orang di belakangnya menolak, tubuhnya turut terdorong menyentuh bahagian belakang gadis itu. Dia tidak tahu sama ada mahu berasa gusar atau berasa bersyukur.
Jika hal ini terus berlarutan, dia takut kalau-kalau apabila gadis itu menjalankan pemeriksaan, dia akan disahkan hamil.
(T/N: Terdapat pepatah Cina atau budaya lama yang mengatakan seseorang lelaki dan anak gadis tidak boleh berhubungan secara fizikal. Ketika anak gadis itu masih muda, dia akan diberi amaran agar tidak memegang tangan mana-mana lelaki yang bukan suaminya, jika tidak anak gadis itu akan hamil dan perkara ini bukanlah jenaka. Jadi, dalam hal ini, dapat dikatakan bahawa Bai Luo Yin agak sarkastik dan sedikit teruja namun pada masa yang sama juga kesal dengan situasi dirinya ditolok sehingga menyentuh gadis tersebut <-- sindiran seksual disini.)
YOU ARE READING
Are You Addicted? (Bahasa Melayu) - New Update
Teen FictionNovel Asal: 你丫上瘾了? (Are You Addicted) Pengarang Asal: Chai Jidan Bahasa Asal: Cina Terjemahan Ke Bahasa Inggeris: Just BL Things Luo Yin: Kau sakit! Gu Hai: Ya, aku sakit. Luo Yin: Makanlah ubat! Gu Hai: Kaulah ubat aku. Sesetengah orang itu ibarat...