Bila keadaan di luar rumah sudah mula cerah, aku turun ke dapur dengan niat menyediakan sarapan lebih awal. Lagi cepat aku bersarapan, lebih cepat aku boleh balik ke Tangkak.
Sambil menyiapkan nasi goreng Cina kegemaranku, aku terintai-intai ke sebelah tangga. Mudah-mudahan Naemah juga bangun awal pagi Sabtu ini. Hendak mengetuk biliknya tadi, bimbang akan mengganggu pula.
Sesudah siap menggoreng nasi dan satu jag kecil Milo panas aku sediakan, Naemah masuk ke ruang dapur. Masih lagi dalam pijama tidur malam tadi.
"Asslamualaikum! Wah... dah cantik-cantik ni, kau nak ke mana?"
Ucapan salam dibalas lalu aku senyum kecil dengan usikannya. Mesti Naemah pelik dengan jeans dan blaus di tubuhku.
"Boleh tak, kau tolong hantar aku dekat TBS? Aku nak balik kampung."
"Lah! baru seminggu kau kat sini, dah nak balik? Rindu dengan orang dekat sana ke?" lagi-lagi Naemah menggiatku. Si Syamsul tu nak aku rindukan? Uh! Sama sekali tidak!
Namun disebabkan aku sangat-sangat memerlukan pertolongan saat sini, tak adalah aku nak tarik muka walau hati berdongkol geram.
"Tak adalah! Malam tadi Syamsul call aku bagitau pasal Ijad demam sebab rindukan aku. Jadi, lepas subuh tadi, aku telefon ibu pulak mintak kepastian. Mungkin ibu tak nak susahkan aku."
"Budak kecik, Hani. Mula-mula aje tu. Lama-lama nanti, biasalahlah!"
"Salah aku juga sebab terlalu manjakan dia dalam masa sebulan aku duduk dekat kampung." Terasa kesal atas ketelanjuranku menyayangi anak kecil itu. Sepatutnya aku tak merapatkan diri dengan Ijad sementelaah aku tahu aku tinggal di rumah ibu hanya untuk sementara waktu.
"Kau nak balik kampung ni, berapa lama?" Naemah yang cekap memandu di jalanraya yang masih lengang di pagi Sabtu ini memecah kesunyian. Dari tadi fikiranku melayang entah ke mana. Apa yang harus aku buat kalau setiap minggu Ijad minta aku balik ke kampung? Bukannya dekat perjalananya. Hampir memakan masa tiga jam juga jika menaiki bas expres.
"Esok petang aku balik KL semulalah." Balasku pendek.
"Nak aku jemput kau dekat TBS juga?"
"Tak payahlah. Aku book Grab Car aje. Kesian pulak pada kau asyik jadi drebar aku."
"Erm.. cerita pasal Ijad yang demam, prihatin betul Syamsul pasal anak angkat dia tu, kan?"
"Aku pun tak tahu nak kata apa. Puas ibu mintak dengan Syamsul nak jaga Ijad, tapi dia tak mahu. Nak juga besarkan Ijad sendirian. Kalau dia dah kahwin lain nanti, aku bimbang isteri baru dia boleh ke tak terima Ijad tu?'
"Entah-entah dia masih tunggu kau tak? Sebab dia tahu hanya kau yang boleh terima Ijad."
"Hmmmm...." tiada apa yang boleh aku katakan. Soal hati dan perasaan, bukan boleh dipaksa-paksa.
"Eh? Hani.... pernah tak, kau terfikir entah-entah Ijad tu, anak Syamsul dengan arwah Alin?"
"Tak mungkinlah! Hari mereka ditangkap khalwat, arwah Alin mengaku yang dia perangkap Syamsul sebab dia dah mengandung." Aku cukup yakin tentang itu.
"Mungkin arwah hanya nak pertahankan lelaki yang dia suka. Kita berdua memang tahu, kan? Yang arwah Alin memang minat 'giler' dengan Syamsul. Dari kita sekolah menengah lagi, tapi Syamsul, suka kat kau."
"Aku tau Syamsul sayangkan aku dan bukan setahun dua kami bercinta. Tapi tulah! aku sendiri tak faham, macamana dia boleh tergoda dengan pujuk rayu arwah Alin. Alasan dia, tak tahan godaan. Tak masuk akal langsung kan?
"Mungkin Allah nak tunjukkan kau sesuatu. Si mamat tak sedar diri macam Syamsul, bukanlah lelaki yang layak untuk perempuan sebaik kau.""Entahlah! Aku terkilan, remuk-redam hati akuni. Lagilah bila terkenangkan arwah abah aku rebah kena serangan jantung sebab terkejut yang amat sangat. Kalaulah aku tak fikir panjang, kat situ jugak aku bunuh Syamsul. Puas hati aku!"