Cerpen 6 : LANGIT LIMPAH HUJAN (part 2)

47 2 0
                                    

"Apa lagi... Anemia dia itulah. Kadar Hb dia rendah sangat. Aku syak dia skip makan ubat. Kau kenal kan Jes macam mana."

Aku menggeleng perlahan. Jes... Jes...

"Kau pergilah balik dulu, Zita. Muka kau dah letih sangat tu. Pucat lesi. Dah macam mayat hidup aku tengok."

Aku senyum tawar mendengarkan kata-kata Seri itu. Dengan apa yang berlaku beberapa minit lepas, mustahil kalau muka aku tak pucat. Dan aku memilih untuk mengunci mulut dari menceritakan perkara itu kepada Seri. Aku tak nak Seri menganggap aku gila pula.

"Habis tu kau? Kau nak teman Jes ke?"

Seri angguk. Bagus betul Seri, sedangkan aku rasa keadaan Jes stabil saja, tak perlu sesiapa temankan dia. Lagi pun, ini bukan kali pertama Jes bermalam di wad. Dia dah biasa.

Aku dan Seri hanya sempat berbual sekejap saja memandangkan waktu dah semakin menginjak ke lewat malam. Selepas mengucapkan selamat tinggal, terus aku angkat kaki pergi dari situ. Pagi esok pula aku akan datang untuk melawat Jes.

Ketika aku memandu pulang, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Jalan jadi licin. Ditambah dengan kepekatan malam, kadar penglihatan aku jadi kurang baik. Terbatas dengan curahan air hujan lagi. Aku tiada pilihan lain selain memandu dengan kadar yang perlahan dan lebih berhati-hati.

Sebuah kereta di belakang tiba-tiba memotong laju. Dan sebuah kereta dari arah jalan bertentangan pula juga sedang bergerak laju.

Mata aku membulat. Serentak terasa adrenalin melonjak pantas dalam tubuh. Jantung berdetak tak seiring. Nafas tersekat dan...

PINGGGGGGG!!!

Kaki terus menekan brek.

BAM!!!!!

Dahi aku terhantuk sedikit pada stering. Sakitnya terasa tetapi mujurlah hentakannya tak kuat dan tiada darah yang mengalir. Dahi yang menunduk jatuh pada stering, lalu dengan hati yang berdebar-debar aku mengangkat muka.

Terasa hilang darah dari seluruh wajah melihatkan apa yang terbentang di depan mata. Kemalangan antara dua buah kereta yang memandu laju tadi!

Nasib aku sangat baik kerana tak terbabas dan tak terkena tempias perlanggaran antara dua buah kereta itu. Dan bertambah nasib baiknya, tiada sebuah kereta pun di belakang aku. Aku tak sanggup bayangkan apa yang terjadi sekiranya ada kereta di belakang aku tadi sedangkan aku menekan brek mengejut.

Dalam beberapa minit saja, keadaan jadi riuh-rendah dengan orang awam dan pihak penguatkuasa yang datang, polis dan ambulans.

Kereta aku masih terparkir di tepi jalan. Aku cuma menjenguk ke luar sekejap saja tadi sebelum kembali masuk ke dalam kereta semula. Hujan masih belum reda, namun sekurang-kurangnya tidaklah lebat seperti tadi lagi.

Jujurnya aku masih ketakutan. Untuk aku menyambung perjalanan aku yang tergendala ini pun aku ragu-ragu.

Aku tak pedulikan hiruk-pikuk di luar sana. Aku cuma duduk menyandar pada kerusi dan merenung jauh ke depan. Bunyi air hujan yang masih mencurah-curah menjadi halwa telinga.

Entah apa yang aku rasa saat ini.

Aku teringatkan Fira.

Terdetik sejenak, kalau aku mati tadi, sekurang-kurangnya aku dan Fira... dapat bertemu semula, kan? Sekurang-kurangnya dunia aku dan dia dah tak terpisah seperti sekarang.

Bunyi deringan henfon aku kedengaran. Oleh sebab macam-macam yang terjadi pada malam ini buatkan tubuh aku hilang semangat, aku angkat panggilan itu tanpa melihat sikit pun nama pemanggil. Mata aku terpejam, sengaja aku tak mahu celik.

PEDIH & LUKAWhere stories live. Discover now