Hujan renyai-renyai membasahi permukaan cermin kereta Qair. Rasa syukur mula dipanjatkan ke hadrat Illahi apabila hujan yang lebat pada awalnya mula beransur reda.
Anak mata Qair mula melinggas ke arah satu demi satu rumah yang berada di tepi jalan. Sudah lama dia tidak melalui kawasan perumahan di sini. Tambahan pula, jalan ini terletak agak jauh di hujung kampung. Tiada keperluan untuk dia melalui kawasan ini kecuali jika mahu bertemu dengan seseorang. Walaupun ini merupakan kawasan perkampungan, tanah di sini agak luas sehingga boleh memuatkan rumah yang agak banyak.
Haji Omar.
Salah seorang kenalannya yang boleh dikatakan mempunyai kawasan kebun sawit yang agak besar. Namun, kesemua kebun sawitnya telah pun dijual kepada orang lain untuk diuruskan. Apabila ditanya, jawapan yang diberi adalah kerana sudah penat dan tidak mampu menguruskan kebun sendiri lagi.
Berita yang tular kira-kira setahun yang lalu menggemparkan penduduk sekampung apabila dikatakan lelaki itu telah pun berkahwin dengan anak dara penghulu kampung. Kini, Haji Omar dan isteri mudanya sudah pun dikurniakan seorang cahaya mata.
Yang menghairankan Qair, bagaimanakah reaksi isteri pertama Haji Omar iaitu Mak Biha boleh kekal tenang meskipun berita mengenai lelakinya berkahwin dua telah pun sampai ke pendengarannya.
Qair menghembus keluhan. Sedikit sebanyak, benaknya diterpa rasa kesal apabila memikirkan kehidupan Haji Omar. Dalam masa yang sama, fikirannya mula terlayar pada sebaris nama yang meniti dari bibir ke bibir para guru di sekolah Idrus sejak kebelakangan ini.
Ustazah Mawar Naressa binti Haji Omar.
Guru pelatih yang mempunyai potensi menjadi seorang pendidik yang berkaliber. Mempunyai banyak buah fikiran untuk memajukan sekolah. Seorang gadis yang penuh budi bahasa dan tidak kekok menyuarakan idea dalam mesyuarat agung PIBG yang diadakan sebelum ini.
Pihak sekolah sejujurnya amat senang dengan cara pembawakan diri Ustazah Mawar. Dan dia sebagai seorang YDP PIBG juga tidak terkecuali untuk berasa gembira menyaksikan hal itu.
Oleh itu, pada malam ini dia sanggup turun padang untuk mencari waris Ustazah Mawar. Mahu menyelamatkan nyawa seorang pendidik yang telah banyak berjasa kepada anak bangsa di kampungnya.
Tatkala melihat sebuah rumah batu yang bercat warna hijau muda di sebelah kirinya, Qair mula membelok masuk ke simpang rumah tersebut. Meskipun sudah lama tidak bertandang ke sini, dia masih ingat pada pokok bunga kertas yang tumbuh secara berjejeran di kawasan atap rumah itu.
Mematikan enjin, Qair membawa tubuh membolosi keluar dari perut kereta. Setelah pintu kereta dikatup rapat, langkah kaki dibawa berdiri di kawasan hadapan rumah sederhana besar itu. Lampu yang terpasang serta bunyi televisyen yang kedengaran dari dalam rumah jelas menunjukkan bahawa penghuni rumah tersebut masih belum hanyut ke alam mimpi.
"Assalamualaikum." Salam mula diberi. Telinga mula menegak untuk menangkap bunyi suara yang menyahut salamnya.
Jeda. Salamnya masih belum bersambut.
"Assalamualaikum." Sekali lagi salam diberi. Sedikit kuat daripada tadi. Bimbang jika suaranya tidak mampu menerobos pendengaran tuan rumah disebabkan bunyi televisyen yang dipasang agak kuat itu.
"Assala..."
Bunyi selak pintu yang ditarik secara kuat mematikan ucapan salam yang mahu tergelincir dari mulut Qair. Berdiri statik di hadapan beranda rumah itu, anak matanya mula mengunci figura seorang lelaki yang hanya berkain pelikat sahaja.
"Kau buta ke apa hah? Kau tak tahu ke aku dengan bini aku tengah syok dekat dalam? Kacau daun betullah! Time hujan-hujan ni juga kau datang kacau." Azhar yang sewaktu itu sibuk mengemaskan ikatan kain pelikatnya yang mahu terlondeh terus sahaja menghamburkan kemarahan. Terjegil anak matanya memandang raut wajah Qair yang berada di luar rumah.
YOU ARE READING
QAED (OG)
RomanceTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...