TERASA segar badan selepas membersihkan diri. Air sejuk yang dipam dari telaga belakang rumah terasa nyaman sekali. Hilang letihnya sepanjang 3 jam perjalanan menaiki bas ekspres tadi.
Lantai bilik Ijad aku jejaki. Penghawa dingin yang terpasang dengan suhu sederhana. Ijad masih tidur pulas, berselimut hingga ke leher. Pipi gebunya aku cium berkali-kali. Seminggu tak berjumpa, rinduku menggunung saratnya.
"Ijad.... mama balik ni,"
Bagaikan dia dapat mendengar suaraku dalam lenanya. Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Nampak sahaja aku, bibirnya merekah dengan senyuman.
"Mama!!" bingkas dia bangun dan memeluk leherku.
Aku tergelak lalu tubuhnya aku rangkul erat. Aku dapat rasakan bahang panas dari tubuhnya meresap ke t-shirt cotton yang aku pakai ketika ini.
"Sayang mama, Ijad demam ya?"
"Mama pergi mana? Kenapa tak bawak Ijad? Ijad nak ikut mama!" Ijad menggogoi dalam pelukanku.
Aku menahan sendu, terusik dengan rintihannya.
"Mama kerja jauh, sayang. Mama tak boleh bawak Ijad."
"Ijad nak ikut mama!" rengeknya lagi.
Aku terdiam seketika. Di kepalaku berfikir dan berfikir, apakah lagi alasan yang boleh aku berikan sehingga Ijad faham dengan keadaan sekarang.
"Hani...."
Aku tersentak dan mendongak. Syamsul berdiri di hujung katil memerhatikan kami.
"Syam buat apa dalam bilik ni? Keluar!!" aku berang. Sesuka hati dia masuk ke bilik ini tanpa salam, tanpa meminta izin dariku.
"Hani, Syam...."
"Hani kata keluar, keluarlah! Syam tak faham ke?"
"Mama... jangan marah papa!" Ijad merenung mataku takut-takut dengan angin baranku yang tiba-tiba muncul. Tercebek-cebek bibirnya tunggu masa sahaja mahu menangis.
"Syam bukan nak buat apa, ibu panggil makan." Terang Syamsul tanpa rasa bersalah. Juga tak terkesan dengan amarahku yang baru meletus.
Masih dengan egoku dan tak mahu menunjuk kalah, aku dukung Ijad dan bawa Ijad keluar melepasi pintu bilik. Dengan cara ini, aku pasti Syamsul tak berani mahu mengapa-apakan aku.
"Kenapa terjerit-jerit tu, Hani? Sampai ke dapur ni, ibu boleh dengar suara Hani tengking Syam."
"Maaf ibu, salah Syam tadi. Masuk bilik Ijad tak bagi signal. Hani marah!"
Aku menjeling. Wah..... mudah saja mengadu. 'Hey, Puan Hasnah ni, ibu aku tau? Bukan ibu kau!'
"Cubalah berprasangka baik sikit pada orang, Hani! Ibu yang suruh Syam panggil Hani makan."
Aku terus terdiam. Herdikan ibu menghiris hatiku sekali lagi sama seperti minggu lepas. Ternyata, aku bukan lagi anak kesayangan ibu. Mungkin kini, aku sudah disisihkan sejak kehadiran Syamsul sebagai menantu ibu. Cemburukah aku?
"Sudah-sudahlah tunjuk muka masam tu. Mari makan, Ijad nak makan? Mari Nenek suap."
"Ijad nak mama suap!"
"Yalah! Mama suapkan Ijad. Tunggu Nenek ambil bubur nasi untuk Ijad." Ibu ceduk semangkuk bubur dari atas dapur dan hulurkan padaku yang sedang meriba Ijad di kerusi.
"Ijad... duduk kerusi lain. Macamana mama nak suap Ijad?" pinta Syamsul pada anaknya.
"Tak nak! Nak duduk dengan mama." Bantah mulut munggil itu dan kemudian memuncung. Marah dengan paksaan papanya.