Cerpen 4 : KAUKAH DI SITU? (part 1)

86 3 0
                                    

"Semua orang mempunyai masalah dalam dunia ini. Tidak ada orang yang tidak ada masalah. Ada ke orang-orang dalam ni yang takde masalah? Kalau ada, lepas ni datang jumpa saya terus. Because you're my patient. Mostly my patients... mereka memang tak nampak apa-apa masalah pun dalam hidup mereka."

Semua yang hadir di dalam dewan itu tekun mendengar setiap butir bicara sang lelaki muda yang berdiri penuh karisma di atas pentas itu. Setiap patah katanya bergema melalui mikrofon yang dipegangnya, kedengaran penuh yakin. Selaku pakar psikiatri, personalitinya sememangnya harus meyakinkan. Kalau tidak, manakan mungkin pesakit-pesakitnya mahu mendapatkan rawatan daripadanya?

Zafran menghela nafas lega saat program itu selesai jua akhirnya. Berjam-jam dia bercakap, terasa kering juga tekaknya. Setelah segala urusan selesai, dia segera meminta diri dari situ. Mahu sampai ke rumah cepat-cepat.

Dia melangkah keluar dari dewan, lalu menapak laju menuju ke tempat keretanya diparkir.

"Doktor Zafran."

Namun panggilan seseorang mematikan langkahnya. Dia berpaling ke belakang dan spontan tersenyum kepada si pemanggil.

Perempuan itu membalas senyum Zafran seadanya, tanpa rasa. Bagi Zafran pula, dia menyedari 'sesuatu' dari senyum dan riak wajah perempuan yang berdiri di depannya itu.

"Ya, saya. Ada apa-apa yang saya boleh tolong ke, cik?" Zafran cuba berlagak santai, walaupun dia sebenarnya sudah dapat 'membaca' niat perempuan itu bertemu dengannya.

Melihat dari air muka perempuan itu saja pun, dia sudah tahu. Wajah itu terlalu kosong. Tak terpamer emosi.

Pandangan mata kuyu perempuan itu padanya sangat kosong.

Lalu dengan suara mendatar, dia mendengar perempuan itu meluahkan...

"Saya... tidak pernah rasa bagaimana perasaan mempunyai masalah. Walaupun pada orang lain situasi itu adalah masalah, tapi untuk saya... saya tak rasakan apa-apa. Semuanya tiada makna bagi saya. Saya emotionless. Tak rasa apa-apa."

Dan ternyata telahan Zafran benar. Tepat sekali. Dengan nada mesra, Zafran pun membalas...

"Then, starting from now, you're my patient, miss."

🍁🍁🍁

"Saya okey dengan hidup saya. Saya masih lagi boleh makan yang sedap-sedap, boleh layan drama atau filem, boleh bercakap dengan orang sudi bercakap dengan saya, boleh buat itu, buat ini. Tapi... jauh di sudut hati saya, saya sangat kosong. Apa yang saya buat semua itu, seolah-olah saya ini robot yang telah diprogramkan untuk jalani semua itu. Sedangkan emosi itu, saya tidak rasa. Malah, saya tidak peduli akan hidup atau mati. Saya tidak kisah mati pada bila-bila masa sekali pun. Kerana saya tidak rasa apa-apa yang berharga dalam hidup ini."

"Family awak? Kawan-kawan awak? Adakah mereka juga tak berharga?"

"Tak. Mungkin, kawan itu... ada yang benar-benar baik dengan saya. Tapi family... tiada apa-apa. Mungkin pada diri orang lain, keluargalah yang paling berharga. Malangnya saya tak rasa macam itu."

"Kenapa? Keluarga awak bermasalah ke? Mereka beri tekanan pada awak?"

"Entah. Bagi keluarga saya, mereka rasa diri merekalah paling terbaik. Yang teruknya saya. Kerana saya tidak cukup boneka untuk mereka. Sedangkan selama saya hidup, jarang-jarang sekali saya berbuat sesuatu yang buruk seperti remaja lain. Saya tidak keluar melepak. Saya tidak bersosial bebas. Saya tidak berkawan dengan lelaki tidak bermoral. Saya tidak bercinta. Saya tidak pernah mengajak mana-mana kawan datang rumah dan saya sendiri tidak pernah mengajar diri untuk pergi menempel di rumah kawan. Saya cuma berkurung di dalam rumah sendiri, bilik sendiri, di sebalik gril besi menutupi setiap tingkap di dalam rumah itu. Saya bagaikan berada di dalam penjara. Tapi mungkin bagi mereka, rumah itu istana untuk saya. Mereka tidak tahu, mereka telah membesarkan saya bagai orang tahanan. Tangan saya mungkin tak bergari, tapi hakikatnya di mata saya, orang jahat di luar sana itu lagi bebas dari saya yang malang terkurung di dalam penjara ciptaan keluarga sendiri. Penjara yang kadang-kadang saya gelarkan neraka."

Panjang lebar perempuan itu meluahkan. Zafran mendengar satu per satu dengan teliti. Dia tak boleh ambil mudah dengan luahan pesakitnya. Kerana bukan setiap masa, pesakit akan sudi membuka mulut. Kena pada hari emosi mereka tidak elok atau tidak stabil, sepatah perkataan pun mereka tidak mahu muntahkan.

Dan perempuan yang duduk di depannya ini bernama Cynthia. Namanya yang indah, namun tak seindah kehidupan yang dia ceritakan. Umur pula baru menginjak 23 tahun. Masih muda, namun bukan lagi remaja belasan. Dalam erti kata lain, dia tahu telah lama Cynthia memendam perasaan dan tekanan, sejak awal remaja sehingga kini. Mungkin dah lebih 10 tahun. Atau lebih 15 tahun.

Sebagai pakar psikiatri, baginya kes-kes seperti Cynthia bukan sesuatu yang luar biasa. Sudah banyak kes-kes tekanan perasaan melibatkan masalah keluarga. Yang menjadikan pesakit membesar dalam tekanan emosi yang kuat. Yang akhirnya menjadikan mereka mengidap depression, anxiety disorder, mahupun mental disorder yang lain.

Namun, dia dapat merasakan ada sesuatu pada diri Cynthia. Ini bukan kes kemurungan biasa. Dan dia tahu, apa yang Cynthia ceritakan itu hanya permukaan kisah.

"Jadi... selama ini apa perasaan awak bila hidup awak seolah-olah terpaksa jadi orang tahanan seperti yang awak katakan itu? Awak rasa sedih? Tertekan? Awak selalu menangis?"

"Kosong. Semuanya bagai sebuah mimpi buruk bagi saya. Saya tidak pernah menganggap itu benar-benar sebuah kehidupan untuk saya. Apabila saya keluar rumah untuk pergi ke mana-mana sekali pun, saya hanya merasakan itu pengembaraan saya di dalam sebuah mimpi. Dan bila saya pulang semula ke rumah, mimpi yang seronok tadi mula bertukar kepada mimpi buruk. Semuanya mimpi."

"Kalau itu semua mimpi, jadi bila awak mahu terjaga?"

"Bagaimana saya mahu terjaga jika saya sebenarnya tidak wujud?"

Zafran terdiam. Sudah dia agak, kes Cynthia ini kes yang payah. Yang jarang-jarang terjadi. Dalam fikirannya, dia sudah menyenaraikan beberapa jenis mental disorder yang ciri-cirinya ada pada Cynthia.

"Kalau awak tak wujud, bagaimana pula awak berada di depan saya sekarang?"

"Saya hanya boneka. Patung bernyawa. Tidak lebih dari itu."

Seketika Zafran menilik lama jasad di depannya itu. Duduk dengan begitu tertib. Cynthia sangat kelihatan tenang. Malah, Cynthia sendiri yang datang ke kliniknya selepas dia berikan kad nama pada Cynthia yang datang menemuinya pada minggu lepas. Segalanya-galanya tiada paksaan, semua kerelaan. Mulanya dia fikir tugasnya akan lebih mudah kerana pesakit sendiri yang sudi dapatkan rawatan, tapi Cynthia... dia tak pasti apa kemahuan Cynthia sebenar-benarnya.

"Kalau begitu yang awak rasa, adakah awak datang menemui saya untuk meminta bantuan agar mengeluarkan awak dari situasi yang buatkan awak jadi boneka sekarang?"

"Adakah doktor menganggap diri yang bermasalah sekarang?"

"Secara teknikalnya, ya. Kalau tak, untuk apa awak datang menemui saya, kan?"

"Saya tidak merasakan sebarang emosi, dan saya tidak tahu apa itu dikatakan masalah jika semua yang saya lalui itu telah diprogramkan oleh mereka. Tapi, bukan kerana sebab itu boneka ini bertemu dengan doktor."

Zafran mendengar tekun, tidak rasa mahu menyampuk atau menyoal.

"Boneka ini dah rosak. Dah tak macam dulu."

"Maksud awak?"

"Boneka ini sudah pandai membunuh tuan."

Dan kali ini, Zafran benar-benar terpempan.

"Awak... bunuh mereka?"

Cynthia tunduk, tapi bibirnya tersenyum. Zafran yang melihat reaksi Cynthia itu mula berasa tidak sedap hati.

"Cynthia! Saya tanya awak ni."

"Doktor... bukankah hidup ini lebih indah andai kita menikmati saja apa yang kita percaya, apa yang kita nampak? Tanpa perlu pedulikan orang lain."

Zafran menghela nafas berat. Dia tak faham apa yang Cynthia cuba sampaikan sebenarnya. Entah-entah, perempuan itu sememangnya sudah membunuh keluarganya sendiri. Kalau betul, ini sudah jadi kes berat, membabitkan pihak polis.

[1187words]

PEDIH & LUKAWhere stories live. Discover now