Ya Allah, kurniakan kami rasa rindu kepada nabi-Mu
kerana kami tahu, bukan semua manusia dianugerahkan perasaan seperti itu.
Hatta kami sekalipun, andai tidak Engkau letakkan cinta padanya ,
pasti kami akan turut menjadi manusia yang lupa dan sombong dari mengingati baginda
Kami takut ya Allah, tatkala kami hanyut dengan cinta dunia dan cinta manusia,
yang penuh dengan kepalsuan dan janji fana
Hingga kami tergolong dari golongan manusia yang paling menyesal kelak di sana.
Kami takut ya Allah , di saat wajah ini tidak dikenali baginda sebagai umatnya
Kami takut Ya Allah , andai terpisahnya kami dari kekasih-Mu bukan hanya di dunia.
Kami takut ya Allah, andai di saat itu kami tersesat dalam kegelapan , merana tanpa cahayanya
Kami takut ya Allah andai kami tidak terpilih dalam kalangan penerima syafaat baginda
sehingga kami dihumban ke dalam neraka
Kami takut ya Allah. Maka dengan itu doa dimohon , kurniakan kami rasa cinta kepada baginda
Ringankan lidah ini untuk berselawat , hiaskan hidup ini dengan amalan sunnah yang membawa berkat
Kelilingkan kami dengan manusia yang mengingatkan kami kepada baginda , kurniakan kami rasa rindu kepadanya
Jadikan baginda, cinta pertama kami setelah cinta-Mu Ya Allah
Sedarkan kami akan hakikat perjuangan baginda , berikan kami keupayaan untuk menghargai pengorbanannya
Hingga tumbuh rasa kasih dalam hati ini , hingga tidak lagi merasa sedih akan perkara remeh duniawi
Hingga kami dapat merasa kehadiran baginda dalam setiap sisi kehidupan kami
Hingga saatnya Engkau menjemput kami dari dunia ini , masih Rasulullah yang kami seru dan rindui
Walaupun kami tahu betapa hinanya diri ini , untuk mendapatkan kasih sesuci nabi
Namun kami masih merayu pada-Mu Ya Allah , dengarkanlah rintihan ini.
Ya Allah , kami mohon Ya Allah. Jangan kau biarkan kami lupa , jangan Kau biarkan kami sesat tidak bertuju.
Sebaliknya jadikanlah kami dari golongan itu ; yang hidup dan matinya adalah untuk Engkau dan kekasih-Mu.
YOU ARE READING
Berdamai dengan kenyataan
RandomKita selalu rasa hidup kita tak adil. " Kenapa orang lain bahagia, dan bukan aku ? " Tunggu. Memang kau tak bahagia, atau kau ja yang tak faham hakikat bahagia ?