Cerpen 7 : TOLONG ADA DEMI AKU (part 2)

35 3 0
                                    

"Yan... Angkatlah muka kau tu. Tak payah nak malu sangatlah dengan aku. Lagi pun, macam tak biasa. Kita kan dah biasa kena kata macam-macam dek mulut-mulut puaka orang kampung ni. Aku dah kalis, Yan." Zikri cuba memujuk. Kesian betul kawannya yang seorang ini. Selalu kena perli, kena hina dek orang, termasuk sanak-saudara sendiri.

Padahal bagi Zikri, kawannya itu sudah elok serba-serbinya. Kacak dan tinggi lampai orangnya, kulit muka pun bersih dan cerah. Itu baru elok dari segi luaran, dari segi sikap pula lagilah bagus. Jenis soft-spoken sangat. Bercakap dengan sopan dan lembut, jauh sekali nak berkasar, tinggi suara atau tunjuk baran. Marah orang pun entah pernah ke tidak, itu Zikri sendiri pun musykil. Sebabnya dia tak pernah tengok Hayyan marah sepanjang tempoh dia berkawan dengan lelaki itu dari zaman sekolah menengah.

Cuma satu saja kekurangan Hayyan yang dia tahu. Dan yang satu itulah, paling menyakitkan untuk Hayyan dan dia terima sebenarnya.

Bagi Hayyan pula, kadang-kadang cara layanan Zikri pada dia itulah yang buatkan orang pandang serong pada mereka berdua. Zikri selalu begitu. Setiap kali ada orang hina Hayyan, pasti Zikri yang akan pujuk Hayyan. Lagak gaya dah macam pujuk girlfriend. Padanlah Niyaz labelkan dirinya sebagai girlfriend Zikri. Argh malu!

"Hmmm... Kau memang jemput lisan saja ke? Takde kad?" Hayyan ubah topik terus. Tak nak dia ingat kata-kata Niyaz tadi. Boyfriend dia kena caras konon, kurang ajar betul si Niyaz tu.

Zikri senyum. Nasib baiklah orang yang di sebelahnya ini masih sudi buka mulut walaupun mata masih tak pandang dia. Pemalu sangat Hayyan ni, mengalahkan perempuan.

"Ada kad, tak siap lagi. Ini kau orang pertama tau aku jemput. Tak menyempat tunggu kad siap, excited punya pasal terus aku beritahu kau dulu. Sweet tak aku?" Berserta sengihan tak lepas dari bibir, Zikri mengusik Hayyan pada akhir ayatnya.

"Sweet sangat, Zik." Tapi entah kenapa aku rasa pahit. Ayat itu dia tuturkan di dalam hatinya saja. Tak sanggup nak luah.

Dan bertemankan angin petang dan matahari malu-malu bersembunyi di celah awan, Zikri sambung bercerita dan terus bercerita tentang bakal isterinya pada Hayyan.

Hayyan tekun mendengar, namun jauh di sudut hati, dia rasa dia bakal kehilangan... sesuatu.

Wajah gembira Zikri dia renung lama, tanpa lepas.

🦋🦋🦋

Dia sunyi. Sangat sunyi.

Betul sangkaan dia dulu. Yang dia bakal kehilangan sesuatu. Dan sekarang, dia telah pun kehilangan sesuatu itu.

Selepas Zikri berkahwin, lelaki itu tidak lagi tinggal di kampung. Zikri terpaksa berpindah ke Johor bersama Afia memandangkan isterinya itu bertugas di sana.

Dari hari, bertukar ke bulan. Dari bulan, bertukar ke tahun. Sudah hampir setahun bayang Zikri tidak muncul di depan Hayyan. Zikri tidak pulang-pulang. Hayyan sendiri tidak faham. Kenapa kawannya itu tidak jenguk mereka yang masih berada di kampung ini? Bukan Hayyan saja yang ada dalam menanti kepulangan Zikri di sini, ibu dan bapa Zikri pun masih ada dan tinggal di sini juga. Dan Zikri itu sajalah satu-satunya anak mereka ada. Kalau ya pun Zikri lupakan dia, tapi takkanlah Zikri tidak terasa mahu jenguk ibu dan bapanya di kampung ini?

Ya, jauh di sudut hati Hayyan merasakan Zikri dah lupakan dia. Bukan saja tidak bertemu muka, menghantar mesej atau menelefon untuk bertanya khabar tentang dirinya pun Zikri tidak lakukan. Kadang Hayyan yang terhegeh menelefon Zikri. Zikri angkat saja panggilan daripada dia, tapi selalunya hanya sekejap saja mampu dia mendengar suara itu. Sebabnya Zikri selalu seolah-olah terkejar-kejar masa, sepertinya sibuk benar untuk melayan dia. Setahu dia Zikri bekerja mengikut waktu pejabat seperti orang lain juga, bekerja cuma di hari minggu.

Jadi takkanlah tak terselit langsung waktu lapangnya untuk berbual sekejap dengan aku? Atau memang betul dia dah tak mahu peduli tentang aku lagi? Hatinya rawan sendiri.

"Termenung jauh nampak! Teringatkan ex boyfriend yang dah jadi suami orang ke tu?" Tiba-tiba muncul Niyaz di sebelah. Santai bersandar di beranda sambil menyalakan api rokoknya.

Niyaz hembuskan asap berkepul-kepul, seraya menoleh ke arah sepupunya yang diam seribu bahasa itu.

"Yan... Yan... Takde gunanya kau tenung bulan tu bagai nak tembus. Orang tengok bulan ni, sebab menanti balasan rindu orang jauh. Kau? Siapa rindu kau, Yan? Zikri tak ingat kau dah! Mak ayah dia pun dia sampahkan, apatah lagi jantan macam kau. Seronok ulit bini kaya laa katakan. Tak diingat dah kita-kita yang miskin hina kat kampung ni." Tersengih-sengih Niyaz usai bebelkan Zikri. Dia ni, benci-benci kat Hayyan pun, benci lagi dia tengok Hayyan duk termenung bagai orang bodoh di sini pada setiap malam.

Hayyan benci dengar apa yang Niyaz katakan itu. Sebab sikit pun dia tak mampu nak tepis dakwaan itu. Sikit pun dia tak mampu nak tentang tuduhan kejam merobek hatinya itu.

"Pergilah cari perempuan, Yan. Apa sangatlah ada pada jantan tu. Eh, kau tak loya tekak ke minat sesama jenis? Lelaki sesama lelaki, ada aset serupa aje kot. Kat celah mana bikin terujanya? Hish, jijik aku sembang pasal ni. Blah dulu aku." Dia melemparkan puntung rokoknya di laman rumah kemudian terus masuk ke dalam sambil mulutnya mula menyanyi asyik lagu zaman 80-an dulu-dulu.

Kau tak faham, Yaz. Kau tak tahu apa-apa...

Dan-dan tika itu, dia kenangkan malam terakhir dia melepak dengan Zikri. Malam sebelum Zikri akad nikah pagi esoknya.

🦋🦋🦋

Kalau hari itu dia rasa sebak macam nak menangis masa Zikri cakap nak kahwin, dia tak sangka pada malam sehari sebelum Zikri akad nikah, dia betul-betul bakal hamburkan air mata di depan Zikri. Tetap, dia masih berusaha untuk menahan air matanya jatuh.

"Kau... kau pindah?" Dengan rasa terkejut masih tak kurang, Hayyan ajukan soalan itu.

"Ya. Aku minta maaf, Yan. Sebab tak beritahu kau awal-awal. Aku... serba-salah. Aku bimbang kau sedih, Yan." Dia dah lama berkawan dengan si Hayyan, dia kenal sangat hati Hayyan yang kadang rapuhnya tak ubah seperti perempuan.

Hayyan tunduk. Dialih pandangan pada langit gelap-gelita tanpa sebutir bintang pun. Yang menyinari cuma bulan.

Zikri yang duduk rapat di sebelah melepaskan keluhan.

"Yan... Lepaskanlah aku, Yan. Mulai esok, jalan hidup kita dah berbeza..."

"Kau dah tak nak berkawan dengan aku, Zik?"

"Bukan itu maksud aku. Tapi, aku tak nak dalam hidup kau... kau nantikan sesuatu yang..."

"Yang apa?"

"Yang mustahil, Yan. Kau dan aku, mustahil."

Kali ini, air matanya benar-benar jatuh. Kenapa Zikri perlu ingatkannya tentang itu? Kenapa Zikri perlu cakap begini? Untuk tambahkan lagi sedih di hatinya?

Melihatkan Hayyan kaku tak bersuara, Zikri terus menarik bahu Hayyan agar kedudukan temannya itu duduk mengadapnya. Lalu dia genggam kemas kedua-dua belah bahu Hayyan.

"Hey, pandang aku. Pandang aku, Yan."

"Kau tahu, kan. Aku-"

"Aku tahu, Yan." Pintas Zikri tanpa sempat Hayyan habiskan kata-katanya. "Aku pun sayang kau. Dan aku tahu perasaan kau pada aku lebih dari itu. Tapi, Yan... aku tak pernah salahkan kau. Aku faham, Yan."

Hayyan menggeleng berkali-kali bersama sedu. Ya Tuhan, kenapa begini yang aku rasa? Kenapa aku?

"Takdir... yang meletakkan kita dalam keadaan macam ini. Kalaulah kau..." Zikri hela nafas berat, susah untuk dia 'kalau'-kan sesuatu yang dah tersurat. Takdir ada kalanya kejam. Tak beri ruang untuk mereka memilih.

"Takdir cuma tak adil pada aku, Zik. Hanya pada aku. Untuk itu, kau mesti berbahagia dengan dia. Kau jangan runsingkan aku lagi dah. Kau... sudah ada tanggungjawab lain selepas ini."

Dan aku bukan lagi keutamaan kau, Zik.

"Kau tetap istimewa di hati aku, Yan. Sampai bila-bila." Ikrar Zikri.

Hayyan memeluk Zikri erat. Dengan harapan, Zikri tak pernah melupakan ikrarnya itu.

🦋🦋🦋

[1234pp]

PEDIH & LUKAWhere stories live. Discover now