Cahaya mentari memancar lemah mengucup wajah cengkung Mawar. Mini telekung berkibar lembut dicuit oleh sang bayu yang manja mahu mengusik. Daun nyiur melambai halus. Seakan menangisi perpisahan Qaed dan Mawar. Jika semesta alam mahukan pengakhiran yang indah bagi Mawar, namun itu semua ialah kerja Yang Kuasa.
Mungkin, bagi manusia ujian itu agak memenatkan dan melelahkan. Tetapi di sisi Tuhan, ujian itu merupakan hadiah terindah bagi seorang Tuhan kepada hamba-Nya. Melorongkan jalan syurga kepada mereka agar mudah digapai. Berkat kesabaran itu, pasti ada manis pada akhirnya nanti.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke persimpangan rumah, hati Mawar mula digasak dengan rasa cemas. Entah mengapa, ada bau-bau perkara tidak enak akan berlaku di hadapannya sebentar lagi. Namun, dia gagahkan diri untuk melafazkan selawat di celah sukma. Minta dipermudahkan segala urusan dia pada hari ini.
"Assalamualaikum mak." Ucapan salam mula meluncur dari bibir. Kedua belah tangan mula digenggam sesama sendiri.
"Assalamu..."
Buk!
"Berhambus kau dari rumah aku! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Dah kemaruk sangat kan nak berlaki, pergi kau kahwin sana. Daripada kau calitkan lumpur dekat muka aku nanti, baik kau blah dari rumah aku ni. Lepas ni kalau kau nak mampus ke, nak beranak ke, merempat ke atau bercerai, lantak kau! Aku dah tak kuasa nak bela anak yang tak mengenang budi macam kau ni."
Belum sempat ucapan salam habis diberi, Mawar terkujat apabila tiba-tiba sahaja dia dibaling oleh barang-barang kepunyaannya oleh Mak Biha. Bukan itu sahaja, habis segala sumpah-seranah menghunjam keras kokleanya. Seakan dirinya begitu jijik dan hina di mata Mak Biha.
Mengagaukan tangan ke lantai, satu per satu barang yang terkulai layu dicapai dengan hati yang galau. Sikit sahaja lagi cecair bening mahu jatuh gugur ke pipi. Namun, dia masih mampu bertahan kerana sudah menjangkaukan bahawa perkara ini akan terjadi suatu hari nanti bersaksikan oleh mata dan kepalanya sendiri.
Usai mengambil kesemua barangnya, Mawar mula berdiri tegak di hadapan pintu rumah. Wajah emaknya yang masam tanpa sebarang calitan warna dipanah dengan sepasang mata yang berpasir.
'Allah, adakah ini pengakhiranku menjadi seorang anak kepada emak? Allah, adakah peluangku untuk menggapai syurga daripada seorang ibu berakhir di sini sahaja?' Hati Mawar mula melontarkan soalan dalam sepi.
"Kalau macam tu yang mak harapkan, Mawar nak minta maaf kepada emak dari hujung rambut ke hujung kaki atas segala dosa Mawar kepada emak. Dari Mawar dilahirkan ke dunia sehingga ke hari ini, Mawar tahu yang Mawar banyak menyusahkan emak. Mawar tahu, emak lebih sayangkan along daripada Mawar..." Rendah suara Mawar mengalun kata.
"Maaf andai emak tidak reda atas kelahiran Mawar ke dunia ni. Tapi emak jangan risau, selepas ni Mawar takkan susahkan emak lagi. Walau Mawar terpaksa merempat pun, Mawar takkan susahkan emak. Cuma. Mawar minta mak doakan Mawar dapat cium bau syurga suatu hari nanti. Itu je Mawar minta..."
"Aku haramkan kau dapat syurga dari aku! Jangan fikir kau dah bantu aku buat kerja rumah dan masakkan untuk aku kau layak dapat syurga tu. Betul, memang aku sayangkan Jasmin lebih dari kau! Kau tahu tak sebab apa?" soal Mak Biha keras.
Bibir diketap menahan luka di hati tatkala bilah kata-kata emaknya menusuk ke jantung. Namun, Mawar paksa bibirnya melukis senyum kecil. Namun, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sukarnya dia mengoyakkan senyum ini di hadapan Mak Biha sedangkan hatinya sudah hancur luluh.
"... sebab aku tak pernah mengharapkan kelahiran kau ke dunia ni! Dalam otak aku, tak pernah terbayang yang aku ada anak dari hasil hubungan aku dan Khairi. Aku cintakan Khairi, sebab tu aku lagi pilih dia dari bapak kau! Kau tahu tak, sebab Khairi tahu dalam rahim aku wujudnya kau, sebab tu dia tinggalkan aku! Tinggalkan aku tahu tak!"
YOU ARE READING
QAED (OG)
RomanceTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...