"Abang sayang Nina..." luah Nasril lirih dalam esakan.
"Tapi Nina dah tak mampu pandang wajah abang. Wajah abang, tak lagi bahagiakan Nina. Wajah abang, beri luka besar di hati Nina. Menatap wajah abang sekarang, bagaikan merobek-robek jantung Nina. Kalau abang masih punya empati, tolong... tunaikan permintaan Nina."
Bibir Nina bergetar menahan tangis. Bukan dia tak sayang pada Nasril, malah dia terlalu sayang. Untuk seorang yatim piatu sepertinya, dia tiada sesiapa melainkan Nasril, suaminya sendiri. Tapi... siapa sangka, perkahwinannya gagal dengan cara begini. Cara yang dia tidak pernah sangka. Kerana baginya, Nasril itu tiada kurang. Nasril itu... sebaik-baik lelaki dan suami. Yang penyayang, yang pelindung, yang menjaganya selama ini dengan baik.
Sayangnya... kerana dia ialah seorang perempuan dan isteri yang tidak sempurna, dia diduakan juga akhirnya. Nina sedar diri, dia ada kekurangan diri yang besar. Memang dia layak diduakan. Tapi, dia juga masih seperti perempuan lain. Yang punya hati yang rapuh, bila suami sendiri yang mengaku telah berkahwin lain secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya.
Nasril begitu kejam. Sangat kejam kepadanya. Dia saban hari cuba menjadi yang terbaik di mata Nasril, tapi ini yang dibalas Nasril terhadapnya?
"Sayang... Tolonglah jangan macam ni. Tolong jangan paksa abang untuk lepaskan Nina. Macam mana abang nak lepaskan orang yang abang sayang? Abang tak mampu, sayang. Tak mampu..."
"Macam mana pula abang mampu duakan orang yang abang sayang? Kenapa yang itu abang mampu?"
Nasril tiada jawapan untuk itu. Hanya esakannya yang kedengaran. Sedangkan hati Nina, lagi kuat tangisnya kerana Nasril bersikap pentingkan diri.
"Nina takkan maafkan abang..." Buat ke sekian kalinya, air mata Nina mengalir. Sungguhlah, kali ini dia benar-benar terluka akan sikap Nasril.
Setelah beberapa minit ruang kamar itu hanya diisi dengan tangisan pasangan suami isteri itu, tiba-tiba suara serak Nasril meluahkan juga apa yang Nina mahukan.
"Kalau betul itu yang Nina mahu..."
Nasril jeda. Mendongak memandang Nina yang masih berdiri, sedangkan dia pula masih melutut di depan Nina.
"Abang akan tunaikan. Abang... ceraikan Nina dengan talak satu."
Dan kali itu, guruh benar-benar berdentum di langit. Menyapa di pendengaran mereka berdua. Nina senyum dalam kepahitan. Entah mengapa, hatinya tiba jadi terkilan. Mengenangkan selama ini... lelaki yang melutut di depannya ini... pernah berjanji untuk menjaganya sehingga ke nafas terakhir.
Tapi hari ini, takdir menentukan sebaliknya.
Akhirnya, ikatan antara mereka berdua terpisah.
Beberapa tahun berlalu... Nina akhirnya menemukan semula bahagianya bersama lelaki lain. Dia menikahi lelaki yang benar-benar sudi menerima kekurangan dirinya. Pada awal perkahwinannya dengan Qalif, jujurnya dia masih trauma dengan apa yang telah terjadi pada perkahwinan lalunya bersama Nasril. Dia takut Qalif juga akan menduakannya atas alasan yang sama. Namun, kini telah enam tahun dia menjadi isteri Qalif, membuktikan kesetiaan lelaki itu padanya. Akhirnya, dia benar-benar mendapat lelaki yang mampu bahagiakannya.
Dan Nasril pula... Siapa sangka, setahun selepas bercerai dengan Nina, tiba-tiba Nasril membuat keputusan untuk menceraikan Haifa atas sebab tiada kefahaman lagi. Dan kisah Nasril tidak berakhir di situ. Dia cuba untuk menjejak Nina kembali. Namun, beberapa tahun kemudian selepas dia menemukan Nina, hatinya terluka parah melihatkan Nina sudah pun memiliki orang lain di sisi. Ketika dia menghampiri Nina, perempuan yang pernah menjadi isterinya itu sekadar menghadiahkan senyuman saat melihatnya.
"Abang sihat?"
Nasril angguk dengan hati yang pecah berderai.
Nina masih seperti dulu. Tiada yang berubah. Wajahnya berseri dengan cahaya kebahagiaan. Dan lelaki sebelah Nina itu pun... kelihatan bahagia. Memeluk pinggang Nina dengan erat sekali seperti tidak mahu lepas.
Hanya dirinya yang bodoh kerana melepaskan perempuan sebaik Nina.
Dan apabila Nina berlalu berjalan melepasi bahunya, air mata Nasril jatuh setitis demi setitis.
Nasril senyum pahit pada diri sendiri. Perasaan sakit inikah yang Nina rasakan dulu?
"Saya tahu... doktor dah sahkan saya mandul, tapi... andainya abang berada di tempat saya, andainya saya yang menyebut nama lelaki lain ketika bersama abang, apa yang abang rasa..."
Dia menduakan Nina atas alasan Nina tak mampu memberikan zuriat kepadanya. Tapi akhirnya, dia tetap sebatang kara. Tidak punya isteri. Tidak punya anak.
Akhirnya, dia kehilangan segalanya.
Nina...
Maafkan abang...
Abang... sayang Nina sampai bila-bila.
Maafkan abang, sayang.
[666pp]
- T A M A T -
[8.39PM/Tue, 16062020]
P/s : kisah pendek, tapi rasa menyakitkan hati sangat masa taip, hahaha.

YOU ARE READING
PEDIH & LUKA
Short StoryKompilasi cerpen berkisarkan kelukaan hati watak lelaki mahupun perempuan. Di dalam dunia ini, tidak kira jantina apa sekali pun, kita semua mampu merasakan pedihnya sebuah luka. Tiada yang kecuali, melainkan kita adalah seorang psikopat. Dan, pasti...