Kening diukir cantik. Bibir pula merah dioles pewarna bibir. Wajah yang disolek ditatap pada pantulan cermin. Seketika dia tersenyum. Buat kedua kalinya dia bersolek dan memakai pakaian perempuan. Kali pertamanya ketika menari dengan David di dewan Istana Xhandelion.
“Cantik tak?” soal Danial. Pelayan di tepinya tersenyum manis.
“Cantik sangat.” jawabnya. Danial ketawa kecil seraya berdiri. Langkah diatur penuh cermat menuju ke luar dengan tangan yang disilang ke belakang badan.
“Segak kau, abang.” puji Qarl. Kening dijongketkan sambil memandang ke arah Nick.
“Habis, takkan nak masuk istana dalam keadaan selekeh pula? Tak pasal-pasal kena halau.” ujar Nick. Qarl juihkan bibir.
“Dah siap!” Danial sengih. Terpegun seketika Nick dan Qarl. Pertama kali dia melihat adiknya memakai pakaian perempuan dan bersolek.
“Wah... Lawanya kau. Kau betul-betul Arakyls Danialya? Atau kau ni sebenarnya pari-pari?” soal Qarl.
“Apalah abang ni! Melebih pula. Mana David?” Kelopak mata dikedipkan beberapa kali. Kepala ditoleh ke kiri dan kanan mencari keberadaan David.
“Dekat luar. Sana.” Bibir dijuih ke arah pintu gelangsar. Terlihat kelibat David yang berdiri membelakangi pintu gelangsar di situ.
“Dia tak ada pakaian warna lain ke? Sejak dia datang sini, asyik pakai warna hitam sahaja.” ujar Nick. Hari ini David mengenakan suit hitam. Seakan pakaian pengawal peribadi sahaja lagaknya. Nasib baik pengawal peribadi memakai kemeja putih di dalam kot hitam.
“Dia suka pakai pakaian hitam. Tak ada warna lain.” Danial geleng dengan sengihan.
“Haish... Tak muak ke asyik hadap warna hitam je setiap hari? Dah jomlah.” Qarl berjalan keluar. Dibiarkan Danial berjumpa dengan David, manakala dia dan Nick beredar ke tempat letak kereta.
“Sayang...” Mendengar suara Danial, David lantas menoleh. Bibir digerakkan, melorek senyuman manis. Pelukan Danial dibalas erat.
“Arakyls... Dah lama kita tak jumpa.”
“Tuan Putera, sudikah Tuan Putera menari dengan patik?” Danial mengulangi kata-katanya saat pertama kali memakai pakaian perempuan di hadapan David.
“Tuan Putera diam. Adakah Tuan Putera menolak ajakan patik?” soal Danial lagi. Dia tersentak tatkala David tiba-tiba mengangkatnya lalu berpusing-pusing di laman itu.
“Mana mungkin menolak.” jawab David. Danial ketawa kecil. Lantas, pipi David dikucupnya.
“Jom, kita pergi. Dah sampai masanya untuk bertolak.” kata David. Danial diturunkan ke bawah lalu mereka mengatur langkah menuju ke arah kereta. Nampaknya hari ini akan berlaku sesuatu di Istana Ardanna. Haraplah tiada yang mengambil kesempatan untuk melancarkan peperangan. Keadaan di Istana Ardanna pun sedang kucar-kacir ketika ini. Pemberontakan berlaku di mana-mana sahaja.
“Gemuruhnya.” Qarl meniup tangannya yang sudah berpeluh. Nick menggelengkan kepala.
“Kau gemuruh kalah aku. Aku yang akan naik takhta ni tenang saja.” kata Nick. Dahulu, jika dia tidak buat keputusan untuk keluar dari istana, pasti dia yang akan mengambil alih tempat ayahandanya. Sekarang, keadaan tetap tidak berubah. Mahu tidak mahu, dia tetap perlu mengambil alih tempat ayahandanya.
“Kau dah putus saraf gelabah, saraf takut, saraf gemuruh semua. Tinggal saraf tenang je belum putus.” Nick dijeling. Macam manalah abangnya itu boleh beriak tenang lagi ketika ini?
“Sekejap... Macam mana kita nak tangani pengawal istana?” soal Qarl.
“Kau lupa kau tu siapa? Cubalah tangani semua bekas pengawal kau tu.”
YOU ARE READING
EMERALD
Fantasy[ROYAL FANTASY+ROMANCE] [COMPLETE] DAVIDRIAN ETHAN, selalu berpakaian hitam. Seorang yang pendiam malah selalu tampak tenang. Namun penampilannya membuatkan dia tampak seperti seorang yang dingin dan sedikit menakutkan. Hadirnya DANIAL dalam hidupny...