BAB 29 : Mawar Milik Abang

920 56 9
                                    

SUBUH-subuh lagi Mawar sudah bergerak ke luar rumah. Mahu membuat sedikit regangan. Maklumlah, hampir semalaman juga dia bersengkang mata siapkan soalan peperiksaan. Dalam masa yang sama, Qaed juga menemani dirinya. Sudah berkali-kali dia menolak dan meminta suaminya tidur dahulu, tetapi Qaed masih enggan melakukan sedemikian. Sudahnya, mereka suami isteri terlelap dalam keadaan menyiarap di atas katil dengan laptop yang terbuka.

Mujurlah mereka sempat solat Subuh berjemaah. Kalau tidak, memang kena qada' jawabnya.

"Hai Mawar, pagi-pagi dah bangun? Abang Qaed mana?" sapaan daripada Qair membuatkan lamunan Mawar kini terbang pergi. Wajah yang berkeringat dengan peluh menandakan bahawa lelaki itu baru sahaja balik daripada berjoging.

"Ada tu dekat dalam bilik lagi. Katanya nak tidur lagi tu," cerita Mawar seraya tersenyum kecil.

"Haih, tak pernah-pernah Abang Qaed tu tidur lepas Subuh. Penat sangat agaknya tu malam semalam sebab tolong repair motor solar Idrus. Hah, cakap pasal Idrus... itu dia."

Dari jauh, wajah ketat Idrus kini menampan penglihatan Mawar. Entah apa yang tidak kena dengan anak saudaranya itu. Sejak semalam, senyum pun tidak mahu. Walaupun Idrus tidak suka dirinya mengajar di sekolah, apa salahnya jika remaja lelaki itu cuba untuk menghormati dirinya sebagai isteri kepada bapa saudaranya. Sedikit sebanyak, sikap Idrus telah berjaya membuatkan Mawar berkecil hati.

"Ni apa pagi-pagi muka macam asam kecut ni, hah? Tadi elok je bersembang dengan babah. Balik je, terus masam. Gaduh dengan girlfriend ke apa?" usik Qair apabila melihat wajah anak bujangnya cemberut sahaja.

Membiarkan soalan bapanya berlalu begitu sahaja, laju sahaja Idrus meloncat turun dari motor solar kepunyaannya. Sedikit pun anak matanya tidak memandang Mawar yang berada di hadapannya.

"Eh budak bertuah ni! Kan aunty kamu duduk dekat situ. Lagi sikit nak kena langgar." Hampir gugur jantung Qair dibuatnya apabila Idrus selamba badak sahaja menolak motor ke dalam garaj tanpa melihat dahulu kedudukan Mawar di situ.

Sama seperti Qair, jantung Mawar juga mahu gugur disebabkan kelakukan tidak beradab Idrus. Mujurlah tubuhnya kecil. Sipi-sipi sahaja motor Idrus mahu melanggar dirinya sebentar tadi.

"Tak ada apalah tu, Abang Qair. Mawar okey je ni." Seulas senyum terbit di bibir Mawar buat tatapan Qair. Tidak mahu lelaki itu terus-menerus memarahi Idrus.

Qair sudah cekak pinggang. Kecil besar kecil besar sahaja dia melihat Idrus pada ketika ini. Tanpa ada sedikit pun rasa bersalah, menonong sahaja Idrus masuk ke dalam rumah tanpa sebarang pamitan atau kata maaf.

"Maafkan Idrus ya, Mawar. Abang pun tak tahu kenapa dengan dia tu. Sejak semalam lagi, bad mood je," luah Qair seraya tergeleng-geleng perlahan. Pening dirinya memikirkan sikap anak lelakinya itu sejak kebelakangan ini.

"Tak apa, Abang Qair. Mawar minta diri masuk dalam dulu ya. Nak kejutkan Abang Qaed. Matahari dah naik dah ni."

"Hah, sila-sila. Nanti jangan lupa jemput sarapan sekali. Tadi abang ada belikan nasi lemak dengan roti canai."

"Baik, Abang Qair. Insya-Allah." Menunduk sedikit, Mawar segera berpamitan pergi dari situ. Sebaik sahaja kakinya mencecah lantai rumah, automatik bunyi televisyen yang kuat kini menampan pendengarannya.

Duduk di atas sofa, selamba sahaja Idrus menyilang kaki sambil menonton televisyen. Wajah usah diperkatakan. Ketat!

Mawar sudah ketap bibir. Hatinya berdongkol geram melihat tingkah Idrus yang seperti tiada langsung rasa bersalah. Bukan Idrus tidak tahu yang dia perlu menggunakan laluan itu untuk memanjat tangga naik ke tingkat atas. Langsung tiada ruang diberikan kepada Mawar untuk melalui jalan tersebut.

QAED (OG)Where stories live. Discover now