Danial sudah kecut perut memandang anak mata David. Peluh mula menuruni pelipisnya. Sungguh dia takut melihat raut wajah David yang tegang itu. Tangan kanannya masih melekap pada dada David, cuba menghalang David daripada mara.
"Apa yang kau nak Danial? Apa tujuan kau datang ke istana ini?" Soalan David membuatkan Danial berasa semakin cemas. Dia tidak mahu rahsianya itu terbongkar.
"A-aku... Aku... Erm..." Dada Danial mulai sesak. Dia takut hendak memberitahu perihal kedatangannya ke istana. Melihat renungan tajam David menambahkan debaran di dada. Adakah ini akan menjadi pengakhirannya di sini?
"Aku apa Danial?" jerkah David. Serentak itu tangannya naik mencekik leher Danial. Danial tersentak. Tercungap-cungap dia mengambil nafas. Kiri dan kanannya dipandang mencari kelibat David.
"Mimpi rupanya." Danial mengeluh perlahan. Wajahnya diraup perlahan. Sejujurnya mimpi itu membuatkan dia berasa takut. Adakah David akan memberi reaksi sebegitu jika kebenarannya terbongkar?
"Dah pukul berapa ni? Mana David? Takkan tak balik lagi?" Danial menyoal sendiri. Jam yang menunjukkan angka 3 pagi di dinding dikerling sekilas.
Ssip!
Bunyi berhampiran balkoni menyentakkan Danial. Seingatnya dia sudah menutup pintu gelangsar di balkoni. Siapa pula yang membukanya? Dahinya berkerut hairan seraya kaki diturunkan ke birai katil. Perlahan-lahan dia menghayun kaki menuju ke arah pintu gelangsar.
"David... Kau ada dekat situ ke?" soal Danial. Belum sempat dia menjengukkan kepalanya ke luar, satu benda tajam menusuk belakang badannya. Danial tersentak. Pedih sekali dirasakan pada bahagian belakang badannya seolah-olah ada renjatan elektrik sahaja mengenai kulit.
"Kau siapa?" soal Danial menahan pedih.
"Aku, Tuan Muda. Kami sudah bagi Tuan Muda pilihan, tetapi Tuan Muda berdegil. Jumpa lagi di neraka." ujar lelaki di belakangnya dengan nada sinis.
"Kau cucuk apa dekat aku?" soal Danial. Rasa pedih pada bahagian belakang badannya semakin mencucuk. Kakinya terasa semakin melemah.
"Kalau aku bagitahu, nanti tak menariklah. Menyusahkan je Tuan Muda. Nikmatilah oksigen untuk masa satu jam ini. Bye!" Lelaki itu terus keluar melalui tingkap. Danial jatuh terbaring di birai katil. Buih putih mula keluar dari mulutnya.
Bunyi tombol pintu dipulas sedikit sebanyak melegakan Danial. Dia tahu orang yang memulas tombol pintu ialah David. David langsung tidak membenarkan sesiapa pun memasuki biliknya tanpa kebenarannya. Jadi, siapa lagi yang akan masuk melainkan David?
David meliarkan matanya di atas katil dan di atas sofa, mencari keberadaan Danial. Melihatkan kelibat Danial tiada, dahi David berkerut pelik. Tiada pula Danial untuk menyusahkan dia di malam hari untuk hari ini. Pintu bilik air dan tandas pula dibuka untuk mencari kelibat Danial, namun masih juga tidak kelihatan kelibatnya.
"Danial?" David memanggil.
"Mana pula budak tu? Beg ada, tak akan tuannya tiada?" gumam David. Langkah kaki dihayun menuju ke arah pintu gelangsar. Belum sempat dia ingin membuka pintu gelangsar, kakinya disentuh oleh sesuatu. David agak tersentak melihat keadaan Danial ketika itu.
"To-tolong akh-aku." pinta Danial.
"Kau kenapa Dani? Siapa buat kau macam ni?" soal David. Tubuh Danial lantas dicempung ke atas katil.
"Aku... Aku diracun." Lemah suara Danial kedengaran. David sudah berasa cemas.
"Racun? Kau tunggu sekejap. Aku nak pergi panggil Fazlan." kata David. Laju dia berlari keluar dari bilik. Badan Danial sudah menggigil hebat. Sejuk terasa mencengkam tulangnya dan kulitnya terasa pedih.
YOU ARE READING
EMERALD
Fantasy[ROYAL FANTASY+ROMANCE] [COMPLETE] DAVIDRIAN ETHAN, selalu berpakaian hitam. Seorang yang pendiam malah selalu tampak tenang. Namun penampilannya membuatkan dia tampak seperti seorang yang dingin dan sedikit menakutkan. Hadirnya DANIAL dalam hidupny...