Seketul Daging

13 2 0
                                    

Aku risau, andai aku gagal memeliharamu sebaiknya.

Gundah andai kelekaanku membiarkan engkau semakin gelita,

Aku takut andai kejahilanku membuat kau mati tanpa cahaya,

Kejamnya aku , sebagai pemilik yang paling berdosa.

Kau , tempat bermukimnya segala rasa.

Sama ada kasih, sayang, belas dan ehsan

Atau dendam, dengki, hasad dan kebencian - yang menghuni di dalamnya ?

Itu, adalah pilihan setiap insan , untuk mengisi hatinya dengan nafas yang mana satu.

Hati,

walau engkau hanya seketul daging,

namun hadirmu menentukan baik buruk segala yang lain.

Baik engkau, maka baiklah tubuhmu. Busuk engkau, maka busuklah juga 'jasadmu'

Bagi sesetengah manusia, kau adalah kompas yang memandunya arah.

Dan kerana itulah , mereka selalu terdorong ke jalan yang salah.

 Lupakah mereka,  bahawa akal juga perlu untuk diring bersama?

Bukankah kalam hadis dan ayat Cinta-Nya adalah panduan utama?

Maka bagi yang menurut hati semata , akan binasa

Kerana Hati ,

 jika ditaat sepanjang masa, boleh menjerat nadi

Jika diturut rasa boleh meracun diri,

Jika diikut buta boleh membawa mati.

Ia mungkin hanya satu, namun wujudnya mempengaruhi segala,

Bermula dari cara pemikiranmu , corak hidupmu , gaya pergaulanmu , kantung kepercayaanmu , rasa Ketuhananmu , cara pengabdianmu,

 dan akhir sekali - bagaimana pengakhiranmu.

Maka mengertilah , wahai pemilik - pemilik hati.

Aku dan engkau sememang bukan malaikat, yang suci dari debu dosa dan bisikan jahat.

Kita hanya sebatas manusia ,  dilahirkan lemah, selalu kalah dengan bisikan yang menggugah.

Namun itu bukan alasan untukkau terus tersungkur, lagi dan lagi!

Kerana kita adalah manusia, bukannya iblis terlaknat - yang tiada lagi peluang untuk bertaubat.

Maka berlarilah , maka kembalilah

Tuhan menantimu. Tuhan akan merangkulmu. Tuhan akan menyambutmu!

Jangan pernah berputus asa. Meski kaurasa hatimu tidak lagi bernyawa, meski kau rasa ia tidak lagi bercahaya,

Tetaplah pulang.. kerana hatimu sedang amat memerlukan cahaya itu. Yang hanya boleh kau dapat dari-Nya , Rabb mu.

Teruntuk seketul daging itu ,

Didiklah ia untuk terus mencari erti.

Jangan pernah kaubiar mati

Jangan biar ia terpedaya dengan gemerlap duniawi

Semoga hati hati ini, terus dibasahi cinta Ilahi.


Berdamai dengan kenyataanWhere stories live. Discover now