"Kau tak dengar cerita ke, Yan?" Mak Long mengerling pada Hayyan yang menunduk senyap saja menyuap nasi goreng dimasaknya tadi.
Hayyan angkat muka. "Pasal apa, Mak Long?"
"Kawan kau itulah... dah bercerai talak tiga aku dengarnya. Dah heboh satu kampung, takkan kau tak tahu. Kawan luar alam kau, kan?" Sinis Mak Long bersahaja. Dia dan anak bujangnya yang masih membuta di dalam bilik itu memang sama saja mulut lasernya. Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
Terus pegun Hayyan jadinya. Mulut berhenti mengunyah. Tanpa sedar, sudu dan garpu terlepas dari tangan. Tak berkelip matanya memandang belakang tubuh Mak Long yang sedang mencuci pinggan di sinki.
"Kenapa diorang cerai?"
"Kalau ikut mulut-mulut orang yang bercerita, katanya si Afia itu haa yang curang. Ada jantan lain."
Afia curang? Biar betul. Entah kenapa berat hati Hayyan nak percaya khabar angin itu. Entah-entah orang kampung ni saja yang tokok-tambah.
"Kawan kau itu pun dah balik sini dah dua hari lepas."
Zikri dah balik?
Kenapa tak jumpa dia?
🦋🦋🦋
Mata saling bertentang. Tak sangka Zikri akan datang ke gerai burgernya malam ini. Dia nak berkemas balik dah pun, alih-alih Zikri muncul di depan mata. Bantu dia kemas juga. Sekarang, mereka saling duduk mengadap di meja plastik lipat yang satu-satunya ada di situ.
"Lama dah aku tak nampak kau. Kau sihat?" Hayyan membuka bicara dengan perasaan yang dia sendiri tak pasti apa rasanya. Rasa rindu? Terkilan? Janggal? Semuanya berbaur.
"Sihat, Yan."
Suasana kembali bisu. Zikri tak tanya pun khabarnya.
"Afia... sihat?" Saja Hayyan menyebut nama itu. Dia mahu Zikri sendiri yang buka mulut bercerita, bukannya dia pula yang terpaksa dengar cerita dari mulut-mulut orang yang entah sahih atau tidak itu.
Zikri melepaskan keluhan.
"Aku dah cerai dengan dia."
"Kenapa?"
Zikri jongket bahu. "Takde keserasian kot."
Hayyan agak musykil dengan jawapan Zikri. Orang kampung cakap lain, tuan punya badan kata lain. Yang mana satu kebenarannya pun dia tak tahu.
"Takkanlah sampai talak tiga terus."
"Dah itu yang dia nak. Biarlah dia. Aku sendiri pun dah takde hati kat dia." Jawab Zikri mudah, sepertinya langsung tak berperasaan.
Sedikit sebanyak Hayyan rasa hairan. Zikri yang dia kenal, tak sedingin seperti yang ada di depannya sekarang. Zikri macam... dah lain.
"Ingat juga kau jalan balik ke kampung ni. Aku ingat kau dah lupa." Hayyan tak dapat tahan mulutnya dari menyinis. Sebab dah lama dia pendam sakit hati. Dia makan hati dalam diam dengan sikap Zikri yang dah macam lupa kawan itu.
"Aku tak pernah lupa, Yan. Lebih-lebih lagi kau. Aku tak pernah lupa." Hayyan takkan pernah faham apa yang dia lalui dalam perkahwinannya. Perangai Afia sepanjang tempoh bergelar isterinya, buatkan dia benar-benar menyesal memilih perempuan itu sebagai teman hidupnya dulu. Afia itu terlalu 'queen control'.
Hayyan pula sudah kelu lidah. Percaya ke dia dengan mulut manis Zikri itu?
"Sebenarnya... Afia tahu tentang kau dan aku. Dia... tak boleh terima. Dia anggap aku dan kau jijik. Dia larang aku dari terus berhubung dengan kau. Semua hal berkaitan dengan kau, dia tak suka. Sampaikan aku nak balik kampung pun, dia bergaduh dengan aku bagai esok nak kiamat. Boleh kata hampir setiap hari kami bergaduh. Hidup aku langsung tak bahagia dengan dia, Yan. Sudahnya, kami sama-sama memilih perceraian." Zikri akhirnya buka mulut. Dia rasa takde gunanya dia nak berahsia sangat tentang hal itu. Lagi pun, semuanya dah lepas. Dia dah pulang ke tempat asalnya. Dan bertemu semula dengan... Hayyan. Seseorang yang istimewa baginya.

YOU ARE READING
PEDIH & LUKA
Krótkie OpowiadaniaKompilasi cerpen berkisarkan kelukaan hati watak lelaki mahupun perempuan. Di dalam dunia ini, tidak kira jantina apa sekali pun, kita semua mampu merasakan pedihnya sebuah luka. Tiada yang kecuali, melainkan kita adalah seorang psikopat. Dan, pasti...