Mereka bermula sebagai kawan. Semakin lama, semakin mesra dan selesa hubungan mereka. Lama-lama terus bercinta. Akhirnya berkahwin.
Dua tahun berkahwin, Nina dapat rasakan perubahan pada sang suami. Yang dulu mesra berkasih sayang, kini ia perlahan-lahan pudar sifat kasihnya.
Sehinggalah pada malam itu...
Semasa mereka 'bersama', hati Nina bagai pecah retak mendengar nama perempuan lain yang meniti di bibir Nasril. Malam itu, Nina tidur bersama air mata yang mengalir sepi dari juring mata tanpa Nasril menyedarinya.
Pagi Sabtu esoknya, hujan lebat membasahi bumi. Bau hujan yang menyenangkan, iaitu petrichor, kuat menyapa deria bau. Namun, seharum mana pun bau yang terhasil apabila saat tanah dibasahkan dengan air hujan itu, tetap tak mampu mendamaikan perasaan Nina yang baru mencelikkan mata pada pagi itu.
Nafas panas yang terasa berhembus di belakang lehernya menandakan Nasril masih nyenyak tidur dibuai mimpi. Memang sudah menjadi tabiat Nasril bangun lewat pada hari cuti. Lalu tangan lelaki yang memeluk erat tubuhnya dari belakang itu perlahan-lahan dirungkai semasa dia mahu bangun.
Nina berdiri di depan tingkap kaca yang tertutup. Merenung sedih hujan di luar. Di telinganya, masih terngiang-ngiang nama perempuan asing yang disebut suaminya malam tadi.
Perasaan itu... sangat sakit baginya. Nasril bersama dengannya, namun menyebut nama perempuan lain.
Sakit.
Tanpa sedar, air mata mengalir lagi membasahi pipinya.
Dan apabila tangan itu kembali melingkari tubuhnya dari belakang, dia tak mampu lagi menahan sedihnya. Dihambur tangisan semahu-mahunya, seperti mana lebatnya hujan pada tika itu.
"Ya Allah, sayang... Kenapa ni? Cakap dengan abang. Kenapa menangis ni?"
Nina masih meneruskan esakan tanpa menghiraukan pertanyaan bimbang Nasril melihatkan keadaannya begitu.
"Nina sayang..." Nasril cuba memujuk lembut. Disapu lembut kedua-dua belah pipi Nina yang basah lencun dengan air mata jernih.
"Abang..." Akhirnya Nina membuka mulut. Biarpun suaranya serak akibat menangis teruk.
"Kalau abang ada orang lain, abang jujur dengan saya. Abang jangan lukakan saya sampai macam ni sekali..." Tangisan Nina kembali pecah.
Tuhan... dia kalah. Perasaannya hancur lebur saat bertentangan mata dengan Nasril. Mata redup Nasril itu... yang selama ini bahagiakan dia, rupanya dalam diam memuja perempuan lain di belakangnya.
Jelas sekali riak wajah Nasril yang berubah. Lelaki itu tersentak dengan pertanyaan isterinya sendiri.
"Apa Nina cakap ni? Abang... ada Nina jer. Abang takde orang lain, sayang."
"Tolonglah jangan tipu Nina, abang... Hati Nina sakit..." Ya Allah, kenapa Nasril begitu kejam perlakukan dia begini. Dia boleh terima andai kata Nasril sudah tak mahukannya, tapi perlu ke lelaki itu untuk terus menipunya?
"Aa.. a.. abang..." Nasril tergagap. Bibirnya bergetar. Sungguh... dia tak pernah menjangkakan dia akan berdepan dengan situasi begini dengan Nina. Nina, isterinya yang... dia sayang.
"Abang minta maaf, sayang. Demi Allah, abang minta maaf..." Mata Nasril berkaca. Sumpah, dia tak berniat untuk buat Nina menangis begini kerana dirinya. Dia tidak pernah berniat. Namun yang berlaku adalah di luar kuasanya. Dia tidak pernah meminta begini.
"Jangan panggil saya 'Sayang' seandainya... saat kita bersama pun, abang sebut nama dia."
Nina jatuh melutut. Rupanya begini perasaannya saat mendengar kejujuran yang pahit. Teramat pahit. Hati rasa dicincang lumat. Biar dia menangis tanpa henti sekali pun, sakit itu masih ada. Sedikit tak kurang. Kenapa... Nasril perlu begitu kejam dengan dirinya? Kenapa...
Nasril terpempan. Benarkah? Dia... tak sedar pun bila dia tersasul menyebut nama Haifa. Demi Tuhan, dia tak sedar.
"Saya tahu... doktor dah sahkan saya mandul, tapi... andainya abang berada di tempat saya, andainya saya yang menyebut nama lelaki lain ketika bersama abang, apa yang abang rasa..."
Akhirnya terluah apa yang dia pendamkan sejak tadi. Perit untuk dia mengaku kelemahan diri, namun... pedih lagi perasaannya dengan pertanyaan yang dia sendiri ajukan pada Nasril. Kerana dia tahu, Nasril takkan sesekali dikhianatinya seperti itu sebagaimana Nasril khianatinya sekarang. Jadi, Nasril tidak akan mampu rasa apa yang dia sedang rasa sekarang.
Nasril juga melutut di depan Nina. Dan lelaki itu juga sedang menangis atas pengkhianatannya terhadap Nina.
"Apa yang abang akan katakan ini, mungkin akan lagi menghancurkan perasaan Nina, tapi Nina kena tahu yang... Haifa tu..."
Nasril memejamkan mata. Tak sanggup memandang mata milik Nina yang basah.
"Dia isteri kedua abang. Bukan kekasih."
Anehnya, pengakuan itu seiring dengan bunyi titisan hujan yang begitu asyik mendamaikan. Malangnya apa yang Nina dengar, sepertinya guruh. Pengakuan yang keluar dari mulut suami yang dicintai sepenuh hati itu umpama panahan petir di hatinya.
Melihatkan Nasril yang menunduk sepi tanpa kata-kata lagi, akhirnya Nina cuba mengukir senyum. Sedaya-upaya, dia cuba senyum di depan Nasril meskipun senyuman dalam tangisnya itu begitu buruk sekali dia rasakan.
"Jadi... betul lah... abang kahwin senyap-senyap dengan dia sebab mahukan anak?"
Perlahan Nasril mengangguk.
Nina cuba mengawal perasaannya. Dia cuba menahan peritnya sakit terhimpun di dada. Ada satu lagi jawapan yang dia mahukan.
"Abang... sayang dan cintakan dia?"
Dan apa jawapan yang dia dapat, adalah anggukan jujur daripada Nasril.
Sekali lagi, Nina senyum. Setitis... dua titis... dan kali ketiga air matanya menitis pantas dia seka kasar dengan jarinya. Nasril mengangkat sebelah tangan untuk menyeka sekali lagi air matanya, namun pantas lagi tangannya menepis tangan Nasril.
Nasril tergamam. Nina... tak pernah berkasar dengannya selama ini.
Lekas Nina bangkit. Dia berjalan laju menuju ke almari pakaian. Bagasi di atas almari dicapai dan dibawa turun. Lalu pintu almari dibuka dan disumbat semua pakaiannya ke dalam bagasi itu.
"Apa yang Nina buat? Sayang?" Nasril cuba menghalang perbuatan Nina. Namun, Nina berterusan menepis tangan Nasril. Sampai satu masa, tak mampu dia tahan amarah dan kekecewaan di dalam diri, pipi kanan Nasril ditamparnya tanpa sengaja, di luar sedarnya.
Sekali lagi, Nasril terpegun.
"Sa...yang?" Nasril bagaikan kebingungan. Kenapa sekelip mata Nina berubah? Kenapa Nina sanggup naik tangan padanya sedangkan dia sendiri pun tidak pernah naik tangan pada Nina sepanjang mereka berkahwin...
Tak. Sayang itu tiada. Tiada lagi sayang dan cinta Nasril itu untuknya. Setiap kali Nasril memanggilnya 'Sayang', setiap kali itu dia rasa dikhianati suami sendiri.
Jika benar sayang... Mengapa nama perempuan lain yang disebut Nasril? Dia... masih tak mampu lupakan kenyataan itu. Kenyataan di mana dia rasakan maruah dirinya sebagai isteri lelaki itu diperkotak-katikkan.
"Dengan Haifa... abang dapat cinta dia, tubuh dia, dan anak bersama dengan dia. Abang dapat segalanya jika abang bersama dengan dia. Jadi, Nina minta... abang lepaskan saja Nina. Nina akan maafkan abang, kalau abang lepaskan Nina. Itu saja satu-satunya cara Nina akan maafkan abang."
Tenang saja suara Nina. Dia mengawal suaranya, riak mukanya agar semuanya kelihatan tenang. Dia tidak mahu pamerkan segala keperitannya itu pada Nasril. Kerana dia tak mahu simpati Nasril. Dia tidak perlukan simpati daripada seorang suami. Yang dia perlukan adalah cinta dan kasih sayang. Namun kedua-dua itu telah pun dirobek punah oleh suami sendiri.
Tanpa disangka, Nasril menjatuhkan lututnya di depan Nina dan memeluk kedua-dua kaki isterinya dengan erat. Dia menangis teresak-esak. Yang terluka itu Nina, terluka kerana perbuatannya. Tapi kenapa hati dia juga merasakan sangat terluka dan pedih? Dia tak sanggup kehilangan Nina. Nina itu... cinta pertamanya.
Cinta yang dia sayang, tapi dia bodoh kerana mengkhianati.
[1139pp]

YOU ARE READING
PEDIH & LUKA
Cerita PendekKompilasi cerpen berkisarkan kelukaan hati watak lelaki mahupun perempuan. Di dalam dunia ini, tidak kira jantina apa sekali pun, kita semua mampu merasakan pedihnya sebuah luka. Tiada yang kecuali, melainkan kita adalah seorang psikopat. Dan, pasti...