Tak...
Kenapa...
Aku tak faham... Kenapa air mata aku saat ini harus jatuh. Bukankah aku harus tumpang bahagia? Melihatkan pertemuan pertama si suami dengan anak kandungnya sendiri yang telah pun berusia enam tahun.
Anak kandungnya bersama bekas kekasihnya suatu ketika dahulu.
Setapak demi setapak kakiku mengundur. Sebelah tangan naik menekup mulut. Air mataku makin lebat mengalir. Namun mereka... di depan aku saat ini, berwajah bahagia.
Khai, dan anak lelakinya yang dia baru tahu akan kewujudannya, Raykal. Dan di situ, berdiri juga seorang wanita anggun, yang juga berwajah tersenyum bahagia.
Mereka tak ubah seperti satu keluarga bahagia yang baru saling melengkapi. Tertinggal aku di sini, yang hanya mampu menatap semua itu dari jauh. Tersorok di balik sebatang pokok.
"Cik?"
Tersentak aku apabila seseorang menegur aku dari belakang. Aku berpaling. Lekas aku mengelap muka yang basah dengan tangisan bisu. Lalu aku angkat muka, menyatukan pandangan aku dengan... seorang lelaki tinggi lampai.
"Awak okey? Dari tadi saya nampak... awak menangis belakang pokok tu."
"Okey... okey. Saya okey, jangan risau." Beria-ia aku cuba menyakinkan apa yang aku ucap. Walhal, perasaan di hati mengalir darah merah. Hati aku tertoreh dengan kenyataan pahit terpaksa aku telan. Khai punya anak luar nikah bersama perempuan lain. Sedangkan aku sebagai isterinya yang telah bersama dengannya selama empat tahun, masih tak mampu berikannya zuriat.
Dan lelaki asing di depan aku ini, menatap aku lama tanpa sebab. Entah pula kenapa, aku hanya biarkan. Mungkin fikiran aku terlalu kacau-bilau, tak mampu fikir apa-apa lagi.
"Awak intai keluarga itu dari jauh. Keluarga yang nampak bahagia pada pandangan mata saya. Tapi awak menangis, kenapa? Atau... lelaki itu sebenarnya ex-boyfriend awak?"
Dan kini, giliran mata aku pula terpaku lama pada wajah itu. Wajah yang baru aku kenal buat beberapa minit, namun kata-kata penuh 'kejujuran' yang baru keluar dari mulutnya itu begitu mengoyakkan hati aku tersedia rabak.
Setelah beberapa saat aku terkelu, akhirnya aku menjawab dengan pandangan tak beralih darinya.
"Lelaki itu... suami saya."
Riak wajah lelaki itu serta-merta berubah. Seolah-olah terkejut. Dan aku tersenyum tawar. Air mata kembali bergenang tanpa aku pinta.
"Dia curang pada awak?"
"Tak."
"Tapi budak lelaki dan perempuan tu..."
"Itu anak dia."
"Perempuan tu? Madu awak?"
Diam tanpa jawapan. Kerana aku sendiri bingung harus jawapan seperti apa patut aku berikan. Perempuan itu... bakal madu aku? Atau bakal pengganti aku?
Mujurlah lelaki itu sepertinya faham akan gelodak perasaan aku. Jadinya dia berhenti bertanya. Dan aku... terus kesat dan kesat air mata yang seakan tak mahu berhenti mengalir.
Mengapa semakin aku kesat, semakin deras air mata yang jatuh?
Sebak semakin menghimpit ruang dada. Dari menyeka air mata, kedua-dua belah tangan aku kini beralih menekup mulut sendiri. Menahan tangis dengan muka kemerahan. Aku memejam mata rapat dan tanpa kekuatan yang tersisa lagi, aku jatuh melutut di atas rumput, di depan lelaki itu. Aku teresak kecil.
Aku tak peduli lagi. Tak peduli dengan keadaan sekeliling, dengan pandangan mata dari orang lain. Hakikatnya aku karam dalam kesedihan yang dahsyat. Aku hanyut kerana takdir meletakkan aku dalam situasi yang tak pernah aku sangkakan seperit ini rasanya.
Terasa kedua-dua belah bahu aku digoncang perlahan oleh tangan seseorang. Saat aku celik mata, wajah itu begitu dekat dengan aku. Tubuhnya bongkok ke depan, menundukkan wajahnya benar-benar di depan muka aku.
"Bangun awak..."
Bagaikan dipukau, aku turuti kata-kata itu biarpun seluruh tubuh aku lemah dan longlai.
Pandangan aku jatuh ke kaki sendiri, tidak aku angkat muka. Walaupun sudah berdiri saling setentang.
Namun, sehelai sapu tangan yang terhulur dan perlahan-lahan ia bergerak mengelap pipi aku yang basah buatkan aku terpempan. Esakanku terhenti sendiri. Dengan rasa yang aku sendiri tak mengerti, aku angkat pandangan pada lelaki itu. Sebelah tangan dia itu... memegang sapu tangan ungu dan tanpa keraguan, dia mengelap air mata yang mencemarkan pipi aku.
"Mungkin... apa yang sedang awak lalui sekarang, sesuatu yang awak begitu mahu pertikaikan, mahu marah, mahu menyalahkan, mahu menjerit dan meluahkan kesedihan itu sepenuhnya dari dalam diri awak biar tiada sekelumit pun derita perasaan yang terpaksa awak tanggung. Mungkin awak boleh lakukan itu semua sekarang, tapi pada akhirnya... awak akan terpaksa menerima jua."
"Kenapa?" Soal aku sayu dan perlahan. Mata ini tak lepas dari menatap dia. Dia yang masih leka mengeringkan pipi aku, tanpa langsung memanahkan pandangannya pada mata aku. Anak matanya hanya kekal tunduk bergerak-gerak menjelajahi setiap inci wajah aku.
Dan dia senyum. Manis.
"Rela atau tak... Memang akhirnya kita harus menerima semuanya. Sebab ini adalah kehidupan. Yang kadang jalan takdirnya tak selalu lurus, tak juga selalu bersimpang. Ada jalan... yang kita memang terpaksa pilih dan lalui, kerana jalan lain yang ada... mungkin tertutup, mungkin jalan mati, atau mungkin... jalan itu sendiri membahayakan perjalanan kita di kemudian hari. Jadinya, bila ada satu saja jalan yang terbuka biarpun samar-samar cahaya yang meneranginya, jalan itu tetap kita akan pilih akhirnya."
🍁🍁🍁
Malam itu, terasa diriku hanya dibalut kedinginan malam. Khai yang memeluk erat tubuhku dari belakang, entah kenapa tidak terasa hangatnya lagi pelukan itu. Naluriku sebagai isteri, tahu yang Khai suatu masa nanti, atau mungkin nanti... Khai akan memuntahkan jua baris ayat itu.
Aku memejam mata rapat, cuba menjemput lena yang panjang. Namun, tak mungkin aku mampu tidur dalam keadaan hatiku semakin walang dari hari ke hari kerana seorang Khai.
"Dian... You dah tidur?"
Bisikan lembut itu tiba-tiba menyapa pendengaran, memecahkan tembok kesepian di dalam kamar yang gelap, tidak diterangi lampu.
"Belum." Aku menjawab perlahan, tanpa membuka mata.
"Dian... I nak cakap sesuatu..."
"Hmm... cakaplah."
"I nak minta maaf. Tapi... demi Raykal, I nak minta izin daripada you, untuk memperisterikan Farhana..."
Senafas saja bicara itu meluncur dari bibir Khai. Begitu mudah baginya. Begitu senang baginya meluahkan hasrat hatinya.
Tapi...
Tidakkah dia peduli sedikit pun tentang hati dan perasaan aku...
Jadinya aku diam. Kerana aku sudah dapat menjangkakan dari awal. Cuma aku tidak sangka, secepat ini aku akan mendengar patah kata yang merobekkan perasaan aku sebagai isterinya.
Diam aku, bersama air mata yang mengalir. Namun, pedulikah Khai? Dia sewenangnya meminta keizinan akan sesuatu yang tak semua isteri dalam dunia ini sanggup berikan.
Aku bukannya Siti Sarah, isteri Nabi Ibrahim, yang sanggup membenarkan suaminya sendiri berkahwin dengan Siti Hajar kerana dia tidak dapat memberikan zuriat untuk suaminya.
Tak... Aku tak sekuat itu. Malah, Siti Sarah sendiri punya rasa cemburu terhadap Siti Hajar. Apatah lagi aku, perempuan biasa... yang juga tinggi sifat cemburu melihatkan kebahagiaan suami dicintai dengan perempuan lain.
"Dian..? I... I minta maaf. Demi Tuhan, I takde niat untuk lukakan hati you. Tapi takdir yang meletakkan kita dalam situasi begini. I minta maaf, sayang..."
"Khai..." Aku memanggil namanya lirih. Kata-kata maafnya itu langsung aku tidak ambil peduli.
Semua ini takdir, katanya.
Takdir.
"Mungkin takdir kita... jodoh kita tak panjang. Mungkin, jodoh you yang sebenarnya... bukan I, tapi dia."
[1117 words]

YOU ARE READING
PEDIH & LUKA
Short StoryKompilasi cerpen berkisarkan kelukaan hati watak lelaki mahupun perempuan. Di dalam dunia ini, tidak kira jantina apa sekali pun, kita semua mampu merasakan pedihnya sebuah luka. Tiada yang kecuali, melainkan kita adalah seorang psikopat. Dan, pasti...