SEJAK tadi, bayangan pekerja Indonesia dan Bangladesh yang berkeringat mengangkut buah kelapa sawit yang besar itu menjadi penghias bingkai pandangan Qaed. Dalam diam, Qaed terfikir adakah dia agak kuat untuk mengangkut buah sawit yang agak besar itu dengan menggunakan seluruh kekuatan tubuhnya. Sungguh dia tidak pernah cuba-cuba untuk mengangkut buah itu walaupun adiknya acap kali membawanya memantau di kawasan kebun sawit ini.
Selama ini, dia cuma pernah bersenam bagai orang gila di gym sahaja. Membuat aktiviti push ups, squats, dan plank. Lagi-lagi apabila fikirannya menjadi kusut. Bersenam membuatkan stresnya berkurangan dan dia mampu berfikir dengan baik buat seketika.
Sebab itulah dia memiliki otot tubuh yang cantik dan berketak. Cukuplah dia menggayakan baju yang mengikut bentuk tubuh, berkali-kali mata wanita akan mencuri pandang ke arahnya. Itu belum termasuk di gym, ada juga beberapa wanita yang cuba untuk meminta nombor telefonnya. Malangnya, tidak semudah itu dia akan memberi ruang kepada wanita untuk mendekatinya.
Bukan kerana dia setia pada isterinya, tetapi ada satu sebab tersembunyi mengapa dia melakukan itu. Sebab yang dia seorang sahaja tahu.
"Amboi kau bang, termenung jauh nampak!" sapa Qair. Keringat halus yang berkampung di wajahnya yang berkumis rapi itu diseka lembut. Safety helmet yang sejak tadi tersarung di kepalanya mula dilucutkan.
Bibir Qaed mula mengukir garis halus. Sejak kebelakangan ini dia selalu sahaja ditangkap mengelamun oleh adik lelakinya itu.
"Kenapa ni bang, hurm? Aku tengok sejak kebelakangan ni kau banyak termenung je. Macam laki mati bini. Kalau kau ada masalah, share lah. Mana tahu aku boleh bantu..." Qair sudah pun mengambil tempat di sebelah abangnya. Duduk berjuntai di belakang hilux. Mata melinggas memerhatikan kelibat pekerja-pekerjanya yang berhempas-pulas bekerja sejak tadi.
Nafas dikeluh berat. Qaed tahu, lambat-laun juga adiknya akan menyoal soal ini kepada dirinya. "Masalah aku banyak, Qair. Cuma, aku tak naklah bebankan fikiran kau dengan masalah aku. Cukuplah aku duduk makan tidur rumah kau sejak seminggu ni." Perlahan suara Qaed bersuara.
Tangan Qair mula memaut bahu bidang abangnya itu. "Kau abang aku. Kaulah satu-satunya adik-beradik yang aku ada. Sejak ma dan pa tinggalkan kita, engkau je aku ada, bang." Wajah bersih Qaed mula menjadi penghias mata Qair.
Buat kesekian kalinya, bibir Qaed melorek sejuring senyuman. Namun, senyumannya itu tidak sampai ke mata. Seakan senyum yang mahu menghias suasana.
"Maria. Kau tahu kan isteri aku tu? Aku dapat tahu dia keluar dengan lelaki lain belakang aku. Aku malas nak tanya banyak dengan dia. Nanti dia ungkit semua. Termasuk soal rumah tu. Aku tahu tu rumah papa dia bagi pada kami sebagai hadiah kahwin. Tapi aku tak tahan dia sibuk ungkit-ungkit benda tu bila gaduh. Aku ni, macam sampah je dalam mata dia tu," luah Qaed.
Seketika, wajah wanita yang berkacukan Inggeris Melayu itu mula menjamah ruang mata. Dia terpaksa berhenti pengajian dan berkahwin dengan wanita itu. Walaupun dia tidak mempunyai wang, Marialah yang menanggung semua perbelanjaan dia. Dari pakaian dan semuanya. Sehinggakan, dia sanggup membuang ibu bapanya sendiri. Tidak memberi khabar waima memberitahu tentang perkahwinannya kepada kedua orang tuanya.
Qair hanya membisu. Dia mahu memberi ruang kepada abangnya itu meluahkan segalanya.
Maria Mariana Tan Sri Robert. Siapa tidak kenal wanita itu. Ahli perniagaan kosmetik terkenal di serata dunia. Namun dia tidak menyangka abangnya Qaed telah berjaya meragut hati wanita bekerjaya itu. Tup tup, dia menerima berita abangnya telah berkahwin di luar negara.
Tipulah jika Qair tidak marahkan abangnya apabila berita itu sampai ke telinganya. Habis harta dan kebun ayahnya dijual untuk menghantar Qaed belajar di luar negara, akhirnya Qaed bukan membawa segulung ijazah, tetapi seorang isteri!
YOU ARE READING
QAED (OG)
RomanceTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...