"TUAN Qaed bin Tuan Ibrahim?"
"Ya, saya."
"Aku nikahkan kau dengan Mawar Naressa binti Abdullah yang berwakil walikan aku, dengan emas kahwinnya RM 22.50 tunai,"
"Aku terima nikahnya Mawar Naressa binti Abdullah dengan emas kahwinnya RM 22.50 tunai."
"Sah?"
"Sah."
"Alhamdulillah."
Dengan sekali lafaz, kini Mawar telah pun menjadi isteri Tuan Qaed Ibrahim. Mengizinkan ucapan keramat itu dilafazkan ke atas dirinya, tahulah Mawar kini syurganya telah pun beralih kepada lelaki yang berbaju melayu putih di hadapan sana itu.
Puan Zaleha dan Suraya iaitu isteri muda bapanya menggosok lembut bahunya di sisi. Melihat itu, senyum kecil cuba diselitkan di ulas bibir buat tatapan dua wanita itu.
Disebabkan perkahwinan ini dibuat secara rahsia, oleh itu hanya beberapa orang sahaja yang tahu mengenai pernikahannya dan Qaed. Dalam masa sama, Mawar mahu menjaga maruah Qaed sebagai salah seorang usahawan kosmetik yang terkenal di Malaysia. Tidak mahu berita perkahwinannya dihidu oleh pihak media dan orang kampungnya. Sebenarnya, itu juga adalah salah satu syarat yang Mawar letakkan kepada Qaed sebelum bersetuju menerima lamaran lelaki itu.
Semuanya berlaku terlalu pantas. Namun, setelah membuat solat Istikharah dan berdoa selama seminggu, hatinya meyakinkan bahawa mengahwini Qaed merupakan keputusan yang ditentukan oleh Allah SWT. Walaupun Mawar sedar dia bukanlah isteri pertama Qaed, dia tetap berjanji kepada diri untuk menjadi isteri yang baik kepada Qaed kerana Allah SWT.
Oleh kerana dia tidak tahu di mana keberadaan bapa kandungnya pada ketika ini, dia terpaksa menggunakan khidmat wali hakim untuk menjadi wali pernikahannya setelah merujuk kepada mahkamah dan juga pihak undang-undang keluarga Islam.
Walaupun tiada kehadiran Mak Biha dan Jasmin di sisi, sedikit sebanyak kesedihan Mawar terubat apabila melihat raut wajah ayahnya yang sedang memeluk tubuh Qaed di hadapan sana.
Sejak dari detik Qaed melamarnya itu, Mawar telah pun menyerahkan segala urusannya untuk diaturkan oleh Allah SWT. Jika Allah menggerakkan hati dia ke arah itu, maka dia akan ambil jalan itu.
Biasanya, pengantin wanita akan menangis gembira apabila ikatan mula dimaterai. Tetapi kini, setitis air mata pun tidak terbit dari ruas mata Mawar. Cukuplah seminggu lalu dia bermandikan air mata. Kini, dia ingin membuka lembaran baharu dalam hidupnya. Tidak akan menangis untuk mempamerkan sisinya yang lemah lagi.
Setelah selesai, dia mula bangkit berhati-hati dari duduknya. Kini, langkahnya diiring oleh Puan Zaleha untuk ke hadapan. Selepas ini, ucapan taklik akan diadakan.
Sebaik sahaja melabuhkan duduk di hadapan Qaed, automatik anak matanya disambut oleh sepasang mata hitam lelaki itu. Tiada senyuman di bibir Qaed mahupun dia. Jika orang lain yang melihat keadaan mereka pada saat ini, pasti mereka akan beranggapan bahawa mereka berdua dipaksa untuk berkahwin.
Melihat raut wajah Mawar, hati Qaed menjadi tenang setenang-tenangnya. Entah mengapa, terdapat pancaran seri pada raut wajah dirias nipis itu. Tambahan, busana baju kurung moden yang ditaburi lace putih menambahkan keayuan Mawar di matanya.
Dengan lafaz basmalllah, Qaed mula meletakkan telapak tangannya ke kepala Mawar dengan berhati-hati. Menjujut nafas dalam-dalam, dia mahu mengusir rasa debar yang menyelimuti halus dadanya pada saat ini.
Entah mengapa, perkahwinan kali ini membuatkan dia berasa sebegini. Perkahwinannya sebelum ini bersama Maria, tidak pula begitu. Seakan dia seorang lelaki yang baru sahaja ingin melalui pengalaman berkahwin.
YOU ARE READING
QAED (OG)
RomanceTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...