SEJAK tadi bibir Mawar tidak berhenti menguntumkan seulas senyuman. Dari detik kereta yang dipandu Qaed keluar dari pekarangan rumah sehinggalah kini sudah meluncur tenang di atas lebuh raya.
Hatinya terasa gembira bukan kepalang apabila Qaed memaklumkan yang mereka berdua akan berjalan-jalan di Cameron Highland pada hari ini. Walaupun ini bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke sana, rasa gembiranya tu lain macam kali ni.
"Amboi... senyum-senyum je isteri abang ni. Suka sangat ya dapat pergi Cameron?" usik Qaed.
"Mestilah suka! Mawar suka makan buah strawberi dekat sana sebab manis. Kalau makan dekat tempat lain, mesti masam," cerita Mawar penuh teruja. Duduk bersila di atas seat kereta, anak matanya tidak lepas membaca satu demi satu papan tanda yang berada di lebuh raya.
Tanpa dapat ditahan, Qaed tertawa halus. Sungguh sikap Mawar tampak comel dan keanakan di matanya.
"Ini kali pertama ke Mawar pergi Cameron? Sebelum ni pernah pergi tak?" Hati Qaed tergaru ingin tahu.
Sandarkan tubuh ke kusyen, nafas dihela panjang. Kalih pandang ke Qaed yang berada di sebelah, seulas senyum halus kini tersurih di bibir delima Mawar. Tanpa dapat dikawal, jari-jemari runcing Mawar yang terletak di atas riba kini bercantum erat.
"Sebenarnya, ini kali kedua Mawar dapat pergi Cameron. Sebelum ni, abah pernah bawa kami sekeluarga jalan-jalan. Tapi itulah, sekejap je sebab mak tiba-tiba mengamuk nak balik..." Diksi Mawar terhenti. Walaupun kejadian itu sudah lama berlalu, rasa sakitnya masih terasa seperti semalam.
"Kenapa pula mak mengamuk? Ada apa-apa yang jadi ke?"
Tanpa dapat dikawal, rasa hangat kini beransur menyerbu kolam mata Mawar. Jantung disentak rasa sebu. Rasa sedih mampir memeluk jiwa.
"Waktu tu, mak dapat tahu tentang berita abah kena tangkap basah dengan Suraya, iaitu kawan sekelas Mawar dulu. Kecoh satu kampung kes tu. Mawar sedih sebab waktu tu semua orang salahkan abah atas apa yang jadi sedangkan dia orang tak tahu, abah sendiri yang selamatkan Suraya sewaktu dia dirogol waktu tu. Orang kampung cuma tahu tunding jari dan tambah cerita. Tak ada satu pun yang jumpa dan tanya abah sendiri tentang kesahihan berita tu."
Sesekali anak mata Qaed mengerling ke wajah Mawar. Dari ekor mata, dia perasan raut wajah kudus itu sudah berubah sugul.
"Mak mengamuk macam orang gila. Waktu tu, Mawar baru je lepas petik strawberi masuk dalam mulut. Sebenarnya, itu kali pertama Mawar dapat rasa buah tu. Sebelum ni ramai kawan-kawan cakap strawberi sedap. Tapi itulah... dapat rasa sebiji tu je." Di akhir bicara, seulas senyum kini terlakar di bibir Mawar.
Tanpa kata, jari-jemari Mawar yang berada di atas riba kini diraih oleh Qaed lalu dikucup lembut.
Tindakan Qaed yang tiba-tiba itu berjaya membibitkan rasa debar di hatinya. Tidak tahu mahu memberi respon apa, sudahnya Mawar hanya tertunduk merenung riba sendiri.
"Tak apa. Nanti dah sampai sana, abang akan belikan Mawar banyak buah strawberi. Bukan buah strawberi je, satu ladang strawberi tu pun abang boleh belikan kalau Mawar nak."
Mendengar itu, anak mata Mawar sudah membuntang luas. Tidak dapat membayangkan jika Qaed benar-benar memaksudkannya. Suaminya itu bukan boleh dibawa main.
"Walaupun Mawar tahu abang mampu buat semua tu... tapi Mawar nak abang tahu yang dapat petik dan makan stawberi pun dah cukup buat Mawar happy. Abang tak perlu susah-susah..." ucap Mawar berhati-hati. Risau andai bicaranya bakal mengguris hati Qaed. Dia bukan tidak hargai apa yang Qaed mahu lakukan kepadanya. Cuma, dia tidak mahu suaminya itu bersusah-payah melakukan semua itu.
YOU ARE READING
QAED (OG)
RomanceTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...