Seperti dia

12 1 2
                                    


" Aku nak jadi seperti dia "

" Aku mahukan hidup yang sempurna seperti dia "

" Aku nak ubah diri hingga aku mampu jadi sehebat dia "

" Kenapa hidup aku tak bahagia macam dia ? "

" Kenapa aku tak berjaya macam dia ?"

Seperti dia, dia dan dia. Hatimu terus menggumam. Jiwamu terus memberontak keras.

Bagimu, hidupmu adalah yang paling tercela. Dirimu adalah yang paling hina dalam dunia. Bagimu, kau tidak punya apa yang mereka ada. Bagimu, dirimu tidak berguna selagi kau tidak berjaya menjadi seperti dia.

Persoalannya, benarkah hidup ini harus berjalan seperti itu?

Adakah kita hanya akan berjaya kalau kita mampu meniru diri orang lain? Memaksa diri kita untuk hidup dalam karakter orang lain? Mendesak minda kita untuk mengikut cara orang lain? Mengasak hati kita untuk turut menyukai minat orang lain? 

Tidak.

Kerana kita semua tidak pernah dituntut untuk menjadi sama, malah sememangnya kita semua dilahirkan untuk menjadi sesorang yang berbeza.

Kita hidup dalam dunia yang pelbagai rasa, bentuk dan warna. Cuba kau bayangkan, sebuah rumah yang dicat dengan warna yang sama, dari pagarnya, pintu hadapannya, bahagian dalamnya, pagar belakangnya, bahkan setiap inci dari rumah itu juga diwarnakan dengan warna yang sama ! Bukankah ia hanya akan menjadikan rumah itu janggal? Pelik, dan membosankan? 

Ya! Kerana tidak ada satu pun perbezaan warna yang ada untuk mencantikkannya. Begitu jugalah dengan dunia. Allah ciptakan kita semua berbeza beza, ada kekuatan dan kelemahan yang menjadikan kita semua tidak  lagi sama. 

Maka kerana itulah, Kita akan menjadi unik dan instimewa apabila kita memilih untuk menjadi diri sendiri. 

Sebab kita adalah berbeza. Kalau kita cuba ubah diri kita untuk jadi seperti dia, kita takkan berjaya pun untuk tiru sebenarnya. Kalau mampu pun, ia tetap akan terlihat kekok dan janggal sebab ia dibalut dengan kepura puraan.

Kita takkan pernah bahagia kalau kita terus mengasak diri kita untuk menjadi seperti mereka. Sebab kita semua dilahirkan dengan kemampuan, kelebihan, bakat, kecenderungan, malah kelemahan yang berlainan.

 Dan ini jugalah yang menjadi sebab untuk mengapa kita tak boleh paksa diri kita untuk jadi seperti mereka. 

Sebab boleh jadi apa yang kita suka, merupakan perkara yang mereka benci. 

Dan boleh jadi apa yang mereka suka, adalah perkara yang paling keras untuk kau cuba jauhi. 

Maka, sanggupkah kau untuk mengetepikan perasaanmu sendiri hanya kerana ingin menjadi seperti mereka?

Aku faham, kau nampak dia sempurna. Dia ada segala galanya. Bagimu, dia insan yang terlepas daripada cela. Mungkin kerana banyaknya bakat yang dia punya, ketinggian ilmu yang dia ada, atau mungkin juga dari hebatnya kepopularan yang disaji di sepanjang hidupnya.

Aku faham, mungkin bagimu dia sesuai untuk dijadikan idola.

Namun sayang, andai kau benar benar mahu jadikannya sebagai idola, pasti itu tidak ada salahnya. Namun benarkah, pujaanmu padanya hanya terhenti setakat itu saja?

Kukira tidak.

Adakah wajar kau gelarnya idola, andai dengan melihat perkembangan hidupnya, membuatkan kau rasa hidupmu adalah yang paling gagal antara semua?

Wajarkah, dengan melihat banyaknya bakat yang dia ada, menjadikan hatimu merasa risih dan benci pada dirimu sendiri, kerana hati sudah  mula merasa - bahawa ia berada di dalam  jasad yang paling tidak berguna?

Wajarkah, dengan kau menatap cantik wajahnya, menjadikan jiwamu mula mempersoalkan apa yang kau punya, kerana kau mulai rasa wajahmu tidak seindah dia?

Wajarkah dengan melihat limpahan rezki yang dikurniakan dalam hidupnya, membuatkan kau mula merasa- kau tidak punya apa apa, hingga kau terjerumus dalam kalangan manusia yang paling hilang rasa syukurnya?

Wajarkah, dia yang kononnya kau gelar idola,  adalah dia yang membunuh dirimu sedikit demi sedikit, dalam diam, tanpa kau sendiri sedari - hanya kerana kau sendiri yang terus menjulang dan mengangkatnya ke langit yang paling tinggi, hingga kau tega menjatuhkan dan menghina hina dirimu sendiri ?

Berbaloikah semua itu?

Sedarlah sayang. Kau sudah cukup, malah melebihi dari cukup. Kau sudah cukup indah, kau sudah sangat istimewa. Kau tak perlu mengubah dirimu untuk menjadi seperti dia, dia atau dia. Kerana kau dilahirkan untuk menjadi dirimu yang sebenar-benarnya.

Telatahmu, sikapmu, jenakamu, perwatakanmu, itulah yang mencorakkan dunia ini. Itulah yang menjadikan semesta ini lengkap dan berwarna warni. 

 Bahkan bukan hanya kelebihanmu namun juga  kecuaian dan kesilapanmu. Itulah yang menjadikan hidup ini lebih bererti, itulah yang menjadikan kau lebih manusiawi.

 Jangan bimbang, sayang.  Kau tidak perlu berubah menjadi dia, hanya kerana kau merasa bahawa dirimu ada kurangnya.

Kerana tidak kira siapa, dia, dia atau dia. Semua dari kita punya cela, semua dari kita tidak pernah sempurna. Hanya saja, ia berjaya disembunyikan dari dilihat oleh mata dunia. Maka, berbanggalah dengan dirimu, kau tidak perlu menjadi orang lain untuk bahagia.

Kau hanya perlu jadi diri kau. Jadilah versi yang terbaik dari dirimu sendiri. Lakukanlah apa yang kau suka selagi ia tidak melanggar syariat Tuhan. Tinggalkanlah apa yang tidak kau senangi. 

Tidak perlu kau memaksa dirimu untuk hidup dalam sangkar kepura puraan, untuk bergelumang dalam jerat yang penuh dengan lakonan dan kepalsuan.

Hargai apa yang kau ada, cintailah apa yang kau punya. Dan ingatlah, jangan pernah merasa kurang hanya kerana kau melihat dia yang punya lebih. 

Kerana boleh jadi, dia juga punya sesuatu yang kurang, sedangkan hal itu ada pula pada dirimu.

Maka tersenyumlah, kerana kau hanya akan menjadi sempurna apabila kau belajar menerima dirimu seadanya.

Berdamai dengan kenyataanWhere stories live. Discover now