Cerpen 6 : LANGIT LIMPAH HUJAN (part 1)

82 4 0
                                    

Aku ada seorang kawan.

Silap.

Aku pernah ada seorang kawan, yang dia sebenarnya mengharapkan tak pernah dilahirkan pun di dunia ini. Sebab bagi dia, dia hidup pun, yang dia dapat hanyalah tekanan dan derita. Air mata dan duka. Pedih dan luka.

Dia kata, perasaan itu sakit sangat. Perasaan tak nak hidup, tapi terpaksa teruskan hidup itu, sangat sakit rasanya.

Setiap kali dia cakap begitu, aku akan marah dia.

"Kau masih ada kawan-kawan kau. Kau ada aku, dia dan mereka."

Tak. Bagi kawan aku yang tak nak hidup itu, dia rasa keseorangan. Walaupun dia ada kawan-kawan baik, tapi dia tetap rasa kosong. Sebabnya jiwa dia dari umur kanak-kanak lagi telah kosong. Jadi, kawan-kawan dia ibaratnya hanya ubat, yang buat dia bertahan teruskan hidup. Hakikatnya sakit itu tak hilang, tetap ada.

Dan, saat sesuatu yang telah lama dia mahukan itu akhirnya termakbul...

"Kau tahu, kan... sejak dulu lagi... aku tak pernah pun nak hidup..."

Ya, akhirnya dia pergi. Tinggalkan aku.

Berbulan-bulan aku jalani hidup aku dengan rasa kekesalan tersorok di dalam hati. Aku menyoal diri aku berkali-kali. Kenapa?

Kenapa Fira tak kuatkan semangat dia sedangkan aku tak pernah tinggalkan dia?

Kenapa dia tak nampak aku yang setia ada di sisi dia?

Apa kurangnya aku sebagai kawan dia selama ini?

Silap aku ke sebab gagal pulihkan jiwa dia?

Akukah yang kurang? Akukah yang gagal menjadi kawan yang baik?

Kadang-kadang aku cuba adukan rasa hati terkilan dan kecewa aku itu pada Jes. Tapi Jes tetap Jes, hanya sibuk pada urusan hidup dia. Buatkan aku sedar akan sesuatu, yang Fira... telah pun berjaya buat aku rasa kehilangan sesuatu yang amat berharga.

Dia.

Fira, dia selalu anggap dirinya tak berguna dan tak bernilai di mata sesiapa. Fira bodoh, dia tak nampak betapa sunyinya hidup aku kini tanpa dia. Dia tak nampak betapa sedihnya hati aku tanpa ada lagi usikan nakal daripada dia. Dia tak nampak betapa penting dan bernilainya diri dia sepanjang jadi kawan aku selama ini.

Fira itu, walaupun dirinya kosong, tapi dia tak pernah buat aku rasa kosong selama bersama dengan dia. Tapi sekarang, aku rasa sangat-sangat kosong tanpa dia yang kosong itu.

Hanya Tuhan yang tahu, aku rindu dia.

Suatu hari, aku keluar bersama Jes dan Seri. Aku cuba berlagak seperti biasa. Senyum dan berbual seperti biasa. Walaupun jauh di dalam sudut hati, perasaan aku pedih dan perit mengenangkan Fira yang telah tiada. Sepatutnya kami geng berempat, tetapi sekarang...

Hanya tinggal bertiga.

Aku tak tahu apa yang terpendam di dalam hati masing-masing — Jes dan Seri. Kerana dua orang itu pun lagaknya seperti aku juga, mempamerkan reaksi biasa-biasa saja. Seolah-olah tiada yang kurang.

Tapi aku tahu, mereka rasa apa yang aku rasa. Dan aku takkan sesekali sebut nama Fira. Aku takkan bangkitkan tentang Fira di depan mereka. Takkan.

Sehinggalah...

Terjadi sesuatu yang tak aku duga.

Hidung Jes mengalir darah. Merah dan pekat. Beberapa saat selepas itu, dia rebah dan pengsan di depan mata aku. Aku tergamam. Sampaikan aku tak mampu gerakkan kaki aku untuk dekati tubuhnya yang telah terbaring tak sedarkan diri di khalayak umum. Aku cuma tersedar saat keadaan menjadi riuh. Suara-suara panik dari semua orang yang ada di situ dan suara teriakan Seri pada aku.

PEDIH & LUKAWhere stories live. Discover now