Cerpen 1 : DALAM KAU MENCARI AKU [part 2]

193 5 0
                                    

"Ruginya kan kawan baik awak si Nedim tu berhenti belajar. Kalau tak, boleh konvo sama-sama hari ni. Eh, dia buat apa ek sekarang? Kerja ke?"

Sungguhnya Yura tidak tahu apa-apa tentang hubungan antara aku dan Nedim yang telah hancur. Selama ini, Yura tidak pernah tahu yang dirinya menjadi 'subjek' pergaduhan aku dengan dua orang rakan sebilikku. Jadi, dia tidak tahu apa-apa, dia fikir aku dan Nedim masih lagi berkawan baik.

Lalu pertanyaan Yura itu aku abaikan, sebaliknya aku mengubah topik perbualan.

"Sayang..."

"Hmm."

"Sudi tak... Yura jadi isteri Farel?"

Masih aku ingat waktu itu. Mata Yura terbuntang luas dengan mulut yang sedikit ternganga. Namun kemudiannya dia melompat kegirangan lalu dengan semangat dan yakin dia menjawab...

"Mestilah sudi, sayang!"

Aku tersenyum kemenangan.

Beberapa bulan kemudian, aku dan Yura mendirikan rumah tangga. Akhirnya aku dan dia menjadi pasangan suami isteri yang sah. Apa yang aku fikir selepas itu, kami akan sama-sama bahagia dalam mahligai yang baru dibina. Aku dan Yura, akan sama-sama mempertahankan bahagia dalam rumah tangga kami. Kami berdua mahu perkahwinan ini berkekalan hingga ke syurga, selamanya.

Namun, bolehkah aku membina bahagia sedangkan aku pernah meninggalkan kesan air mata pada hidup orang lain?

Aku cuba abaikan persoalan yang sering menghantui diri aku itu. Tak seharusnya aku fikirkan tentang orang lain lagi apabila aku sudah mempunyai seorang isteri yang aku cinta dan dambakan.

Walaupun pada dasar hati aku... ada rasa sangat tidak enak selalu menjengah, kerana munculnya persoalan-persoalan lain tapi satu pun aku tiada jawapannya daripadanya.

Kenapa Nedim menghilang begitu saja?

Kenapa langsung tiada khabar berita tentang Nedim?

Kenapa Ibu tak datang majlis kahwin aku?

Kenapa aku langsung tak boleh contact Ibu?

Kenapa Rezqi pun langsung tak contact aku?

Ibu yang aku maksudkan ialah Puan Fatimah, iaitu penjaga rumah anak-anak yatim tempat aku dan Nedim membesar. Aku dan Nedim boleh dikatakan rapat dengan Ibu, kerana kami berdua saja penghuni yang sejak bayi hingga berumur belasan tahun yang tinggal di rumah anak yatim itu. Kami penghuni paling lama tinggal di situ berbanding penghuni lain yang silih berganti datang dan pergi. Kerananya penghuni lain ada ibu bapa di luar sana mengambil mereka menjadi anak angkat, ada juga sanak-saudara yang datang menuntut hak penjagaan, dan ada juga yang memilih pergi dari situ dengan sendirinya. Tapi aku dan Nedim, memilih untuk tinggal di situ sampai habis sekolah menengah.

Disebabkan itu, aku agak terkesan dengan ketidakhadiran Ibu di majlis kahwin aku. Seolah-olah...

Ibu membenci aku atas apa yang aku sudah lakukan pada Nedim.

Atau mungkin juga, Ibu merajuk dengan aku.

Silap aku juga, kerana semenjak aku sambung belajar, tidak pernah sekali pun aku jenguk rumah anak yatim tempat aku membesar itu. Bukan itu saja, menelefon Ibu untuk bertanya khabar pun aku tidak lakukan.

Betul ke, aku memang sudah berubah sejak bercinta dengan Yura?

"Kau memang betul-betul dah berubah."

Tiba-tiba suara Rezqi suatu ketika dulu yang pernah menyembur kemarahan kepada aku terngiang-ngiang di telinga.

Terus hati aku berasa tidak senang.

PEDIH & LUKAWhere stories live. Discover now