"Kalau kau mawar, izinkan aku jadi durinya."
KOPI yang berada di dalam cangkir, disisip penuh tenang. Pada pagi yang hening itu, sang bayu hadir mengucup lembut segenap wajah yang dihiasi garisan-garisan halus itu.
Pandangan dilinggaskan lagi, Kini kearah burung-burung yang berkicauan di ranting pohon. Sesekali mata dikalihkan kepada figura berbaju kurung Kedah itu, sibuk menghalakan hos paip ke arah tanaman-tanaman yang menghijau di halaman rumah.
Qaed sudah pun meletakkan cangkir yang berbaki suku dari cawan itu ke atas piring semula. Kedua belah tangan sudah selamat dibawa ke belakang kepala. Selesa menjadi alas di situ.
"Hai uncle, pagi-pagi dah termenung jauh nampak? Teringatkan kekasih hati ke?" sapa remaja lelaki yang sudah siap mengenakan jogger pants dan baju T putih di tubuh kekarnya. Meskipun baru sahaja berusia 17 tahun, pertumbuhan tubuhnya meningkat dengan agak pesat. Dan disebabkan wajahnya yang agak matang serta pertumbuhannya yang cepat itu, dia seringkali menipu orang ramai mengenai angka umurnya. Baginya, dia tidak suka jika orang melayan dirinya seperti 'budak-budak'.
Tawa halus mula meluncur dari ulas bibir Qaed. Dia terhibur dengan soalan yang dilontarkan oleh anak saudaranya itu.
"Tak ada maknanya..." getus Qaed. Cangkir yang sudah berbaki suku daripada cawan itu sudah diletakkan semula ke atas piring.
Mak Esah yang sewaktu itu baru sahaja selesai menyiram pokok bunga sudah tersenyum nipis. Sedikit sebanyak dia tahu kisah rumah tangga abang majikannya itu. Qaed pada waktu ini sedang menghadapi masalah krisis rumah tangga. Bila-bila masa sahaja ikatan perkahwinannya akan terlerai. Cuma buat masa kini, masing-masing selesa mendiamkan diri dan sibuk menguruskan hal masing-masing.
Bibir Qaed sudah melorek senyum. Senyum yang tidak sampai ke mata. Sedaya-upaya dia cuba menjemput ketenangan ke dalam jiwa emasnya. Namun, dia tetap gagal. Walaupun sudah membawa diri ke rumah adiknya yang terletak di kawasan luar bandar, fikirannya masih sibuk pada kesibukan kota metropolitan di ceruk bandar itu. Tambahan lagi dengan hal isterinya yang ingin menuntut cerai.
"Kamu esok ada test kan, dah study?" Keserabutan yang berselirat di otak cuba diredakan seketika. Kini, fokusnya ditalakan kepada Idrus yang sibuk menggesek tab di hadapannya.
"Yes, uncle. Alah kacang je! Subjek agama je pon! " balas Idrus bersahaja. Apabila menyebut subjek Tajwid, automatik fikirannya kini terlayar pada wajah ustazah barunya itu. Wajah memutih, pipi kemerahan bak buah jambu masak ranum, bibir tipis berwarna merah delima, alis terukir cantik bagai dicelak. Disebabkan dia selalu 'membuat onar' dengan ustazah barunya itu, dia tidak tahu bagaimana raut wajah itu akan kelihatan tatkala tersenyum.
Entah-entah, lagi buruk kot? Seketika, bibir Idrus mula menyimpan senyum.
"Subjek agama pun, itulah penting Idrus. Kita belajar tu bukan untuk lulus exam di dunia sahaja, tetapi di akhirat sana juga..." Nasihat Qaed. Rasa segan mula terbit dalam dirinya. Menasihati orang perkara yang baik-baik. Sedangkan dirinya...
Dia tiada ulasan untuk itu. Namun satu yang pasti, dia tidak mahu anak saudaranya itu berbuat perkara yang tidak baik seperti dirinya. Walaupun dirinya tidak sebaik mana, tetapi apabila memikirkan tanggungjawabnya untuk memberi nasihat, rasa yang menyerang di celahan hati itu diabaikan sahaja.
Hati Idrus tertusuk perit. Kata-kata bapa saudaranya itu umpama tombak yang dilontarkan tepat-tepat mengenai pusat jantungnya. Sudahnya, dia hanya mampu tersengih malu.
"Amboi pagi-pagi bukan main mesra berdua ni. Rancaknya berbual," sapa Zaleha ramah. Jemput-jemput bilis yang berada di atas dulang dicapai lalu diletakkan di hadapan anak lelaki dan abang iparnya itu.
YOU ARE READING
QAED (OG)
RomanceTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...