"Kau ni bila nak kahwin? Umur dah 30 lebih, tapi duk ke hulu ke hilir dengan kawan jantan kau tu jer. Apa nama budak tu? Zikri? Kau tahu orang kampung cakap apa pasal kau? Sakit tau telinga aku kena menadah umpatan orang! Mereka cakap kau berkasih dengan budak tu! Hubungan sejenis! Hey! Buat malu aku sajalah bela anak saudara terpesong ni!"
Hayyan yang baru menjejakkan kaki di ruang dapur, terus terhenti langkah. Tak jadi dia nak melabuhkan duduk di kerusi meja makan. Termangu-mangu dia memandang belakang tubuh Mak Long yang sedang memasak membelakanginya. Walaupun tangan Mak Long sedang ligat buat itu dan ini, tetap saja mulut perempuan tua separuh abad itu lancar melontarkan kata-kata kesat padanya.
Dari dulu sampai sekarang, mana pernah Mak Long nak cakap baik-baik dengan dia. Dia tahu dan faham sangat, yang Mak Long memang tak suka dengan dirinya. Mungkin Mak Long rasa dia ini satu beban, tak pun satu bala. Yalah, Mak Long dipertanggungjawabkan untuk bela dan jaga dia semenjak mak dan ayah dia meninggal semasa dia berumur 10 tahun.
Sekarang umur dia dah 26 tahun. Tapi dengan muka tak malu, dia masih lagi menumpang di rumah Mak Long ini. Bukan dia tidak berniat untuk pindah keluar dan menyewa sendiri, tapi keadaan kewangan dirinya masih belum kukuh untuk dia berbuat demikian. Dia bekerja, tapi cuma sebagai penjual burger tepi jalan di malam hari. Untung bisnes burger dia itu sekadar cukup-cukup makan, dan lepaslah juga untuk dia buat bayar ansuran bulanan motosikal yang dia baru beli awal tahun hari itu.
"Assalamualaikum! Yan!"
Mendengar satu suara yang dia amat kenal memberi salam, lekas dia mengambil kesempatan itu untuk beredar dari situ. Semenjak tadi memang dia bertahan saja dengar cemuhan demi cemuhan keluar dari mulut tak bertapis Mak Long.
"Waalaikumussalam, Zik."
Terus melebar senyuman di bibirnya melihatkan Zikri di depan mata. Dia menuruni tangga lalu mengajak Zikri duduk melepak di pangkin di bawah pokok mengadap sawah padi terbentang luas. Mentari petang memancar cahaya jingga kala itu beri kedamaian pada hati Hayyan, kerana itu dia suka sangat merenung ke langit senja bila-bila ada masa terluang, seperti saat ini.
"Aku datang ni nak bagitahu sesuatu tau, Yan."
Terjongket sebelah kening Hayyan. Serius benar suara Zikri tika itu, tetapi masih disulami dengan sebuah senyuman manis. Berdebar pula jantung Hayyan memandang senyum manis Zikri yang tanpa diketahui sebab itu. Sudahhh... Mamat ni nak bagitahu apa ini?
"Lagi dua bulan, aku akan kahwin."
"Hah?" Terkejut tak terkata si Hayyan. Gila, kawan baiknya ini dah nak kahwin? Si Zikri ni dah nak berbini?
Habis itu dia???
"Dah kenapa kau terperanjat sangat ni? Aku cakap nak kahwin jer kot, bukan nak pergi berperang mati syahid bagai." Zikri ketawa kecil. Over benar reaksi terkejut Hayyan itu, macam dia nak pergi bertempur di medan perang pula.
"Taklah. Cuma..." Entah, rasa perit pula tekak Hayyan ni nak luahkan satu ayat ini. Tak nak cakap, tapi dia dah terlanjur nak cakap dah. Zikri pun dah pandang dia dengan berkerut dahi. Arghhh cakap sajalah!
"Sunyilah aku nanti. Takde kawanlah aku." Perlahan saja dia bersuara. Malu juga muka dia sekarang ini. Cara dia mengadu itu dah macam dia itu awek Zikri yang bakal ditinggalkan Zikri pula.
Kali ini, Zikri tak mampu tahan dirinya dari tergelak besar. Berdekah-dekah dia ketawa. Adoiii, lawak gila si Hayyan ini. Dah ke situ pula dia fikir.
"Mengarut apa kau ni, bengong? Macamlah lepas kahwin, tangan dan kaki aku kena ikat. Kita boleh jumpa macam biasa kut. Lepak-lepak, minum-minum. Macam biasa jerlah, Yan." Zikri menepuk perlahan bahu Hayyan. Kemudian tangannya itu dilingkarkan di belakang tubuh Hayyan, memeluk Hayyan dari sisi.
Walaupun Zikri dah berkata begitu, tetap Hayyan rasa sedih. Susahlah, Zikri tak faham apa yang dia rasa. Sesiapa pun takkan faham. Sudahlah selama ini dia ada Zikri saja sebagai teman rapatnya, alih-alih lelaki itu dah nak kahwin. Emosional sangat ke diri dia ini sampai dia rasa macam nak menangis saja sekarang. Zikri buat-buat peluk dia macam ini lagilah buat dia sebak.
"Sedih aku. Nak nangis rasa." Hayyan jujur jer terus. Dia memang jenis direct, tiada kias-kias atau tapis.
Okey, ini dah kali ketiga Zikri gelak. Taklah berdekah macam tadi, tapi seriuslah... kenapa kawan dia ini lawak sangat? Emo mengalahkan perempuan pula.
"Aku sayang kau tau, Zik." Pedulilah Zikri nak fikir dia apa pun. Asal dia jujur semua tentang perasaannya. Bukannya Zikri tak tahu dia siapa, dan hakikatnya Zikri tahu segala-galanya tentang diri dia. Luar dan dalam.
"Aku tahu." Balas Zikri lembut. Kawan dia itu, dia tahu benar segalanya. Hayyan mana ada sembunyi apa-apa daripada dia. Sebab itu mereka berdua sangat rapat, sampai tersebar khabar angin yang mereka berdua pasangan songsang.
Tapi sebenarnya orang lain tak tahu apa yang mereka tahu.
Dalam leka mereka berdua berborak tentang pelbagai hal, Hayyan tak sedar yang sepupunya sudah balik pada waktu itu. Turun saja dari motosikal yang diparkirnya di laman rumah, si Niyaz - iaitu satu-satunya anak Mak Long - terus membuka langkah mendekati kedua-dua lelaki yang sedang galak bergurau sambil bertumbuk bahu di pangkin depan rumah maknya.
"Amboiiiii.. Bahagianya pasangan percintaan haram ni duk gurau-gurau senda kat sini. Siap main tumbuk-tumbuk manja gitu. Hmmm itu depan akulah tumbuk-tumbuk tu, mungkin kat belakang saling bercium, saling hanyut dalam gelora cinta haram jadah." Niyaz dan mulut celoparnya memang berpisah tiada. Dia punya mulut kurang ajar betul-betul menurun dari maknya. Main cakap saja apa yang dia nak cakap.
Hayyan diam saja bila kena perli buta-buta dek Niyaz. Memang bukan jenis dia nak melawan, dan Zikri tahu itu. Sebab itu hati Zikri rasa hangat pada tika itu, pandang pula muka Niyaz yang sinis umpama minta kaki itu, lagilah darahnya naik memuncak. Kalau bukan kerana Hayyan yang ada di sebelah yang sedang merenungnya dengan pandangan memujuk agar dia sabar, memang dah merasa si Niyaz tu tendangan kakinya.
"Hmmm... Aku datang, senyap pulak dah. Malulah tu. Hah, kau Zikri. Kenapa datang? Datang memang niat nak dating dengan 'girlfriend' saja ke?"
Merah muka Hayyan bila si sepupu menganjingnya begitu depan Zikri. Terus kepalanya menunduk ke bawah, buang pandang pada kaki sendiri. Nak pandang Zikri pun dia rasa tak mampu, muka dia tebal menahan malu.
"Cakap baik-baik sikitlah, bangang. Aku datang sebab aku nak jemput Hayyan datang ke majlis kahwin aku lagi dua bulan depan. Aku akan kahwin dengan Afia, anak Pak Cik Hamid tu. Kau kenal, kan?"
"Afia... Afia... Anak Pak Cik Hamid... Ha'ah, aku kenal budak tu. Boleh tahan lawa orangnya. Eh, kau jemput Hayyan saja ke? Aku dengan mak aku, kau tak sudi jemput?"
"Jemput sekalilah, bongok."
"Hmmm... Kesian sepupu aku ni. Tak sangka boyfriend dia dah kena caras. Hmm, aku naik dululah. Oh sebelum tu, tahniahlah, bro. Aku tumpang rasa gembira dan syukur untuk kau sebab jodoh kau tak terpesong dari jantina perempuan. Haishhh, kalaulah kau cakap tadi kau nak ajak Yan ni kahwin, aku tak rela, bro. Tak restu. Okey, cauuu!" Cepat-cepat Niyaz angkat kaki pergi dari situ bila muka Zikri sikit lagi macam nak tumbuk muka dia yang kacak ni. Peduli apa dia si Yan tu nak terasa hati ke tak dengan kata-kata jahat dia, yang pasti dia suka tengok reaksi Hayyan yang semacam nak menangis tu. Dasar lembik macam betina. Memalukan kaum.
Zikri menggeleng-geleng, sambil melepaskan keluhan, lalu dia pandang Hayyan. Kawan dia itu macam dah tak nak angkat muka langsung dah, malu nak tengok dialah tu. Padahal dia okey saja, tak terasa apa-apa pun dengan kata-kata Niyaz tadi. Benda tak betul, buat apa nak terasa, kan?
[1249pp]
YOU ARE READING
PEDIH & LUKA
Kısa HikayeKompilasi cerpen berkisarkan kelukaan hati watak lelaki mahupun perempuan. Di dalam dunia ini, tidak kira jantina apa sekali pun, kita semua mampu merasakan pedihnya sebuah luka. Tiada yang kecuali, melainkan kita adalah seorang psikopat. Dan, pasti...