Hidup memang tidak sentiasa berjalan seperti yang kita inginkan. Sebahagia manapun kita, ada hari, pasti kita akan dilewati dengan detik detik luka dan kesedihan.
Sama seperti Kanvas langit ini, bukankah ia tidak hanya menghamparkan warna indah ?
Ada waktunya, pipi langit yang selalunya riang juga bertukar menjadi mendung, bebannya yang terlalu berat akhirnya diluahkan dengan air mata.
Namun bukankah air mata itu yang menyuburkan alam? Air hujan yang turun kerana langit berbelasungkawa , namun kehadirannya menghidupkan.
Aku juga seperti kamu, manusia biasa yang ada waktunya, mempersoalkan lukisan takdir.
Meski hati mencuba untuk redha, namun fikiran masih ingin mengajukan tanda soalnya ; mengapa segalanya tidak berjalan seperti yang aku inginkan ?
Ada kalanya, pasti sukar untuk mendidik diri untuk berdamai dengan kenyataan.
Namun kini aku tersedar dari lena yang panjang. Lena yang mengulit aku dengan mimpi mimpi ngeri , yang menghetak aku untuk terus lari dari realiti.
Wajarkah aku menyeksa diri ini , dengan membiarkan ia hidup dalam dunia yang sudah tidak lagi wujud? Angan dan harapan yang tidak kesampaian itu, seharusnya tidak menjadi tali yang menjerut.
Sebaliknya, ia sewajarnya dijadikan penguat untuk kita kembali teguh
Kita semua punya rasa itu, kecewa dan gundah dengan takdir yang tidak menyebelahi. Namun yakinlah, bahawa Tuhan tidak pernah tidur.
Dia tidak pernah lupa untuk melihat keadaan kita, hamba hamba-Nya. Dia yang menyayangi kita lebih dari kasihnya ibu, Dia yang lebih tahu segalanya tentang kita, melebihi apa yang kita ketahui tentang diri sendiri.
Dia , sebaik baik pengatur rencana dan seagung agung penentu takdir - maka , mengapa masih memilih ragu ?
Tentang harapan yang belum tertunai , tentang hasil yang belum berjaya dituai.
Tentang pelangi yang menghilang tanpa pesanan , tentang kelabunya langit yang meresahkan fikiran, dan tentang tertukarnya jalan dalam gabut permusafiran, yakinlah. Yang segalanya akan baik baik saja :)
Kau hanya perlu terus berjalan , sambil menggantungkan sepenuh harapan kepada Tuhan. Kerana Dia pemilik takdir, yang selamanya tidak akan meninggalkanmu bersendirian.
YOU ARE READING
Berdamai dengan kenyataan
RandomKita selalu rasa hidup kita tak adil. " Kenapa orang lain bahagia, dan bukan aku ? " Tunggu. Memang kau tak bahagia, atau kau ja yang tak faham hakikat bahagia ?