BAB 11 : Airmata Seorang Anak

1K 91 8
                                    

QAED duduk bertinggung di tepi pusara lama itu. Seketika, tangannya mula mencabut rumput-rumput kecil yang melata di atas tanah kubur itu. Setelah selesai, batu nisan yang telah pudar warnanya itu diusap lembut.

"Ma dan pa, Qaed datang ni. Qaed datang nak jenguk ma dan pa." Suara Qaed mula bergetar halus. Apabila nama panggilan dua insan kesayangannya itu meniti dari bibir, automatik hatinya akan menjadi sebak. Hatinya semakin ditusuk perit apabila memikirkan segala jasa kedua orang tuanya itu masih belum dibalas.

"Qaed tahu yang Qaed takkan dapat merasai syurga seorang ma. Dan Qaed juga tahu, yang Qaed takkan dipandang tinggi oleh Tuhan sebab Qaed dah banyak lukakan hati pa. Dahlah Qaed buatkan pa dan ma susah. Jual tanah, jual kebun semua semata nak hantar Qaed pergi belajar, tapi Qaed bukan bawa segulung ijazah macam Qaed janjikan, tapi bawa bekas isteri orang ke Malaysia." Juring mata Qaed mula basah. Namun, dia tidak berniat untuk menghapuskan cecair jernih itu. Pada saat ini, dia mahu meluahkan segalanya.

"Allah terima tak Qaed bila Qaed dah mati nanti? Bumi ni nak terima ke jasad anak derhaka macam Qaed ni, ma dan pa? Bukan tu je, Qaed pun dah gagal jadi seorang suami..." Perlahan suara Qaed menutur kata. Apabila nama isteri itu menjadi diksinya, automatik wajah Maria menyapa layar fikirannya.

"Qaed tahu Qaed gagal dalam segalanya. Semua ni sebab, dosa-dosa Qaed yang lalu. Allah nak balas atas semua dosa Qaed buat. Sikit pun Qaed tak mengeluh. Kalau Allah nak tarik nyawa Qaed sekali pun, Qaed sanggup. Kadang kan ma dan pa, Qaed rasa tak layak bernafas dan berjalan atas muka bumi Allah ni lagi. Qaed rasa terlalu hina..." Terisak-isak Qaed menghamburkan tangis jantannya. Setelah sekian lama dia tidak meluahkan isi hati, oleh itu pada masa ini dia mahu muntahkan segalanya. Biarlah orang kata dia gila kerana bercakap dan menangis seorang diri di tanah perkuburan ni, dia sudah tidak kisah akan itu.

"Tuan..." Suara halus seseorang mula menjamah hujung telinga. Mengenangkan itu, dengan pantas Qaed menghapuskan sisa airmatanya.

Apabila Qaed menengadahkan pandangan, automatik raut wajah putih susu gadis muda itu menyapa ruang matanya. Sapu tangan yang elok terlipat sudah pun tersua ke hadapan wajahnya.

"Saya rasa tuan perlukan sapu tangan ni. Saya janji saya akan lupakan apa yang saya dengar tadi. Tuan sambunglah ya, saya minta diri dulu," ucap Mawar bersungguh-sungguh.

Dia sewaktu itu baru sahaja menghabiskan bacaan Yassin di pusara tok wan. Tiba-tiba sahaja bunyi esakan seseorang menerobos gegendang telinganya. Oleh itu, dia cuba mencari dari arah mana esakan itu kedengaran. Apabila melihat figura lelaki yang berbaju melayu biru muda itu sedang elok bertinggung di sisi kubur, dia terus sahaja menghampiri lalu sapu tangan miliknya yang selalu dibawa bersama dihulur kepada lelaki itu. Apabila wajah Qaed yang agak matang menjamah ruang mata serta gaya lelaki itu seperti bukan orang biasa-biasa, sebab itulah dia memanggil Qaed dengan gelaran tuan.

Seketika, anak mata Qaed jatuh pada sapu tangan bermotif bunga mawar kecil itu. Senyum kecil cuba diselitkan pada bibir merahnya. Menutup rasa janggal apabila menyedari gadis itu menangkap dirinya menangis sebentar tadi. Disebabkan mahu menghargai pertolongan Mawar, tangannya mula mencapai tuala kecil yang berada dalam pegangan tangan mulus itu.

Qaed sudah pun berdiri. Baju melayunya yang sedikit renyuk diperbetulkan. Apabila dalam keadaan berdiri, sedarlah Qaed bahawa ketinggian gadis itu terlalu kontra dari ketinggiannya. Paras-paras perutnya. Fikir Qaed, mungkin gadis itu masih bersekolah.

"Terima kasih ya adik. Abang hargai pemberian adik ni," ucap Qaed ikhlas. Walaupun dia sedar seperti panggilan abang itu seakan tidak sesuai digunakan, entah mengapa dia tidak selesa mahu menggelarkan dirinya 'pakcik' apabila dia berhadapan dengan gadis dalam persalinan kurung bermotif bunga halus itu.

"Sama-sama. Saya gerak dulu ya," pamit Mawar. Dia sudah pun berura-ura mahu mengangkat kaki dari situ. Tidak mahu ganggu lelaki itu meluahkan emosi lagi.

"Tunggu dulu." Sapaan dari Qaed membuatkan langkah Mawar terhenti.

Mendengar itu, Mawar sudah pun memusing tubuh menghadap wakah berkumis rapi itu semula. Entah mengapa, Mawar berasakan seperti dia pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Tetapi, dia lupa di mana.

"Siapa nama adik?" soal Qaed. Sapu tangan pemberian Mawar masih utuh dalam genggaman tangannya.

Mawar mengigit bibir. Sungguh dia tidak sangka di tanah perkuburan ini sesi taaruf telah pun berlaku di antara dia dan lelaki asing itu.

"Saya Mawar Naressa. Tuan?" Tidak mahu dilabel sombong, Mawar hanya melayan pertanyaan itu.

"Saya Qaed. Tuan Qaed Tuan Ibrahim." Qaed memperkenalkan diri.

Apabila menyedari yang dia telah pun memberitahu nama penuhnya kepada gadis itu tanpa sedar, dia mula menjadi malu sendiri. Disebabkan selalu memperkenalkan diri sewaktu bertemu dengan rakan perniagaannya yang baharu, Qaed sudah terbiasa menyebut namanya dengan gaya sebegitu.

"Err... so Tuan Qaed, salam kenal ya. Saya minta izin nak gerak dulu ni, assalamualaikum." Disebabkan tidak mahu terperangkap dalam situasi itu dengan lebih lama, Mawar sudah pun meminta izin untuk pergi.

"Waalaikumussalam..." Ucapan salam Mawar disambut perlahan. Dalam masa yang sama, dia mula menghantar fitur gadis itu dengan pandangan matanya.

"Mawar Naressa..." getus Qaed. Seketika, tuala pemberian Mawar dibawa ke wajah lalu sisa airmatanya dilap lembut. Apabila bau haruman bunga ros yang terbit dari celahan fabrik itu menyentuh pucuk hidung, hati Qaed mula diterpa satu rasa asing.

Rasa berdebar dan hangat tanpa sebab.




"UNCLE!"

Belum sempat Qaed turun dari perut kereta, Idrus sudah pun laju menyerbu. Fitur remaja lelaki yang sudah siap berkemeja polo rona gelap dan berseluar jeans mula menjamah ruang mata Qaed. Tidak lupa juga bayangan topi Nike yang elok tersarung di kepala melengkapi penampilan anak buahnya itu.

"Idrus nak ke mana ni smart macam ni? Nak dating ya?" usik Qaed. Dia sudah pun bolos dari perut Mercedez Benz kepunyaannya. Kini, dia sudah pun memandang penampilan anak buahnya itu dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.

"Uncle lupa ya? Kan Idrus nak belanja uncle Starbuck hari ni. Chocolate Machiato special for you."

Tangan Qaed mula naik ke dahi. Sungguh dia lupa akan janji anak buahnya itu yang mahu membelanjanya minum pada hari ini.

"Uncle truly sorry, boy. Okey, bagi uncle five minutes untuk tukar baju ya." Setelah meminta izin daripada anak buahnya, Qaed mula mencicit lari masuk ke dalam rumah. Entah bagaimana dia boleh terlupa janji temunya bersama Idrus pada hari ini.

Bayangan Qaed yang semakin menjauh itu membuatkan senyuman kecil menghiasi bibir Idrus. Sejak-kebelakangan ini, dia dan adik bapanya itu seakan lelaki yang kematian isteri sahaja. Termenung dan mengelamun sendiri.

Jika pakciknya mengelamun disebabkan masalah isterinya, manakala Idrus hanyut dalam lautan fikiran disebabkan insiden yang membuatkan tangan ustazah kesayangannya itu tercedera.

Sejak semalam dia tidak mampu lenyapkan mata apabila membayangkan hal itu. Oleh itu pada hari ini dia ingin meluahkan kepada bapa saudaranya mengenai hal itu. Antara ibu bapanya berbanding Qaed,, bapa saudaranya itu jenis yang lebih terbuka mendengar pelbagai masalahnya. Dalam masa yang sama, Qaed juga memberikan solusi dan jalan keluar kepada anak saudaranya itu.

Jika diluahkan kepada ami dan babanya, silap hari bulan Idrus pula yang akan terkena tempias balik. Jika tidak gajet kepunyaannya dirampas, dilarang keluar dari rumah menjadi salah satu hukuman yang akan diterimanya. Haih, nasib badan!

QAED (OG)Where stories live. Discover now