Langit kelabu. Gelap nak hujan. Dan beberapa saat selepas itu, semuanya jadi nyata. Titis-titis hujan mula turun. Dari rintik, makin lama makin lebat. Dan biarpun tingkap tertutup rapat, tetap kain langsir putih dan nipis yang menghiasi jendela ruang wad itu melambai-lambai saat angin bertiup kencang dari luar sana.
Segalanya-galanya kelam dan bisu. Langit yang suram di atas sana, terasa sampai ke jiwa Fira akan kesuramannya.
Zita perasan yang mata Fira tak berkalih dari memandang ke luar tingkap. Perempuan itu terlalu larut dalam lamunannya. Dan matanya yang terbias kekosongan langit itu begitu kosong sekali.
Sampailah suara yang mendatar tanpa nada itu, tiba-tiba memecahkan kesunyian antara mereka.
"Kau tahu, kan... sejak dulu lagi... aku tak pernah pun nak hidup..."
"Aku tak suka kau cakap macam tu."
"Kau tahu... memang itu yang aku rasa sejak dulu."
Zita ketap bibir bawahnya kuat. Dia alihkan sebentar pandangannya ke arah lain. Tak sanggup memandang wajah sahabat yang telah lama berputus asa dari hidup sendiri.
Dalam sudut hati, dia tahu, sahabatnya itu masih bernafas kerana Tuhan masih tetapkannya nyawanya panjang. Perempuan itu... tak sanggup cabut nyawanya sendiri, biarpun dia terlalu mahu.
"Jadi aku nak kau tahu sesuatu, Zita."
"Apa..."
"Kalau aku mati sesaat selepas ini, atau mungkin malam ini, atau esok sekali pun, aku nak kau tahu... aku gembira."
"Apa kau cakap..." Zita tak mampu habiskan ayatnya. Serta-merta dia bangkit dan berjalan mundar-mandir di situ. Namun Fira, seolah-olah telah mati. Jasadnya ada di situ, tetapi dia kelihatan kosong... tanpa jiwa. Tanpa menoleh ke arah Zita sedikit pun. Sedangkan Zita rasa mahu menghambus tangis saat itu juga. Kenapa? Kenapa kawan baiknya begitu? Kenapa kawan baiknya seakan-akan patung bernyawa?
"Fira... aku... aku sayang kau. Kau ada aku. Kau... aa... aku tahu, kau sedih, kan? Lama dah kau sedih. Kau tak bahagia. Hidup kau menyedihkan. Tapi aku? Kau... tak kesiankan aku? Andai kau mati, kau tinggal aku. Sampai hati kau nak tinggal aku, Fira?"
Zita menarik nafas dalam-dalam untuk menahan sebak. Biarpun nada suaranya pecah, tapi dia tak nak tangisannya juga pecah. Sebab dia tahu, Fira tak seperti dulu lagi. Jiwa Fira sudah mati. Jadi Fira takkan menenangkannya lagi andai kata dia menangis di situ di depan Fira.
"Kau masih ada Jes. Hakikatnya... Jes lebih jaga kau selama ini. Aku ini... tak bernilai pun dalam hidup seseorang. Jadi, aku ini... kau tak rugi sikit pun hilang kawan yang tiada jiwa macam aku ni, Zita..."
"Kau tak payah cakap, Ra. Kau-" Zita tekup mulut kemas-kemas kerana tak mahu tangisannya terhambur, meskipun air mata dah berjejeran jatuh di kedua-dua belah pipi. Dia berdiri membelakangkan Fira. Mengadap langit yang masih menghambur hujan di luar sana. "Kau... tak payah sebut apa-apa lagi kalau sekadar untuk sedihkan hati aku. Kau... tak jaga perasaan aku sekarang."
Fira tak tahu. Antara Fira dan Jes, walaupun kedua-duanya ialah kawan baiknya, namun peribadi kedua-duanya begitu berbeza sekali. Memang betul apa yang Fira katakan, Jes lebih banyak meluangkan masa dengannya selama ini. Sejak dari zaman sekolah, Jes yang selalu berkepit di sebelahnya. Dan Fira pula selalunya lebih memilih untuk keseorangan. Bila Jes tiada, baru Fira akan datang dan temankannya.
Namun, yang selalu memahaminya itu Fira. Jes lain. Jes itu kadang-kadang menyakitkan hati. Yang ada selalu untuknya selama ini ialah Fira.
Jadi... Fira takkan faham apa yang dia rasa sekarang. Fira cuma nampak dia ada segalanya. Sedangkan dia... dia perlukan Fira sepanjang hidup dia. Firalah kawan terbaiknya selama ini.
Tapi sekarang, kenapa harus jadi begini?
"Selama ini... kau boleh saja bertahan. Kau boleh saja ada untuk aku, jadi kenapa kali ini kau lemah sangat, Ra?"
"Aku letih. Dah letih sangat."
Bibir Zita bergetar menahan sendu. Aku tahu kau letih, Ra...
"Aku balik dulu. Nak ambil barang. Kejap lagi aku datang semula. Kau rehat dulu, Ra. Jangan fikir apa-apa lagi."
Zita bergegas mahu pergi dari situ. Tapi belum sempat melepasi pintu, dia terdengar Fira berbisik...
"Kau tak perlu sedih, sebab aku akan gembira di sana nanti... Sayang aku pada kau, tetap akan ada sampai bila-bila."
Zita berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang. Meredah hujan dalam tangisan.
Dan bila dia kembali, rupa-rupanya dia sudah kehilangan Fira. Zita jatuh terduduk dan menangis teresak-esak melihat jasad tanpa roh itu sudah ditutupi selimut dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Jes datang. Menghampiri Zita dan cuba menenangkan perempuan itu. Tapi esakan Zita tetap tak reda. Dalam esakan itu dia bersuara...
"Fira... takkan jadi macam tu kalau awak juga ada untuknya selama ini, Jes."
Dan Zita berlalu tinggalkan Jes yang terpaku.
Kerana Zita tahu dan sedar, orang seperti Fira... selagi dia rasa dia masih ada orang-orang yang sayangkannya, dia takkan berputus asa begitu saja. Dia akan terus berjuang.
Malangnya, kebanyakan manusia itu sifatnya mementingkan diri. Hanya fokus pada hidup sendiri. Sehingga tak nampak derita orang-orang sekeliling yang juga memerlukan sokongan hidup daripada orang-orang yang normal.
Bukannya Jes tidak tahu. Jes tahu yang Fira itu...
Telah lama terdera emosinya, sejak kanak-kanak lagi. Kerana hidup dalam keluarga yang toksik dan berpecah-belah.
Kerana terlalu hidup dalam tekanan, akhirnya kesihatan fizikalnya juga merosot. Ditambah lagi dengan semangat hidupnya yang kian pudar dari hari ke hari.
Fira itu...
Kosong. Sunyi. Sepi.
Sehingga akhirnya, aku juga dia tak nampak sedangkan aku ada untuknya selama ini.
"Kau tak perlu sedih, sebab aku akan gembira di sana nanti..."
Perlahan-lahan, esakan Zita mula reda. Akhirnya, dia cuba mengukir senyum demi Fira.
Sekurang-kurangnya, aku juga gembira kerana derita kau dah tamat...
Kisah sedih kau dah tamat, kawan...
- T A M A T -
[3.28PM/Tue, 16062020]
[916 words]
YOU ARE READING
PEDIH & LUKA
Короткий рассказKompilasi cerpen berkisarkan kelukaan hati watak lelaki mahupun perempuan. Di dalam dunia ini, tidak kira jantina apa sekali pun, kita semua mampu merasakan pedihnya sebuah luka. Tiada yang kecuali, melainkan kita adalah seorang psikopat. Dan, pasti...