EPISOD 11

23 3 0
                                    

"Frank, bila-bila masa saja kedudukan kita terancam. Saya sendiri sudah tidak tau lagi macam mana cara mau urus ni semua..." Tuan Besar mengeluh sambil menatap luar tingkap pejabat peribadinya. Suasana bandaraya padat dengan lampu neon berwarna-warni seiring dengan fasa malam yang mendatar. Kesibukan orang awam jelas berkurangan pada ketika itu. Hanya dilakari dengan keadaan penghuni yang mahukan istirehat santai serta hiburan malam.

"Tuan jangan cakap begitu. Tuan mesti boleh. Saya yakin, tiada yang mustahil bagi Tuan." Frank, selaku pengawal keselamatan dan juga pengurus harian peribadi Tuan Besar kekal setia memberikan semangat.

Tuan Besar mendengus perlahan. Dia kemudian menatap Frank, yang muda enam tahun daripadanya. "Saya sudah berumur, Frank. Disember ni, umur saya masuk 60 tahun. Kau sudah bekerja lebih 30 tahun sama saya. Kau kenal siapa saya. Kiranya, kau ni saya sudah anggap macam adik kandung saya sendiri. Saya tiada harapan lain, Frank. Saya rasa, sudah sampai masa saya perlukan kau untuk ganti tempat saya."

Frank terkejut. Dia begitu faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Tuan Besar. "Tidak, Tuan! Tuan Besar jangan cakap begitu! Tuan kena yakin. Selama saya bekerja di bawah Tuan, saya nampak macam mana cara Tuan kasi selesai semua masalah. Biarpun dalam keadaan darurat, Tuan tetap dapat cari jalan keluar. Tuan jangan putus asa. Tuan Muda Ace masih boleh diharap," Frank bersungguh-sungguh meyakinkan Tuan Besar.

Tuan Besar tersengih sebaik saja nama Ace disebut. Seketika kemudian, dia berjalan menghampiri meja kerjanya lalu duduk menghadap Frank.

"Dulu... ya. Ace boleh diharap. Tapi kau sendiri nampak perkembangan konflik dalam keluarga, Frank. Kalau la Rosselle masih hidup... semua ni tiada. Kalau la Rosselle ada di sini sekarang... kehidupan pasti jauh lebih baik..." Tuan Besar mengeluh sambil bersandar.

Frank diam. Sepanjang dia berkhidmat dengan Tuan besar sedari usianya masih 20an lagi, Frank sememangnya begitu masak dengan kejadian yang telah terjadi dalam keluarga Tuan Besar Aryan atau gelarannya dalam kumpulan gangster, iaitu Old Bishido. Suatu ketika dahulu, gelaran tersebut mampu melemahkan lutut pesaing. Nama itu terkenal dengan kebijaksanaan dalam percaturan urusniaga serta keberanian untuk menghapuskan musuh.

"Mendiang Puan Besar Rosselle mesti bangga dengan pencapaian Tuan Besar sekarang," Frank cuba menaikkan semangat Tuan Besarnya itu.

"Frank, kalau ada apa-apa nanti, saya bagi kau hak untuk urus semua. Saya tiada siapa-siapa lagi untuk diharapkan. Ryker, cukup buat saya kecewa. Ace? Dia langsung tidak tau apa-apa. Belum matang. Tidak layak untuk pegang jawatan yang ada sekarang. Saya tau kau bijak, Frank. Kau la harapan saya sekarang."

"Tuan, saya..."

"Cukup untuk hari ini, Frank. Saya penat. Saya mau berehat."

Frank ternyata begitu serba-salah. Namun, kata-kata Tuan Besar itu merupakan syarat dia tidak mahu diganggu dan perlu ruang untuk bersendirian. Tiada pilihan, Frank memberi tunduk hormat sebelum keluar meninggalkan Tuan Besar melayan fikirannya sendiri.

♦ ♦ ♦

"Kau okey juga ka tinggal sini?" Angel terus menyoal sebaik saja mereka masuk ke dalam bilik tidur yang dikhaskan untuk Chloe.

Bilik itu pernah menjadi tempat persinggahan Angel suatu masa dahulu. Namun, Angel sentiasa mengekalkan ciri profesionalnya. Hal lama sudah lepas. Hanya tinggal memori.

"Okey juga la..." Chloe menjawab ringkas sambil mengambil tempat yang selesa di atas katil. Angel menghampiri sebuah rak buku. Jari-jemarinya mula menyentuh susunan buku yang tersusun rapi.

"Ada 'juga la' tu mesti tidak berapa la tu kan?" Angel tersenyum.

Chloe tersengih. Memang betul apa yang diucapkan oleh Angel itu. Chloe cukup terasa hati apabila bercakap dengan Ace. Dia tidak mungkin akan pernah mendapatkan hubungan yang baik dengan Ace.

SHE'S MINEWhere stories live. Discover now