Sorry publish balik. Ada scene lupa nak letak. Haha. Btw, feel free untuk drop komen. Saya suka baca!
"Ya Allah Zafran. Anak aku... Anak aku dah tak ada...." Duduk di ruangan menunggu di hospital, Jasmin menangis teresak-esak sambil mencium baju terakhir yang tersarung pada tubuh kecil Zafran. Jika tidak menangis, pasti dia akan termenung dan bercakap seorang diri.
Mak Biha yang menunggu di sisi Jasmin sejak tadi, mula berasa sebal. Selebihnya, dia lebih sibuk membalas mesej rakan-rakannya yang berada dalam kumpulan sembang Whatsaap persatuannya. Masing-masing menanyakan bila dia mahu melangsaikan hutang kutu emasnya yang sudah tertunggak lebih 3 bulan itu.
Jika sebelum ini, dia mampu meminta duit Mawar untuk membayar duit kutu emas. Sekarang ini, dia buntu mencari cara bagaimana mahu mendapatkan duit untuk menjelaskan semua hutang-hutang itu. Kesemua duit simpanannya selama ini sudah pun dihabiskan untuk berjoli dan membelanja rakan-rakannya.
Mak Biha.
Semuanya mahu kelihatan sempurna dan lebih daripada orang lain. Sungguh pantang apabila melihat orang mempunyai barang yang lebih bagus daripada dia. Walaupun tidak berduit, dia rela meminta duit Mawar untuk membeli emas baharu dan berbelanja rakan-rakannya makan di restoran mewah. Sungguh, tindakannya itu tidak mengukur baju di badan sendiri.
"Mak... anak Jasmin dah meninggal mak... Mak..." Jasmin mengogoi dengan hebat. Tubuh terhinggut-hinggut menahan esakan yang membedil atma. Melentokkan kepala ke bahu emaknya, tangisannya semakin menjadi-jadi.
"Eh, kau senyap sikit boleh tak hah? Kau ni kan, anak kau dah mati tinggal tanam je lah lepas ni. Yang kau nak menangis macam orang nak mati ni, dah kenapa? Bukan ke kau kata budak tu menyusahkan kau? Aku rasa baik budak tu mati daripada ada emak tak guna macam kau," sembur Mak Biha tanpa bertapis.
Kata-kata yang meluncur dari bibir Mak Biha membuatkan Jasmin tertampar hebat. Tangisannya yang berlagu sejak tadi, automatik terhenti.
'Kurang ajar orang tua tak sedar diri ni. Anak aku dah mati, boleh pula dia cakap macam tu dengan aku. Dia tu waktu muda menjalang dengan jantan lain, itulah dapat Si Mawar tak guna tu. Ini semua, salah Mawar. Kalau dia jaga anak aku baik-baik, tak jadi macam ni lah!' bentak hati Jasmin dalam kesepian. Mengetap bibir, jari-jemari Jasmin mula mencengkam kuat fabrik baju arwah anaknya. Rasa amarah kian hebat berpusar di benaknya pada saat ini.
'Tak apa, mak. Tak apa. Mungkin hari ini, hari mak. Esok lusa, Jasmin akan balas balik apa yang buat dekat Jasmin.' Mengukir senyum sinis dalam diam, pelbagai rancangan mula teratur kemas dalam minda Jasmin.
"NAK keluar tak?"
Soalan yang melantun dari sisi kanan telinga Mawar membuatkan kepalanya terus terpanggung kepada empunya suara. Kini, fitur tegap Qaed yang segak berbaju kemeja putih yang disinsing ke siku mula menjadi penghias bingkai pandangan. Perlahan-lahan, anak mata Mawar mula jatuh pada tangan berurat yang berlabuh pada sebuah kerusi roda di sisi katil.
Memandang wajah Qaed dan kerusi roda itu silih berganti, persoalan mula dihantar kepada Qaed. Apakah maksud sebenar kepada soalan yang ditujukan kepadanya tadi?
Qaed tersenyum nipis. Menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal, kerusi roda yang separa terlipat itu, kini dibuka luas. Menjemput wanita di hadapannya itu untuk melabuhkan duduk di situ.
Masalahnya sekarang, sudikah Mawar menerima ajakannya untuk bersiar-siar di kawasan hospital pada pagi ini? Sudahlah dia dan wanita itu tidak mempunyai apa-apa pertalian darah.
Kenal antara satu sama lain?
Entahlah. Qaed tidak pasti adakah pertemuan antara mereka yang berlaku secara kebetulan itu mampu mengiyakan kenyataan itu. Terasa janggal pun ada.
YOU ARE READING
QAED (OG)
RomanceTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...