Bab 1

1.4K 29 1
                                    

PINTU bilik dibuka perlahan. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan. Senyuman di bibir Aufa semakin lebar. Kasut tumit tinggi miliknya dipeluk kemas. Dia perlu berhati-hati keluar dari rumah ini. Takut juga kalau ada sesiapa sedar tentang kehilangannya malam ini.

Sampai saja di tingkat bawah, Aufa bergegas ke dapur. Dia perlu keluar melalui pintu dapur. Belum sempat dia membuka pintu itu, keadaan di dapur bertukar terang. Terjatuh kasut di tangannya saat melihat Encik Adam sedang merenungnya dengan tajam. Tertelan air liur Aufa.

“Nak ke mana?”
“Errr… Aufa… Aufa…”

“Pergi ke ruang tamu sekarang.”

Aufa merengus kasar. Sejak bila pula orang tua itu terpacak di dapur? Kepalanya diketuk geram. Lekas dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Mesej dikirimkan kepada Gina. Dia tidak mahu gadis itu menunggunya di sini. Tak pasal-pasal gadis itu akan dimarahi oleh papa sebentar nanti.

“Aufa!” Bergema suara Encik Adam.
Tergesa-gesa Aufa melangkah ke ruang tamu. Dress singkat di tubuhnya cuba dilabuhkan sedikit. Takut juga dia melihat pandangan papa yang tajam sebentar tadi.

“Sejak bila Aufa berani keluar dari rumah ni tanpa kebenaran papa?”

Terdiam Aufa. Wajahnya masih tunduk menekur lantai.

“Jawab!”

“Ishhh… papa ni bisinglah. Nak kejutkan satu rumah ke?” Bengang juga Aufa.

Mencerlung anak mata Encik Adam. Dia berdiri di hadapan anak bongsunya. Mahu saja dia memukul Aufa. Makin menjadi-jadi perangai Aufa.

“Papa dah pernah bagi amaran. Jangan jejakkan kaki ke tempat maksiat tu. Kenapa masih degil? Sekarang dah berani pakai pakaian tak cukup kain.”

“Aufa bosanlah. Tak cukup lagi ke papa paksa Aufa ikut cakap papa. Sebelum ni, papa desak Aufa terima anak kawan baik papa sebagai suami. Kami dah selamat bertunang pun. Sekarang ni Aufa cuma nak masa sendiri dengan kawan-kawan.”

Sakit juga hati Aufa. Sudahlah dia masih muda lagi. Baru berusia 21 tahun. Tapi sudah dipaksa bertunang dengan orang yang dia tak kenal. Suruh sajalah kakaknya yang berkahwin dulu. Pelik betul.

“Jangan nak kurang ajar dengan papa. Papa buat semua ni untuk pastikan masa depan Aufa terjamin. Ada suami yang baik. Sepatutnya Aufa bersyukur dengan pilihan papa.”

Aufa tergelak sinis. Punggungnya dihempas kasar di atas sofa.

“Baik konon. Aufa tak pernah pun jumpa lelaki tu. Kalau dia serius nak kahwin dengan Aufa, kenapa tak munculkan diri?”

“Kan papa dah cakap dia sekarang ada di luar negara. Minggu depan dia dah balik untuk uruskan syarikat keluarga dia. Kak Anis  pun kenal dengan tunang Aufa,” celah Encik Adam.

Pertunangan Aufa sudah lama berlangsung. Namun sehingga sekarang, Aufa masih menunjukkan sikap tidak puas hati terhadap keputusannya.

“Habis tu, kenapa tak kahwinkan aje Kak Anis dengan lelaki tu? Tak pasal-pasal Aufa yang jadi mangsa. Kalau mama masih hidup, dia mesti tak setuju dengan keputusan papa.”

“Aufa!”

“Apa? Betullah apa yang Aufa cakap. Papa lebih pentingkan Kak Anis dari Aufa. Aufa pun anak papa tapi kenapa semua yang Kak Anis nak, papa tunaikan?”

“Sebab Anis tak pernah bagi masalah kepada papa. Sebelum nak salahkan orang lain, tilik diri sendiri dulu. Papa dah banyak habiskan duit untuk Aufa belajar. Tapi apa yang Aufa balas?”

Aufa berdeham perlahan. Malu apabila perkara itu diungkit.

“Aufa tipu papa. Kononnya pergi belajar tapi habiskan masa berhibur dengan budak-budak liar. Sampai dibuang kolej pun, Aufa masih tak ada rasa malu.”

Suri Hati Encik Serius ( Sold Out)Where stories live. Discover now