Aufa semakin gelisah. Dia memang tak nak berkahwin dengan lelaki itu. Dah hilang akal agaknya Tengku Riyadh. Dia yang bergelar banduan, boleh pula dilamar sebagai isteri.
“Tak boleh jadi ni. Aku kena pergi dari sini.”
Aufa segera menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu. Setelah selesai, Aufa mencapai beg galasnya. Pintu dibuka perlahan-lahan. Setelah yakin tiada sesiapa di luar bilik, Aufa segera berlari anak menuju ke lif.Lama pula pintu lif terbuka. Takut lelaki itu keluar dari bilik, Aufa mengambil keputusan untuk menggunakan pintu kecemasan. Kelam-kabut dia turun ke bawah. Sesekali dia toleh ke belakang.
Hampir semput nafas Aufa dibuatnya. Sampai saja di lobi, Aufa terus mencari pintu utama. Tak sempat dia keluar dari hotel itu, ada dua orang lelaki bertubuh tegap muncul di hadapannya.
Tergamam Aufa. Dia segera berundur ke belakang. Wajah kedua lelaki itu dipandang dengan riak keliru.
“Encik boleh ke tepi. Saya nak keluar.”
“Saya nasihatkan cik balik ke bilik sebelum tuan kami tahu cik cuba larikan diri.”
Tak berkelip mata Aufa. Tak guna! Rupa-rupanya lelaki itu lebih bijak daripadanya. Aufa pandang ke sekelilingnya. Mahu saja dia menjerit supaya dirinya terlepas dari tempat ini.
“Saya nak pergi dari sini. Cakap dengan tuan awak, dia tak ada hak kurung saya di sini.”
“Ini arahan dari tuan. Dia tak benarkan kami lepaskan cik. Sila ikut kami ke atas,” celah salah seorang lelaki itu.
Bengang Aufa. Tengku Riyadh memang seorang yang licik. Dia bukan bodoh untuk terus bersetuju dengan rancangan lelaki itu. Hampir empat tahun tak berjumpa, tiba-tiba muncul bersama lamaran.
“Siapa nama awak?”
Kedua lelaki itu masih membisu.
“Saya tanya, siapa nama awak? Susah sangat ke nak jawab!” Kali ini suara Aufa sudah meninggi. Malah orang di sekelilingnya sudah mula memandang ke arahnya.
“Saya Dahlan dan ini Mike.”
“Okey, Dahlan. Awak telefon tuan awak sekarang. Biar saya yang bercakap dengan dia.”
“Tapi...”
“Cepat. Kalau tak, saya akan jerit sekuat hati. Jangan nak salahkan saya kalau awak berdua pula yang masuk lokap!”
Cepat-cepat Dahlan keluarkan telefon bimbitnya. Nombor majikan mereka didail. Lelaki itu berdiri agak jauh dari Aufa. Tak sampai seminit, telefon itu dihulurkan kepada Aufa.
“Awak memang dah gila. Tak cukup saya terkurung dalam penjara, sekarang awak nak kurung saya pula,” luah Aufa dengan nada terkawal.
“Naik ke bilik awak sekarang. Sebelum saya sendiri yang angkat awak naik ke atas.”
Aufa tergelak sinis. Lelaki ini memang betul-betul berani. Sekarang boleh pula dia diugut.
“Saya ada hak untuk buat keputusan sendiri. Awak bukan sesiapa dengan saya.”
“Jadi awak memang tak nak dengar arahan saya?”
“No and never.”
Talian terus dimatikan. Selamba saja dia campakkan telefon itu di atas lantai. Terkejut Dahlan. Dia segera mengambil telefon bimbitnya.
“Awak minta ganti rugi dengan tuan awak.”
Dahlan mengeluh perlahan. Nasib baiklah telefon bimbitnya masih berfungsi. Hanya skrin saja yang retak.
Kali ini Aufa tidak mahu berlembut lagi. Dia terus menolak tubuh Dahlan ke tepi. Mike cuba menghalang. Dek terlalu geram, Aufa angkat sedikit kain baju kurungnya. Terus lututnya dihentak ke arah tempat sensitif Mike.
Menjerit lelaki cina itu. Sampai terbongkok-bongkok Mike menahan rasa senak. Berkerut wajah Dahlan seolah-olah dia pula yang ditendang.
YOU ARE READING
Suri Hati Encik Serius ( Sold Out)
Roman d'amourBismillahirahmanirahim 🌟 Yang dinanti-nanti telah tiba! #SuriHatiEncikSerius 🔥 MIA AZWARI 🔥 "Saya tak nak teruskan pertunangan ni." -Aufa Batrisya "Kenapa?"-Tengku Riyadh "Sebab kita tak serasi."- Aufa Batrisya "Pelik. Kita baru jumpa tak sampai...